22/05/2026
Innalilahi waa innalilahi rajiun
Dengan penuh rasa dukacita, dimaklumkan bahawa Cikgu Mohd Azizul Bin Mohd Sohod, Pengarah Pembangunan Sukan Pekak (Bakat Muda) MSDeaf, telah kembali ke rahmatullah di Hospital Putrajaya setelah mengalami komplikasi kesihatan.
Allahyarham baru sahaja memulakan perkhidmatan bersama MSDeaf pada 1 Mac 2026 sebagai Pengarah Pembangunan Sukan Pekak (Bakat Muda), selepas bersara sebagai Ketua Penolong Pengarah, Unit Kokurikulum, Sukan dan Kesenian Murid Berkeperluan Khas, Bahagian Pendidikan Khas. Dedikasi dan komitmen tinggi Allahyarham dalam memperkasakan pembangunan pendidikan serta sukan komuniti pekak amatlah dihargai dan akan terus dikenang.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada komuniti pekak negara. Allahyarham dikenali sebagai seorang pendidik yang amat berdedikasi dan telah banyak berjasa dalam membentuk generasi muda.
Presiden MSDeaf, (Dr.) Ong Shin Ruenn, yang juga merupakan bekas anak didik Allahyarham, amat merasai kehilangan ini. Hubungan akrab yang terjalin antara mereka sejak hampir 30 tahun yang lalu mencerminkan kasih sayang dan bimbingan seorang guru yang tidak ternilai, ibarat seorang ayah kepada anak didiknya.
Segala sumbangan dan jasa Allahyarham dalam memperkasakan pendidikan serta pembangunan sukan komuniti pekak akan sentiasa dikenang dan dihargai.
Pihak kami mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Pemergiannya pada hari yang mulia, Khamis malam Jumaat, merupakan satu penghormatan yang besar daripada Allah SWT.
Al-Fatihah.