28/02/2025
RETREAT KE MELAKA: KEHARMONIAN, KEINSAFAN & KEBAJIKAN
Buat julung-julung kali, HH telah mengadakan retreat di Melaka dari 21 hingga 23 Februari 2025 dengan penyertaan seramai 13 peserta. Program ini dirangka untuk mengeratkan hubungan, meningkatkan ilmu pengetahuan, serta melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan.
Perjalanan bermula dengan perhentian makan di Restoran Kambing 40 Hari, di mana peserta menikmati hidangan istimewa sebelum meneruskan perjalanan ke Gadek. Di sana, rombongan singgah sebentar untuk menikmati kelapa muda dan cendol sebagai pelepas dahaga.
Setibanya di destinasi, sesi pertama dimulakan dengan bengkel penulisan e-book yang dikendalikan oleh Tuan Iqbal Maricar. Beliau berkongsi pelbagai teknik penulisan serta cara mendapatkan pautan yang berkaitan bagi menghasilkan e-book yang berkualiti.
Selesai bengkel, peserta mengambil peluang untuk beriadah di Kolam Air Panas Gadek hingga larut malam. Setelah seharian dengan aktiviti yang penuh manfaat, mereka kembali ke tempat penginapan di Ganun dan menikmati masakan sendiri iaitu rendang ayam serta daging salai masak lemak cili padi yang dimasak bersama.
Keesokan paginya, peserta menikmati sarapan lontong sebelum menghadiri bengkel Brain Gym yang dikendalikan oleh Puan Norliah Daroos. Dalam sesi ini, beliau menerangkan kaedah-kaedah yang dapat membantu dalam memperbaiki postur, pergerakan, kesihatan, serta teknik pernafasan yang lebih baik. Sesi ini memberikan banyak manfaat kepada peserta dalam mengenali serta membaiki kelemahan postur mereka.
Bengkel seterusnya dikendalikan oleh Puan Nini Mastura, Pegawai Penyeliaan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Beliau berkongsi ilmu tentang 5 Senses, iaitu lima deria utama manusia dan bagaimana pemahaman terhadap deria ini boleh meningkatkan kesejahteraan diri.
Sebelum menghadiri bengkel ini, peserta berkunjung ke sebuah rumah di Kampung Ganun, di mana mereka berpeluang melihat penternakan angsa, itik, ayam, serta ayam Afrika. Selain itu, peserta juga dapat mengenali dan memetik daun asam gelugur serta melihat koleksi warisan seperti keris, kerambit, dan senjata tradisional. Aktiviti menembak turut dijalankan, memberikan pengalaman yang unik kepada peserta.
Menjelang petang, rombongan menikmati hidangan mi kari Melaka yang disediakan khas oleh Puan Nini. Pada sebelah malam, peserta berkumpul untuk acara santai membakar satay, ketupat serta menikmati kuah satay dengan pencuci mulut ching teng sebagai pelengkap hidangan.
Pada hari ketiga, selepas solat Subuh, peserta mengikuti kuliah ringkas yang disampaikan oleh Tuan Zakaria mengenai Neuro-Linguistic Programming (NLP). Dalam sesi ini, peserta didedahkan kepada konsep individu visual, auditori, dan kinestetik serta teknik anchoring untuk mengatasi tekanan emosi. Kuliah ini turut menyentuh tentang kepentingan niat dalam kehidupan seharian.
Sejurus selepas kuliah, peserta melawat Pasar Tani dan Pasar Besar Alor Gajah untuk membeli pelbagai barangan tempatan. Sarapan pagi di Alor Gajah ditaja oleh Tuan Kamsin, memberi peluang kepada peserta untuk menikmati hidangan tempatan yang enak sebelum meneruskan perjalanan ke Perigi Hang Tuah. Di sana, peserta bukan sahaja dapat melihat sendiri perigi bersejarah itu, tetapi juga membeli cenderamata serta mengambil air dari perigi yang sering dikunjungi oleh pelawat.
Antara aktiviti yang paling bermakna dalam retreat ini adalah lawatan ke Rumah Anak Yatim Sultan Salahudin (RAYSS) di Pantai Tanjung Putri. Setibanya di sana, rombongan disambut dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh 80 penghuni rumah anak yatim tersebut. Aktiviti utama di sini adalah sesi Creative Trauma Cleansing (CTC), di mana peserta rombongan dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk membantu anak-anak yatim mengatasi kekangan emosi mereka.
Alhamdulillah, ramai peserta dari RAYSS berjaya mengurangkan tekanan emosi mereka melalui teknik CTC, dan ada yang berkongsi testimoni tentang keberkesanan kaedah ini di hadapan hadirin Yang dibuat oleh rombongan dari HH Dan CTC Spore Chapter. Sebagai tanda penghargaan, setiap anak yatim menerima cenderamata daripada rombongan Singapura dan pihak Singapura juga menyumbangkan wang tunai hasil dari kutipkan derma Yang dijalankan oleh Tuan Khairuddin.
Sebelum pulang, rombongan singgah untuk solat dan menikmati sukun goreng di rumah kedua Tuan Zakaria di Tangga Batu. Perjalanan diakhiri dengan makan tengah hari di Restoran Kita, Tangga Batu. Setelah tiga hari penuh dengan pengalaman bermakna, peserta bertolak pulang dengan kenangan indah serta ilmu yang diperoleh sepanjang retreat ini.