03/09/2026
PELATIH YAHOS SCHOOL OF SKILLS UNGGUL PERTANDINGAN KURMA GERGASI, RAIH JOHAN DAN NAIB JOHAN
KUCHING, 3 Sept โ Dua pelatih Yahos School of Skills mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya mengungguli Pertandingan Kurma Gergasi yang berlangsung di The Hills, Kuching pada 31 Ogos 2026.
Pelatih, Alex Sii How, dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Kurma Gergasi menerusi hidangan kreatifnya yang menampilkan inovasi tersendiri, iaitu โKurma Bebola Dagingโ.
Kejayaan tersebut melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM600 berserta sijil penghargaan.
Turut mencipta kejayaan ialah Wilson Ngiek yang meraih tempat kedua menerusi hidangan istimewa โKurma-Infused Chicken Mousse Served with Kurma Sauceโ, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300 berserta sijil.
Pengarah Urusan Yahos School of Skills, Puan Natasha Nasa, merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada kedua-dua pelatih atas kejayaan yang disifatkan sebagai bukti keupayaan, kreativiti serta penguasaan kemahiran kulinari yang tinggi.
Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen pelatih dalam mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari, selain membuktikan potensi besar golongan muda dalam bidang hospitaliti dan kulinari.
โPencapaian Alex dan Wilson amat membanggakan seluruh warga Yahos School of Skills.
โKejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama institusi, malah menjadi inspirasi kepada pelatih lain untuk terus berusaha meningkatkan kemahiran, mencetuskan idea kreatif dan mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing,โ katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Yahos School of Skills akan terus komited menyediakan latihan berkualiti dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan berdaya saing.
Kejayaan dua pelatih berkenaan membuktikan bahawa latihan berteraskan amali dan pembangunan bakat yang diterapkan di Yahos School of Skills mampu melahirkan individu yang bersedia menghadapi cabaran industri serta menyerlah di peringkat pertandingan.
โTahniah kepada Alex Sii How dan Wilson Ngiek atas kejayaan cemerlang dalam mengharumkan nama Yahos School of Skillsโ ujar Natasha.โSF