16/08/2026
Belenggu Bakal Berakhir, Kebebasan Masih Menanti
Perdana Menteri Anwar mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Bagi Suara Siswa UUM, pengumuman ini sememangnya merupakan satu perkembangan yang bersejarah bagi gerakan mahasiswa yang telah sekian lama memperjuangkan demokrasi kampus dan autonomi mahasiswa. .
Selama 55 tahun, AUKU telah mempengaruhi ruang mahasiswa untuk bersuara, berorganisasi dan bergerak di kampus. Ia juga menjadi antara persoalan institusi yang tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan mahasiswa untuk mendapatkan demokrasi kampus dan autonomi mahasiswa. Ia mempengaruhi apa yang boleh disuarakan, apa yang boleh dilakukan, serta bagaimana mahasiswa boleh mengambil bahagian dalam kampus dan masyarakat.
Hari ini, kita akhirnya mendengar perkataan “mansuh”. Namun, kita juga harus mengingati bahawa detik ini tidak muncul secara tiba-tiba. Dari dahulu hingga kini, tidak terhitung mahasiswa yang telah bangkit demi demokrasi kampus. Daripada perjuangan di jalanan hinggalah kepada pelbagai bentuk pengorganisasian, suara dan tindakan di kampus, mahasiswa tidak pernah berhenti menuntut kebebasan, autonomi dan hak mereka. Oleh itu, kita harus jelas bahawa pengumuman pemansuhan ini bukanlah satu “hadiah” yang tiba-tiba diberikan oleh kerajaan kepada mahasiswa. Pemansuhan AUKU merupakan salah satu hasil daripada perjalanan panjang gerakan mahasiswa hingga ke hari ini.
Namun, kita tidak boleh menjadikan detik ini sebagai titik akhir perjuangan mahasiswa. AUKU mesti dimansuhkan. Tetapi apa yang ingin kita ubah sebenarnya bukan sekadar sebuah undang-undang, tetapi struktur kuasa dan sistem di sebalik undang-undang tersebut.
Tanpa AUKU, adakah mahasiswa benar-benar akan menjadi lebih bebas?
Untuk maklumat lanjut, sila lihat di ruangan komen.