29/08/2023
ISU 1: BEBAN GURU (1/2)
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam satu kenyataan pada 18 April 2022, sebanyak lebih 10,000 guru dianggarkan telah membuat pilihan bersara awal setiap tahun. Angka yang yang dinyatakan oleh NUTP adalah lebih tinggi berbanding yang dikeluarkan KPM pada 9 November 2021 iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan yang dibuat oleh guru untuk tahun 2021. Kita dapat melihat peningkatan yang sangat cepat permohonan guru untuk bersara awal. Peningkatan permohonan guru untuk bersara awal adalah merisaukan jika akar permasalahan tidak diselesaikan. Antara punca utama guru-guru membuat pilihan untuk bersara awal, adalah disebabkan oleh isu beban guru. Mari kita kupas satu per satu isu beban tugas guru bagi mencari solusinya.
Pengenalan Isu Beban Guru
Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, beban didefinisikan sebagai tanggungan (kewajipan) yang berat. Beban kerja guru adalah melibatkan kerja-kerja pengurusan pengajaran, pengurusan tugasan, ujian dan peperiksaan pelajar, pengurusan hal ehwal pelajar, pengurusan pentadbiran sekolah, pengurusan kokurikulum, serta pengurusan bilik darjah. Beban kerja guru yang berlebihan menyebabkan mereka terpaksa melaksanakan kerja tambahan sehingga lewat petang, malah pada hujung minggu juga diarakan datang ke sekolah. Kajian literatur juga turut membuktikan peningkatan kerja hakiki, dan kerja bukan teras tambahan, memburukkan kesulitan yang dihadapi guru, sehinggakan ramai berasa tertekan dan hilang motivasi untuk menjalankan tugas sebagai guru.
Isu-isu Beban Guru
Berikut merupakan beberapa isu yang berkaitan dengan beban guru di Malaysia:
1. Beban Kerja yang Tinggi: Guru di Malaysia sering diasak tanpa henti dengan beban kerja yang berlambak. Mereka diharapkan untuk mengajar, menyediakan bahan pengajaran, mengurus tugas-tugas administrative, serta melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dan program-program sekolah.
2. Jumlah Murid dalam Kelas: Sesetengah sekolah menghadapi masalah lebihan jumlah murid yang banyak bagi satu-satu kelas. Perkara ini dapat menyebabkan kesukaran dalam memberikan perhatian yang sama rata kepada setiap murid.
3. Tuntutan Kurikulum: Perubahan dalam kurikulum dan tuntutan untuk mencapai matlamat pendidikan tertentu juga turut menambahkan lagin tekanan kepada guru untuk menyediakan pengajaran yang berkualiti tinggi.
4. Kekurangan Sumber dan Sokongan: Tidak semua sekolah di Malaysia mmepunyai akses yang baik kepada sumber pengajaran dan bantuan sokongan. Hal ini menghalang usaha murni guru dalam memberikan pendidikan yang berkualiti.
5. Teknologi dan Pengajaran Jarak Jauh: Sejak fasa pandemik COVID-19, sistem pembelajaran di Malaysia telah mengalami peralihan kepada pengajaran dalam talian yang sangat berbeza dari sistem pembelajaran tradisional yang dijalankan sebelum ini. Untuk guru-guru yang lebih berusia, hal ini telah menambahkan lagi tekanan kepada guru yang perlu mengadaptasi cara pengajaran mereka.
6. Penilaian dan Pemantauan: Proses penilaian dan pemanatauan terhadap prestasi guru boleh menimbulkan tekanan dan stress tambahan kepada guru.
Pihak KPM dan pihak yang berkepentingan di Malaysia telah sepakat mengakui isu-isu ini dan cuba mencari jalan penyelesaian terhadap beban tugas guru.