20/08/2026
LABEL “ULAMA TEROMPAH” - RETORIK YANG MERENDAHKAN MARTABAT ILMU
Presiden PAS baru-baru ini melabelkan sebahagian ulama sebagai “ulama terompah kepada DAP”. Ungkapan ini bukan sahaja kasar, malah menimbulkan persoalan besar tentang adab, integriti, dan kedudukan ilmu dalam wacana politik Malaysia.
Ulama bukan sekadar simbol agama, tetapi pewaris ilmu dan panduan moral masyarakat. Melabel mereka dengan istilah menghina seperti “terompah” hanya merendahkan kedudukan ilmu, seolah-olah ulama boleh diperalatkan mengikut selera politik.
Politik kepartian sering menjadikan ulama sebagai alat legitimasi. Politik nilai p**a menekankan prinsip keadilan, kebenaran, dan maslahat rakyat.
Menghukum ulama kerana mereka berbeza pandangan atau memilih untuk bekerjasama dengan parti lain adalah tanda politik kepartian yang sempit, bukan politik nilai yang berlandaskan syariat.
Penggunaan retorik penghinaan ini amat bahaya kerana Ia menanam budaya takfir politik. sesiapa yang tidak sehaluan dianggap sesat atau alat pihak lawan.
Ia mencetuskan perpecahan dalam masyarakat Islam, sedangkan Islam menekankan adab ikhtilaf (perbezaan pandangan). Ia menjejaskan kredibiliti PAS sendiri, kerana parti yang mendakwa memperjuangkan Islam sepatutnya mengangkat martabat ulama, bukan merendahkannya.
Mengaitkan ulama dengan DAP secara menghina menunjukkan bahawa PAS masih terperangkap dalam retorik musuh politik. Padahal, kerjasama politik dalam sistem demokrasi adalah lumrah. Ulama yang memilih untuk berdialog atau bekerjasama dengan DAP tidak semestinya menjadi “alat”, sebaliknya mungkin sedang mengamalkan hikmah dakwah dan siyasah syar’iyyah.
PAS sendiri pernah menggunakan istilah “tahaluf siyasi” ketika berkerjasama dengan DAP dahulu, namun mereka mula mencela apabila parti lain yang menjalinkan kerjasama seumpamanya.
Label “ulama terompah” adalah retorik yang tidak beradab dan bercanggah dengan tradisi Islam yang menghormati ilmu. Ulama berhak berbeza pandangan, dan politik Islam seharusnya meraikan kepelbagaian ijtihad, bukan menghina mereka yang tidak sehaluan.
Jika PAS benar-benar mahu menampilkan diri sebagai parti Islam, ia perlu kembali kepada prinsip adab, hikmah, dan penghormatan terhadap ulama, bukan retorik yang merendahkan martabat mereka.