16/06/2026
Perkhemahan Lencana Keris Perak & Lencana Jaya Uji Ketahanan Para Peserta.
Rawang, 14 Jun – Seramai 120 orang ahli Pengakap Kanak-Kanak dan Pengakap Muda telah menyertai Perkhemahan Lencana Keris Perak & Lencana Jaya yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Jun 2026 di Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang, Selangor.
Program anjuran Pengakap Wangsa Maju itu bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran kepengakapan dalam kalangan peserta di samping memupuk semangat kerjasama, disiplin serta kepimpinan melalui pelbagai aktiviti luar yang mencabar.
Sepanjang perkhemahan berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berteraskan kemahiran kepengakapan seperti perkhemahan, asas pertolongan cemas, pertandingan buku skrap, pertandingan membina jambatan yang berasaskan STEM, ikatan dan simpulan, kawad kaki serta aktiviti membina pondok sementara.
Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada peserta, malah turut mengasah daya kreativiti, pemikiran kritis dan keupayaan menyelesaikan masalah dalam situasi sebenar.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Tn Radien bin Bohari, Pesuruhjaya Daerah Wangsa Maju. Turut hadir memeriahkan program ialah Tn Nadzrin, Pesuruhjaya Daerah Cheras dan Tn Nan Taro, Pesuruhjaya Daerah Lembah Pantai.
Dalam ucapannya, Tn Radien menekankan kepentingan aktiviti kepengakapan dalam membentuk generasi muda yang berdaya tahan, berdisiplin serta mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi selaras dengan prinsip-prinsip Pengakap.
Penganjuran perkhemahan ini diharap dapat melahirkan ahli pengakap yang lebih berkemahiran, berkeyakinan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, selain memperkukuhkan hubungan silaturahim antara ahli pengakap dari pelbagai pasukan.
Perkhemahan yang berakhir pada 14 Jun itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta dan pemimpin pengakap, sekali gus membuktikan bahawa aktiviti kepengakapan terus relevan dalam membentuk sahsiah serta kepimpinan generasi muda masa kini.