30/07/2026
Baru-baru ini, VARIASI telah berjaya menerbitkan dan mementaskan Ruang III: Bilik Main 2.0 di Malay Heritage Centre pada 24 dan 25 Julai 2026, bersempena sambutan Ulang Tahun VARIASI Ke-25.
Pementasan ini telah menarik kehadiran hampir 300 penonton, terdiri daripada penggiat seni, pencinta bahasa dan budaya, para pendidik, pelajar serta orang awam. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tetamu Kehormat, Dr Syed Harun Alhabsyi, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kementerian Pendidikan dan Pembangunan Negara.
Bilik Main pernah dipentaskan buat kali pertama pada tahun 2017 dengan hanya empat orang pelakon. Kini, ia kembali dalam versi Bilik Main 2.0, menampilkan enam orang pelakon bersama lebih 20 orang kru dan anggota produksi yang telah bertungkus-lumus menjayakan pementasan ini.
Naskhah hasil tulisan Nizam Salim dengan arahan bersama Raja Hamzah berjaya memikat hati para penonton melalui jalan cerita yang penuh misteri, suspen dan debaran. Keunikan persembahan ini terletak pada olahan cerita yang menggunakan konsep mastermind game, di mana para penonton turut diajak berfikir, menilai petunjuk dan merungkai misteri bersama-sama sehingga ke penghujung pementasan. Pendekatan interaktif ini menjadikan pengalaman menonton lebih mendalam, mengujakan dan meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Pementasan Ruang III: Bilik Main 2.0 turut melabuhkan tirai sambutan Ulang Tahun VARIASI Ke-25, yang telah berlangsung sejak Januari 2026 menerusi pelbagai program dan inisiatif seni, warisan serta pembangunan masyarakat. Bertepatan dengan tema "Celebration of Excellence", kejayaan produksi ini menjadi simbol dedikasi, ketekunan dan komitmen seluruh warga VARIASI sepanjang 25 tahun memperjuangkan seni dan budaya.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penaja, rakan kerja, penderma, sukarelawan, para artis, kru produksi, ahli jawatankuasa serta keluarga yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan kepada perjuangan kami.
Semoga segala usaha ini menjadi inspirasi untuk terus memartabatkan seni, memelihara warisan dan menyatukan masyarakat melalui bahasa, budaya dan persembahan. Insya-Allah, VARIASI akan terus melangkah ke hadapan, melestarikan seni untuk generasi hari ini dan akan datang.
25 Tahun Berkarya. 25 Tahun Berbakti. Seni Terus Dilestarikan, Warisan Terus Dilayarkan.