05/06/2026
Disambut setiap 5 Jun, Hari Alam Sekitar Sedunia merupakan platform utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggerakkan kesedaran dan tindakan global demi alam sekitar. Bertemakan βClimate Actionβ, tahun ini kita diberi peringatan bahawa tindakan terhadap krisis iklim tidak lagi boleh ditangguhkan. Fenomena cuaca ekstrem, banjir, gelombang haba dan pencemaran alam sekitar kini berlaku di depan mata dan memerlukan tindakan segera, menyeluruh serta berasaskan sains dan data.
Justeru sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2026, marilah kita bersama-sama memperkukuh komitmen dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Kerajaan Negeri Selangor percaya dasar alam sekitar yang berkesan perlu digerakkan melalui pendekatan mampan, inklusif dan berpandukan data. Dalam mendepani cabaran ini, kita bukan sahaja perlu bertindak terhadap krisis semasa, tetapi juga membina daya tahan jangka panjang untuk melindungi rakyat, sumber semula jadi dan pembangunan negeri.
Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan langkah proaktif dan terancang bagi memastikan Selangor kekal berdaya tahan menghadapi kesan perubahan iklim. Ini termasuk memperkukuh dasar adaptasi iklim, meningkatkan kesiapsiagaan banjir dan cuaca ekstrem, serta memperluas penggunaan data dan teknologi dalam pemantauan alam sekitar. Kerjasama antara agensi, pihak berkuasa tempatan, pakar dan komuniti juga terus diperkukuh.
Selangor juga kekal komited memperkukuh agenda kelestarian melalui pelbagai inisiatif hijau, termasuk usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna menerusi penggubalan undang-undang kecil khusus yang dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi. Langkah ini penting bagi mengurangkan pencemaran sisa plastik di sungai, laut dan kawasan awam.
Selain itu, Selangor meneruskan sasaran penanaman 11 juta pokok bagi memperkukuh ekosistem hijau dan mengurangkan kesan pemanasan global. Usaha ini turut membantu meningkatkan kualiti udara serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih sihat dan lestari.
Perlindungan kawasan hutan dan biodiversiti terus diperkasa melalui pemantauan kawasan sensitif, penguatkuasaan terhadap pencerobohan serta usaha pemuliharaan habitat semula jadi. Hutan kekal sebagai benteng penting dalam menyerap karbon dan menstabilkan ekosistem iklim.
Dalam masa sama, isu pencemaran sungai terus diberi perhatian serius melalui pemantauan berkala, tindakan tegas terhadap pencemar dan kerjasama rentas agensi serta komuniti. Sungai yang bersih amat penting untuk bekalan air, kesihatan awam dan keseimbangan alam sekitar.
Program SelKitar juga terus digerakkan secara agresif bagi membudayakan pengasingan sisa dan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat. Usaha ini memperkukuh ekosistem pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan mampan di seluruh Selangor. Pada masa sama, usaha menangani isu pembuangan sisa elektronik (e-waste) dipergiat melalui pelaksanaan program pengumpulan, kempen kesedaran serta kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pengurusan e-waste yang selamat dan mesra alam.
Kerajaan Negeri menyeru seluruh rakyat Selangor untuk terus mengambil tindakan iklim dalam kehidupan seharian. Perubahan besar bermula daripada langkah kecil seperti mengurangkan sisa, menjimatkan tenaga dan menjaga alam sekitar. Bersama-sama, kita mampu membina Selangor yang lebih hijau, berdaya tahan, sihat dan mampan untuk semua.