03/06/2026
PEKIDA MALAYSIA MENYOKONG PENUH TITAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG BERKAITAN KEPENTINGAN MENGHORMATI DAN MENGHAYATI RUKUN NEGARA
KENYATAAN MEDIA RASMI
PRESIDEN PEKIDA MALAYSIA
PEKIDA Malaysia menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa mana-mana individu yang tidak mahu mengikut serta menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia. Titah tersebut merupakan satu peringatan yang tepat, tegas dan berlandaskan semangat Perlembagaan serta sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia.
Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang diucapkan dalam majlis rasmi atau di sekolah, sebaliknya merupakan falsafah kebangsaan yang lahir daripada pengalaman pahit negara selepas Tragedi 13 Mei 1969. Ia diwujudkan bagi membina semula perpaduan rakyat, memelihara keharmonian kaum dan memastikan kestabilan negara dapat dipertahankan untuk generasi akan datang.
PEKIDA Malaysia berpandangan bahawa sesiapa yang menikmati hak sebagai rakyat Malaysia tetapi pada masa yang sama mempertikaikan, memperlekehkan atau enggan menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara sebenarnya sedang menolak asas yang menjadi tunjang kepada kewujudan negara ini. Lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan bukanlah pilihan yang boleh diterima sebahagian dan ditolak sebahagian yang lain mengikut kehendak individu. Prinsip-prinsip ini merupakan asas kepada kontrak sosial, perpaduan nasional dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
PEKIDA Malaysia juga ingin menegaskan bahawa Kesetiaan Kepada Raja dan Negara adalah antara tonggak utama sistem kenegaraan Malaysia yang berteraskan Raja Berperlembagaan. Sebarang tindakan menghina Institusi Raja-Raja Melayu, mencabar kedaulatan Perlembagaan, menanam kebencian antara kaum atau menghasut rakyat agar menolak asas-asas negara merupakan perbuatan yang bertentangan dengan semangat Rukun Negara dan boleh mengancam kestabilan negara.
Dalam suasana dunia yang semakin mencabar dengan penyebaran ideologi ekstrem, fahaman kebencian dan politik perpecahan, rakyat Malaysia perlu kembali menghayati semangat Rukun Negara sebagai panduan hidup bersama. Negara ini dibina atas asas toleransi, saling menghormati dan kesetiaan kepada tanah air. Tidak ada ruang untuk mana-mana pihak yang mahu menikmati kemakmuran Malaysia tetapi pada masa yang sama berusaha meruntuhkan asas-asas yang membina negara ini.
PEKIDA Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan asas-asas pembinaan negara, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina identiti negara dan mencabar perkara-perkara yang menjadi tunjang kepada keamanan serta kestabilan Malaysia. Mereka yang gagal menghormati asas-asas ini perlu bermuhasabah sama ada mereka benar-benar menghargai nikmat menjadi rakyat Malaysia.
PEKIDA Malaysia percaya bahawa masa depan negara tidak boleh dibina atas asas penghinaan terhadap identiti nasional, sebaliknya mesti diperkukuhkan melalui kesetiaan kepada Raja dan Negara, penghormatan terhadap Perlembagaan serta penghayatan sebenar terhadap Rukun Negara. Inilah formula yang telah menjamin keamanan dan keharmonian Malaysia sejak merdeka, dan inilah juga legasi yang wajib dipertahankan oleh seluruh rakyat demi generasi yang akan datang.
PEKIDA Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta menghayati setiap prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian. Hanya dengan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip tersebut, perpaduan, keamanan dan kedaulatan negara akan terus terpelihara.
DAULAT TUANKU!!!
DAULAT TUANKU!!!
DAULAT TUANKU!!!
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Istana Negara
βAMAR MAKRUF, NAHI MUNGKARβ
Yang benar,
DATO' HJ. MOHD F**D BIN HJ. MAT ISA
PRESIDEN,
PERTUBUHAN KEBAJIKAN DAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA
( PEKIDA MALAYSIA )
Bertarikh:
3hb Jun 2026 M bersamaan 17 Zulhijjah 1447 H