10/11/2025
UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH KEPADA ARiF MALAYSIA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam perjuangan, Salam Peduli, Sedia, Khidmat.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh petugas ARiF Malaysia yang telah bertungkus-lumus memastikan keselamatan, kelancaran dan kejayaan sepanjang siri konvensyen bermula daripada Konvensyen Pemuda, Awan, Warda sehinggalah ke Konvensyen Nasional yang berprestij ini.
Saya amat menyanjung tinggi kesetiaan dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan semua kepada simbol yang kita sematkan bersama di dada ini, simbol semangat, disiplin, dan perjuangan. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi ini terpancar melalui tindakan, bukan sekadar kata. Walau dalam apa jua keadaan, cabaran atau tekanan, pasukan ARiF tetap berdiri teguh, melaksanakan AMANAH dengan penuh tanggungjawab dan kecekalan.
Saya juga amat berbangga dengan ketenangan dan kesabaran luar biasa yang ditunjukkan para petugas dalam menangani suasana yang agak mencabar pada pagi (ahad) hari akhir konvensyen. Percayalah, hanya mereka yang memiliki jiwa sukarelawan yang tulus, berpengalaman dan berilmu sahaja mampu mengawal keadaan dengan penuh hikmah dan profesionalisme.
Tahniah dan terima kasih saya ucapkan secara khusus kepada Tuan Juhari Osman, YM Raja Firdaus, Tuan Raushan, Tuan Faridul Amini, Tuan Muhaimin, Tuan Ijam, Tuan Ainan dan tentunya “World peace man of the day”, Tuan Syamsudin atas tindakan pantas, tenang dan berhemah dalam mengurus situasi di lokasi kejadian. Anda semua telah membuktikan bahawa ARiF bukan sekadar pasukan keselamatan, tetapi satu keluarga besar yang penuh integriti dan jiwa perjuangan.
Kepada pelapis muda ARiF, jadikanlah abang-abang senior kita ini sebagai mentor dan sumber inspirasi. Belajarlah daripada disiplin, semangat, dan kesetiaan mereka kerana di bahu kalianlah akan terletaknya kesinambungan semangat ARiF untuk masa depan.
Sekali lagi, tahniah dan syabas juga kepada semua ahli ARiF yang hadir sebagai perwakilan, pemerhati, bentara, jurugambar kerana hadir memberi tenaga dan semangat di konvensyen kali ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
ARiF bukan sekadar nama ia adalah semangat, satu jiwa dan satu keluarga yang sentiasa Peduli, Sedia dan Khidmat.
Tahniah! Tahniah! Tahniah!
Semoga semangat ini terus menyala dan menjadi inspirasi kepada seluruh jentera di seluruh negara.
Suhaimi Hamzah
Ketua Pengarah ARiF Malaysia.