02/10/2026
KENYATAAN MEDIA RASMI
PRESIDEN PEKIDA MALAYSIA
PEKIDA MALAYSIA PERTAHANKAN KETEGASAN KETUA PENGARAH AKPS DI KLIA
PEKIDA Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan pintu masuk negara.
Bagi PEKIDA Malaysia, ketegasan terhadap sindiket, ‘ulat’ warga asing dan sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kawalan sempadan negara tidak seharusnya diputarbelitkan sehingga menjejaskan imej serta kredibiliti AKPS.
PEKIDA Malaysia turut memandang serius persoalan bagaimana rakaman yang dikatakan bukan daripada sumber asal CCTV itu boleh dirakam semula dan akhirnya tersebar kepada umum. Ketua Pengarah AKPS sendiri telah menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk siasatan.
PEKIDA Malaysia mendesak supaya disiasat secara menyeluruh: siapa yang merakam, bagaimana rakaman tersebut diperoleh, siapa yang menyebarkannya dan apakah motif sebenar di sebalik penyebaran tersebut.
Jika terdapat unsur cubaan untuk mencemarkan imej AKPS, melemahkan tindakan penguatkuasaan atau melindungi kepentingan mana-mana sindiket, perkara itu mesti dibongkar dan tindakan undang-undang hendaklah diambil.
PEKIDA Malaysia berdiri teguh mempertahankan ketegasan Datuk Seri Mohd Shuhaily. Jangan kerana satu rakaman yang dipotong dan tular, kita lupa bahawa tugas utama AKPS ialah menjaga pintu masuk, sempadan dan keselamatan negara. Ketegasan penguat kuasa jangan dilemahkan.
PEKIDA Malaysia turut merakamkan penghargaan dan pujian kepada Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain atas keberanian, ketegasan dan kesungguhan beliau dalam memikul amanah sebagai Ketua Pengarah AKPS. Dalam menghadapi cabaran mengawal pintu masuk negara yang begitu kompleks, kepimpinan yang berani mengambil pendirian tegas, tidak mudah tunduk kepada tekanan dan sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan serta kedaulatan negara sebagai keutamaan amat wajar dihargai.
PEKIDA Malaysia melihat ketegasan Datuk Seri Mohd Shuhaily sebagai satu pendirian yang mencerminkan kesungguhan seorang penjawat awam kanan dalam mempertahankan amanah negara dan memperkukuhkan kewibawaan penguatkuasaan di sempadan. Ketegasan beliau bukan sesuatu yang harus dilemahkan, sebaliknya hendaklah dihormati dan disokong selagi dilaksanakan dalam kerangka undang-undang serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.
DATO' HJ. MOHD F**D BIN HJ. MAT ISA
Presiden
PEKIDA MALAYSIA