Kumpulan ini dibentuk dan ditadbirkan oleh mereka yang cacat dan dibantu oleh sukarelawan. Tujuan utama kumpulan adalah untuk mengajak yang cacat berkumpul, berkawan, berkenal-kenalan dengan yang senasib dengannya. Supaya mereka dapat bantu-membantu, nasihat-menasihati dan juga bertukar-tukar pengalaman. Semua ahli kami adalah mereka yang beragama Islam. Kami adalah satu-satunya kumpulan yang diur
uskan oleh mereka yang cacat itu sendiri dengan bantuan sukarelawan. Kumpulan kami menerima mereka yang cacat anggota, yang berumur 15 tahun keatas. Kumpulan kami telah didaftar pada 15hb April 2010, dengan nama “Kumpulan Orang Cacat Muslim Singapura” dan nombor pendaftarannya adalah T10SS0081C. TUJUAN
Tujuan diadakan kumpulan ini ialah:-
a) Supaya yang cacat itu dapat berkenal-kenalan dengan mereka yang senasib. Kemungkinan mereka dapat mempelajari antara satu sama lain dan juga tiada yang lebih memahami keadaan mereka melainkan yang senasib dengannya. b) Supaya yang cacat itu dapat membantu diri mereka sendiri dan tidak senantiasa mengharapkan bantuan orang lain. Kami hanya menunjukkan arah dan tempat-tempat yang boleh ia meningkatkan diri tetapi tetap mereka sendiri harus berusaha untuk mencapainya. c) Supaya yang cacat itu dapat bantu membantu antara satu sama lain. Kami mahu menyemaikan sifat tolong-menolong, bekerjasama, nasihat-menasihati dan yang utama sekali ialah untuk tidak mementingkan diri sendiri. d) Untuk menjalin hubungan dengan yang cacat dan keluarga mereka. Supaya keluarga mereka dapat melihat keadaan keluarga yang lebih susah dan kemungkinan mereka akan bersyukur. e) Untuk merapatkan lagi hubungan antara yang cacat dengan masyarakat umum. Menyedarkan dan memberitahu mengenai keperluan khas orang cacat dan semoga mereka dapat membantu dan berturut serta.