HALUAN Negeri Sembilan

Directions Website Contact the organization

HALUAN Negeri Sembilan HALUAN(Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia). Berdaftar dengan
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Berakhlak, Mendidik & Berbakti

10/10/2026

✨ JEMPUTAN KE PROGRAM PENGAJARAN AKTIF & PENGGUNAAN "AI" DALAM PENDIDIKAN ISLAM ✨
Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian,
Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Kluster Pendidikan Islam di bawah naungan MAIS amat berbesar hati menjemput seluruh rakan guru untuk hadir ke program ilmu yang sangat istimewa ini.
Butiran program adalah seperti berikut:
📅 Tarikh: 10 Oktober 2026 (Sabtu)
🕌 Tempat: Sekolah Menengah Ibn Khaldun, Shah Alam
💵 Yuran: Percuma (Sarapan & makan tengah hari disediakan)
📚 ATURCARA & SLOT MENARIK:
1️⃣ Slot 1 (8.30 pagi - 10.30 pagi)
Tajuk: Pengajaran Kooperatif dan Pembelajaran Aktif Menggunakan AI
Penceramah: Dr. Rahimah Jamaluddin , Winner of Bett Asia’s 2025 dan Ed Tech 10 List Awards.
2️⃣ Slot 2 (11.00 pagi - 1.00 petang)
Pelbagai mini bengkel yang boleh disertai oleh peserta.
1. Quran Isyarat
2. Quran Braille
3. Pendigitalan Tulisan Jawi
4. NotebookLM untuk Guru: Daripada Sumber kepada Perancangan PdP
5. NotebookLM sebagai Studio PdP: Cipta Bahan, Aktiviti dan Pentaksiran.
⏰ Tentatif Ringkas:
08.00 pagi: Pendaftaran & Sarapan Pagi
8.30 pagi: Slot 1
10.30 pagi : Majlis Perasmian Oleh Puan Rabihah binti Ibrahim, Timbalan Pengarah (Operasi) JAIS
11.00 pagi :Sesi Bengkel dan Pameran PIBK
01.00 petang: Makan Tengah Hari dan Bersurai
📌 CARA PENDAFTARAN:
Tempat adalah terhad. Sila buat pendaftaran. Sila buat pendaftaran awal melalui link google form yang disediakan: https://forms.gle/5aFoXfrvFVVYQYXn6
Ayuh sama-sama kita imbar budi, tuntut ilmu, dan eratkan silaturahim sesama ummah. Sila sebarkan maklumat ini kepada ahli pertubuhan dan rakan-rakan guru yang lain. Terima kasih.



Program Iffah Remaja Benteng Maruah 120 Pelajar Puteri SMK Tuanku JaafarSEREMBAN – Seramai 120 pelajar puteri berusia 13...
13/09/2026

Program Iffah Remaja Benteng Maruah 120 Pelajar Puteri SMK Tuanku Jaafar

SEREMBAN – Seramai 120 pelajar puteri berusia 13 hingga 15 tahun di SMK Tuanku Jaafar, Seremban mengikuti Program Iffah Remaja, hasil kerjasama pihak kaunselor sekolah dengan HALUANITA, HALUAN Cawangan Negeri Sembilan.

Program yang dilaksanakan pada waktu kokurikulum itu memberi tumpuan kepada pembinaan harga diri, jati diri dan ketahanan jiwa remaja puteri, khususnya dalam mendepani cabaran pergaulan, media sosial serta pelbagai pengaruh yang boleh membentuk pemikiran dan tingkah laku mereka.

Dua sesi pengisian telah dilaksanakan. Sesi pertama, “Selfie Hati” pada 15 Julai 2026 disampaikan oleh Pn. Norhidayah binti Mohd Ishak, Ketua Biro Pendidikan HALUAN Negeri Sembilan. Sesi kedua, “Remaja, Kesihatan Diri dan Rohani” pada 14 Ogos 2026 p**a disampaikan oleh Dr. Hajjah Laila Abd Jalil, Ketua Biro Pembangunan Keluarga.

Pengisian program menekankan bahawa remaja perlu mengenal nilai dirinya berasaskan hubungan dengan Allah SWT dan prinsip hidup yang benar, bukan semata-mata berdasarkan penerimaan rakan sebaya, penampilan atau penilaian di media sosial.

Para pelajar turut dibimbing menjaga tingkah laku serta menetapkan batas yang jelas dalam pergaulan sosial, penggunaan media sosial dan hubungan seharian bagi melindungi diri daripada fitnah serta penganiayaan.

Menurut Hajah Umi Nadzrah Ali Othman, Naib Yang Dipertua 6 HALUAN Cawangan Negeri Sembilan, program ini bertujuan membina kesedaran bahawa setiap remaja puteri mempunyai tanggungjawab menjaga maruah diri serta membentuk akhlak dan peribadi yang baik.

Beliau menambah, pendekatan HALUANITA bukan sekadar membina benteng pertahanan diri, sebaliknya melatih pelajar menjadi ejen pengaruh positif di kalangan rakan sebaya.

“Remaja perlu memiliki ketahanan jiwa dan mental agar tidak mudah tunduk kepada ajakan, tekanan rakan sebaya dan pengaruh yang merendahkan nilai dirinya di sisi Allah SWT.”, ujar Hajah Umi Nadzrah Ali Othman.

