04/12/2025
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Di ambang penutup tahun 2025 bertarikh 4/12/2025 (Khamis), Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Paya Rumput Jaya Sg Udang Melaka (PAYASUM) dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pertubuhan NGO Aktif Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri Melaka 2025.
Pengiktirafan ini bukan sekadar tanda kejayaan, tetapi menjadi saksi perjalanan panjang PAYASUM sejak tahun 1963, yang terus teguh berkhidmat demi anak-anak yatim dan miskin. Sesungguhnya, segala pencapaian ini lahir daripada denyut nadi sokongan insan-insan budiman yang tidak pernah jemu menghulurkan tangan.
Maka catatan ini dirakamkan untuk semua pihak yang menyokong kelestarian PAYASUM:-
Para penyumbang budiman โ baik yang masih hidup mahupun yang telah kembali ke pangkuan Ilahi. Segala sumbangan mereka adalah pelita yang menerangi jalan PAYASUM. Semoga setiap amal jariah menjadi pahala yang kekal mengalir hingga ke akhir zaman, menjadi bekal abadi di sisi Allah SWT.
Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka serta Pejabat Kebajikan Masyarakat Melaka Tengah โ rakan strategik yang sentiasa memastikan PAYASUM bergerak seiring dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, menjamin kesejahteraan anak-anak yang dilindungi.
Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM) โ yang tidak pernah putus memberikan sokongan ekonomi sejak berdekad-dekad lamanya, menjadi tiang seri yang mengukuhkan kelangsungan PAYASUM.
Para mantan AJK Lembaga, pengurusan dan sukarelawan โ yang pernah menyumbangkan sebahagian hidup mereka dalam melestarikan PAYASUM, sama ada yang masih bersama kita atau yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga roh mereka sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT, dan jasa mereka kekal harum sepanjang zaman.
Ahli Jawatankuasa Lembaga Pengurusan โ yang berjiwa besar, memastikan PAYASUM kekal lestari dan terus relevan dalam arus perubahan zaman.
Sukarelawan PAYASUM โ yang berkorban masa dan tenaga, siang dan malam, demi memelihara amanah penubuhan, menjaga serta mendidik anak-anak yatim dan miskin, serta ahli keluarga mereka yang sentiasa terus menerus menyokong para sukarelawan kekal berkecimpung di sektor NGO ini.
Waris penghuni serta anak-anak yatim dan miskin โ yang setia membesar dalam jagaan PAYASUM, menjadi inspirasi dan kekuatan untuk terus berkhidmat, dan mempercayai kebertanggungjawaban PAYASUM terhadap perkembangan ukhrawi dan duniawi mereka.
Dengan pengiktirafan ini, PAYASUM bertekad untuk terus memperkukuh peranan sebagai pusat kebajikan yang bukan sahaja menyediakan perlindungan, tetapi juga membina masa depan yang cerah buat anak-anak yatim dan miskin. PAYASUM akan terus melangkah dengan semangat baharu, memperluas jaringan kerjasama, serta memastikan setiap usaha yang dijalankan kekal berlandaskan prinsip kebajikan, pendidikan, dan kelestarian.
KEBAJIKAN ANAK-ANAK YATIM DAN MISKIN TANGGUNGJAWAB BERSAMA