06/07/2026
KSPRO Dengan Kerjasama Pejabat ADUN Sungai Ramal Anjur Program "Gerak Halal, Maju Bisnes" Perkasa Usahawan Industri Kotej
BANGI, 4 Julai 2026 – Kelab Sahabat Professional (KSPRO) dengan kerjasama Pejabat ADUN Sungai Ramal telah berjaya menganjurkan Program "Gerak Halal, Maju Bisnes" di Tenang Space, Bangi sebagai inisiatif memperkasa usahawan industri kotej melalui pendedahan berkaitan pensijilan halal dan pembangunan perniagaan.
Program ini menghimpunkan usahawan daripada pelbagai latar belakang bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan pensijilan halal, selain memberi pendedahan tentang peluang yang tersedia untuk mengembangkan perniagaan secara lebih sistematik dan berdaya saing.
Slot pertama (1) bertajuk "Kepentingan Halal Dalam Industri Makanan" telah disampaikan oleh Prof Madya Dr Mohd Al'Ikhsan bin Ghazali, yang menekankan bahawa pensijilan halal bukan sahaja memenuhi tuntutan syariah, malah menjadi faktor penting dalam meningkatkan keyakinan pengguna serta daya saing produk di pasaran.
Program diteruskan dengan Slot 2: "Pengenalan Kepada Industri Halal Kotej" yang disampaikan oleh Pn Raihanah binti Abdul Raub, Pegawai Teknologi Makanan JAIS. Beliau berkongsi maklumat mengenai konsep industri halal kotej, keperluan asas pensijilan serta peluang yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan kecil untuk memperkukuhkan perniagaan mereka.
Sementara itu, Slot 3: "Sembang Inspirasi Usahawan Halal" menampilkan Pn Khatimah daripada The Little Cat, yang berkongsi pengalaman membina jenama, cabaran yang dihadapi sebagai usahawan serta manfaat mengamalkan prinsip halal dalam mengembangkan perniagaan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta turut berpeluang mengemukakan soalan dan mendapatkan pandangan secara langsung daripada penceramah berkaitan isu-isu pensijilan halal, pengurusan perniagaan dan pembangunan produk.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada Pejabat ADUN Sungai Ramal atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing, berintegriti dan mampu menghasilkan produk halal yang berkualiti.