16/03/2026
IRAN MENGGUNAKAN SELAT HORMUZ UNTUK MELEMAHKAN AS / ISRAEL
Nukilan: Rafaaj Norah Daeng Matoa Jaafar Kelana Al Bugisi
Peristiwa seperti ini pernah berlaku dalam sejarah Melaka. Ketika Belanda menewaskan Portugis di Melaka pada tahun 1641, pelabuhan Melaka telah dikepung oleh Belanda selama hampir setahun. Sepanjang tempoh itu, kapal-kapal dagang tidak dibenarkan singgah di pelabuhan Melaka atau meneruskan pelayaran ke Betawi dan Maluku.
Akibat kepungan tersebut, tentera Portugis yang berada di dalam kota A Famosa mula kehabisan bekalan makanan. Mereka hanya bergantung kepada sumber makanan yang terhad daripada penduduk tempatan di Melaka. Pintu utama kota, iaitu Santiago Gate, ditutup rapat, manakala hanya Demegos Gate yang menghadap ke kawasan Tengkera dibuka bagi urusan membawa masuk bekalan makanan.
Pada ketika itu, tentera Belanda yang masih sihat hanya tinggal kira-kira 900 orang, manakala ramai yang lain telah meninggal dunia akibat wabak taun dan malaria. Dengan jumlah yang sedikit, mereka tidak mampu menyerang kota A Famosa secara bersendirian.
Oleh itu, wakil Belanda telah pergi ke Johor untuk bertemu dengan Sultan Alauddin Riayat Shah III bagi memohon bantuan. Belanda berjanji bahawa sekiranya berjaya menewaskan Portugis, segala harta rampasan akan dibahagi dua dengan pihak Johor. Sultan Johor bersetuju dan mengarahkan Laksamana Tun Abdul Jamil untuk mengetuai kira-kira 1000 orang perajurit Johor bagi membantu Belanda menentang Portugis di Melaka. Pada masa yang sama, sekitar 500 orang Aceh yang berada di Johor turut menawarkan bantuan.
Pada tahun 1641, gabungan tentera Belanda, Johor dan Aceh melancarkan serangan serentak ke atas kota A Famosa. Tentera Aceh membawa kira-kira 300 batang tangga buluh setinggi 20 kaki, yang disandarkan pada dinding kota dari arah Bandar Hilir hingga ke Banda Kaba. Tangga-tangga ini digunakan oleh tentera Johor untuk memanjat tembok dan masuk ke dalam kota.
Apabila berjaya memasuki kota, tentera Johor menyerang dengan hebat. Ramai tentera Portugis yang sudah kelaparan tidak mampu bertahan. Dalam satu catatan seorang Portugis yang menjaga stor senjata, beliau menggambarkan serangan orang Johor sebagai sangat ganas, “seperti syaitan”. Malah diceritakan ada seorang pejuang Johor yang tangannya hampir terputus, namun masih mampu membunuh lapan orang tentera Portugis.
Setelah Portugis akhirnya tewas, pihak Belanda membuat satu perjanjian bertulis. Orang Portugis diberi dua pilihan: pulang ke Portugal atau terus menetap di Melaka. Ramai yang pulang, tetapi ada juga yang memilih untuk tinggal kerana telah berkahwin dengan wanita tempatan.
Namun sebelum kekalahan mereka, Portugis dikatakan telah membawa keluar bertan-tan emas dan dihantar ke Goa. Apabila kota A Famosa diambil alih oleh Belanda, hampir tiada harta yang tinggal. Belanda kemudian menuduh orang Johor membawa lari harta tersebut kerana tentera Johor adalah yang pertama memasuki kota.
Bagi memperingati kerjasama antara Belanda dan Johor dalam menewaskan Portugis pada tahun 1641, pihak Belanda telah mengukir lambang VOC, manakala lambang Johor berupa keris bersilang, pada pintu Santiago Gate di kota A Famosa.