07/06/2024
SALAM JUMAAT
7 Jun 2024M
29 Zulkaedah 1445H
Al-Fatihah dibaca..
Hari ini 21 tahun yang lalu, Tun Fatimah Hashim menjadi wanita pertama dianugerahkan gelaran 'Tun'.
Beliau dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Parit Keroma, Muar, Johor. Selepas menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Melayu Perempuan Mersing.
Karier politiknya bermula pada 1947 dengan menyertai UMNO dalam divisyen Kaum Ibu & bersama dengan kepimpinan tertinggi pergerakan itu memimpin orang Melayu memperjuangkan kemerdekaan negara.
Pada 11 September 1956, beliau dilantik sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya & menggalas jawatan itu sehingga 1972. Pada masa sama, beliau turut menjadi Naib Yang Dipertua UMNO Malaysia & AJK Majlis Kerja Tertinggi parti itu.
Apabila berpindah ke Kedah bersama suaminya, Tan Sri Abdul Kadir Yusof pada 1959, beliau dipilih sebagai calon pilihan raya untuk kawasan Jitra-Padang Terap. Kemenangan di situ membuka laluan untuknya ke Dewan Rakyat.
Pada 20 Mei 1969, di usia 45 tahun, beliau dilantik menjadi Menteri Kebajikan Am, menjadikannya wanita pertama negara yang dilantik sebagai Menteri Kabinet & berkhidmat sehingga 28 Februari 1973.
Beliau mengasaskan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), serta menjadi individu yang bertanggungjawab memulakan sambutan Hari Wanita di Malaysia pada setiap 25 Ogos.
Pada 7 Jun 2003, beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM), yang membawa gelaran 'Tun', oleh YDP Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail sempena Hari Keputeraan baginda di Balairung Seri, Istana Negara.
Tun Fatimah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Januari 2010. Jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, menjadi pemimpin wanita pertama yang dikebumikan di sana.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, Merdeka Awards, UKM