18/04/2025
DOSA
Ada manusia, hatinya telah tumpul dari rasa berdosa.
Dosa baginya hanyalah kebiasaan.
Tiada gentar. Tiada peduli.
Seakan tidak ada urusan antara dia dan Tuhan.
Ada p**a manusia yang begitu halus jiwanya.
Setiap langkah dijaga, setiap lafaz diteliti,
Setiap gerak-gerinya disuluh nur iman.
Sejak celik mata dari lena pun, dia bimbang- bimbang tersilap langkah yang menjerumuskannya ke jurang dosa.
Ada juga manusia yang tahu apa itu dosa.
Tapi sedarnya cuma sementara.
Setiap kali tergelincir, dia tersedar,
Namun langkahnya tetap berpusing ke arah yang sama. Dosa itu seperti lingkaran tak berpenghujung.
Dan ada manusia,
dosa telah menjadi darah daging dalam jasadnya.
Jika sehari tidak berdosa, dia resah seperti orang ketagih. Dia hanyut dan lemas dalam lautan maksiat
yang disangkanya nikmat, padahal itulah racun yang membunuh tenangnya jiwa.
Inilah wajah-wajah manusia,
kita semua pernah menjadi salah satunya,
atau sedang mengharungi semuanya.
Ketahuilah, dosa itu tidak akan pernah membawa tenang. Ia membalut hati dengan keresahan,
menyemai kegelisahan yang tiada sebab.
Ia mencuri kebahagiaan tanpa suara.
Hidup terasa kosong walau segala terlihat cukup.
Namun, kasih Tuhan tidak pernah tertutup.
Jika masih ada ruang sedar, masih terbuka pintu taubat dan perubahan.
Orang yang masih punya iman,
namun kerap terjatuh dan kembali,
juga akan merasai keresahan jiwa,
selagi dosanya belum benar-benar diampunkan.
Tanda Allah telah mengampunkan kita,
adalah apabila dosa itu kita tinggalkan
dan jiwa kembali tenang,
hati kembali ceria,
dan hidup terasa ringan menuju jalanNya.
Namun paling ditakuti,
adalah mereka yang berdosa dengan rasa gembira. Ibarat lalat yang hinggap di hidung, di tepis begitu sahaja. Tidak ada sedikit pun rasa takut.
Saat itu dosa telah menjadi lazat,
hingga tidak terasa lagi bersalah.
Mereka ini hanya Allah sahaja yang mampu membalikkan hatinya.
Dan andai Allah mahu menyedarkan,
maka akan datanglah kafarah
sakit, musibah, ujian
yang membawa mereka p**ang ke jalan hidayah.
Kawan,
andai dosa itu berbau busuk,
nescaya kita akan lari menjauhinya.
Tetapi syaitan menyalutnya dengan harum yang menggoda.
Itulah sebab kita mudah tertarik kepadanya.
لَوْ كَانَ لِلذُّنُوْبِ رِيْحٌ، مَا قَدَرَ أَحَدٌ يَجْلِسُ إِلَيَّ
“Jika dosa itu punya bau, nescaya tidak seorang pun akan sanggup duduk dekat denganku.”
Renungilah…
setiap hari adalah peluang baru.
Untuk menyesal, untuk berubah, untuk kembali.
Agar hari ini lebih bersih dari semalam,
dan esok lebih bercahaya dengan ampunan Allah.
Kerana kita semua…
sentiasa berdosa.