04/06/2026
KUALA LUMPUR: Alahan kepada kucing bukan perkara kecil bagi sesetengah keluarga, terutama apabila gejalanya berlaku kepada kanak-kanak yang kerap bersin, hidung berair, mata merah dan batuk setiap kali dekat dengan kucing.
Ramai menyangka puncanya semata-mata “bulu kucing”. Hakikatnya, alergen kucing juga boleh datang daripada kulit mati halus, air liur dan air kencing kucing. Bulu hanya menjadi “kenderaan” yang membawa alergen ini melekat pada sofa, baju, langsir, cadar dan karpet.
Dalam satu kajian tempatan oleh penyelidik Institute for Medical Research, NIH, KKM yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Pathology pada 2026, daripada 2,840 pesakit yang menjalani ujian IgE khusus kepada cat dander antara Januari 2023 hingga Disember 2024, sebanyak 30% atau 851 pesakit didapati sensitif kepada cat dander.
Kajian itu juga menunjukkan pesakit yang sensitif kepada cat dander bukan sekadar mengalami satu masalah sahaja. Sebanyak 51.2% mempunyai satu penyakit alahan seperti asma, allergic rhinitis atau ekzema, manakala 35.6% mempunyai lebih daripada satu masalah alahan. Asma merupakan penyakit paling kerap dilaporkan dalam kumpulan ini, iaitu 25%, diikuti gabungan asma dan allergic rhinitis sebanyak 18.4%.
Sebab itu, kalau anak asyik bersin, mata gatal, hidung berair atau batuk setiap kali bermain dengan kucing, jangan cepat kata “biasalah budak kecil”. Perhatikan coraknya. Adakah jadi selepas dukung kucing? Selepas tidur di sofa tempat kucing biasa baring? Selepas masuk bilik yang ada banyak bulu dan habuk?
Antara tanda yang biasa berlaku ialah bersin berulang, hidung tersumbat atau berair, mata merah dan gatal, kulit naik ruam atau gegata, batuk, dada ketat, semput dan nafas berbunyi. Gejala ini boleh menjadi lebih serius kepada kanak-kanak atau orang dewasa yang memang ada asma.
Ini tidak bermaksud semua keluarga perlu membuang kucing.
Tetapi rumah yang ada kucing dan ada ahli keluarga yang sensitif perlu lebih berhati-hati. Elakkan kucing masuk bilik tidur anak yang ada gejala, kerap basuh cadar, bersihkan sofa dan karpet, basuh tangan selepas pegang kucing, dan elakkan anak menggosok mata selepas bermain dengan kucing.
Dalam kajian tempatan tadi, pesakit yang sensitif kepada cat dander juga banyak mempunyai sensitisation kepada alergen lain seperti habuk rumah dan lipas. House dust mite dilaporkan sebagai co-sensitisation paling tinggi, iaitu 96.3%, diikuti lipas 84.8%.
Jadi kalau anak masih kerap bersin walaupun kucing sudah dijauhkan, jangan lupa lihat faktor lain dalam rumah: tilam lama, bantal berhabuk, karpet tebal, langsir jarang dicuci, lipas di dapur, kelembapan dan habuk yang terkumpul.
Dapatkan pemeriksaan segera jika anak mengalami sesak nafas, dada ketat, nafas berbunyi, muka atau tekak bengkak, bibir kebiruan, atau terlalu sukar bercakap kerana semput. Itu bukan lagi “alah sikit-sikit”.
Sayang kucing tidak salah. Sayang anak pun tidak bermaksud perlu membenci kucing. Yang penting, kenali tanda-tandanya, kawal persekitaran rumah, dan jangan biarkan gejala kecil berulang sampai menjadi malam-malam yang panjang untuk anak bernafas dengan susah.
Kim YY, Ahmad HF, Leecyous B. Allergic diseases and sensitisation profiles among cat dander-sensitised patients in Malaysia. Malaysian Journal of Pathology. 2026;48(1):69-81.