HALUAN Negeri Sembilan berpendirian bahawa pendekatan tarbiah dan pembinaan sahsiah remaja kini menuntut anjakan baharu sejajar dengan ledakan era digital, apabila sempadan peribadi mudah dicerobohi pelbagai pengaruh asing melalui telefon pintar serta media sosial.

HALUAN Negeri Sembilan berpandangan mendidik generasi muda hari ini tidak lagi memadai dengan sekadar senarai larangan atau arahan semata-mata. Sebaliknya, keutamaan wajar diberikan kepada pembinaan kefahaman aqidah, kekuatan jiwa, dan keyakinan dalaman agar mereka mampu bertindak wajar serta membuat keputusan bermaruah biarpun tanpa sebarang pengawasan fizikal.

Sehubungan itu, HALUAN menegaskan bahawa tanggungjawab membendung krisis nilai ini mesti dipikul bersama oleh institusi keluarga, sekolah, dan masyarakat. Usaha pendidikan hanya akan mencapai matlamat sebenar sekiranya ia melangkaui pemindahan ilmu akademik kepada penanaman nilai rohani yang membentuk peribadi luhur demi kesejahteraan ummah.

Disediakan oleh Unit Media HALUAN Negeri Sembilan.

Akhlak Rasulullah Asas Membina MasyarakatMERLIMAU, 24 Ogos 2026Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al Abidin, Kampung Air ...
01/09/2026

Akhlak Rasulullah Asas Membina Masyarakat

MERLIMAU, 24 Ogos 2026

Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al Abidin, Kampung Air Tawar, Merlimau tampil dengan pendekatan yang mengajak masyarakat melihat sirah Rasulullah SAW bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk diterjemahkan dalam akhlak, dakwah dan kehidupan bermasyarakat.
Program anjuran pihak Masjid Al Abidin dengan kerjasama HALUAN Negeri Sembilan itu menghimpunkan kira-kira 80 penduduk
setempat, dalam ceramah khas bertemakan “Akhlak Rasulullah, Teras Pembinaan Insan.”

Ceramah selepas Maghrib itu disampaikan oleh Ustaz Mohd Ashrof Lukman, Naib Presiden 2 HALUAN Malaysia, dengan kehadiran Shahkirin Mohd Shah, Yang Dipertua HALUAN Negeri Sembilan.

Dalam pengisiannya, Ustaz Mohd Ashrof membawa para pendengar melihat satu dimensi penting dalam perjuangan Rasulullah SAW — bahawa kejayaan Baginda membangunkan masyarakat Islam tidak terpisah daripada kekuatan akhlak.

Akhlak Rasulullah bukan sekadar sifat peribadi yang indah untuk dikagumi. Ia hadir dalam cara Baginda berinteraksi dengan manusia, membina kepercayaan, mendidik para sahabat dan membawa risalah Islam sehingga mampu mencetuskan perubahan dalam masyarakat.
Pendekatan tersebut membawa peserta melihat sambutan Maulidur Rasul daripada sudut yang lebih luas. Mencintai Rasulullah SAW tidak seharusnya berhenti pada mengenang kelahiran dan perjalanan hidup Baginda, tetapi perlu melahirkan usaha mencontohi akhlaknya.
Inilah antara cabaran dakwah dalam masyarakat hari ini. Kita boleh mempunyai mesej yang benar, tetapi cara menyampaikannya juga perlu mencerminkan rahmah, hikmah, kesabaran dan akhlak yang mampu mendekatkan manusia kepada Islam.

Bagi HALUAN, pendekatan dakwah seperti ini penting kerana islah masyarakat bermula dengan pembinaan manusia. Masyarakat tidak hanya memerlukan lebih banyak program, tetapi memerlukan insan yang berubah cara berfikir, bertambah baik akhlaknya dan semakin sedar tanggungjawabnya kepada Allah serta manusia.
Kerjasama antara institusi masjid dan gerakan masyarakat juga membuka ruang dakwah yang lebih luas. Masjid bukan hanya tempat ibadah ritual, tetapi berpotensi menjadi pusat pendidikan, pembinaan pemikiran dan penyatuan masyarakat.

HALUAN Negeri Sembilan melihat kerjasama dengan masjid dan komuniti setempat sebagai antara medan penting untuk membawa dakwah lebih dekat kepada masyarakat melalui pendekatan yang berhikmah, relevan dan menyentuh realiti kehidupan.

Program seumpama ini wajar diteruskan dengan pengisian dan tindakan susulan agar kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak berakhir selepas sesuatu majlis, sebaliknya berkembang menjadi akhlak yang hidup dalam keluarga, kejiranan, organisasi dan masyarakat.

Kerana ukuran sebenar cinta kepada Rasulullah SAW bukan sekadar pada banyaknya kita berbicara tentang Baginda, tetapi pada sejauh mana akhlak Baginda dapat dilihat dalam kehidupan kita.

KEMPEN MERDEKA HAKIKI: MEMBEBASKAN JIWA, MEMAKMURKAN WATAN. Risalah Merdeka 03.KALAU RUMAH KITA RAPUH, APA ERTI NEGARA K...
01/09/2026

KEMPEN MERDEKA HAKIKI: MEMBEBASKAN JIWA, MEMAKMURKAN WATAN.

Risalah Merdeka 03.

KALAU RUMAH KITA RAPUH, APA ERTI NEGARA KITA KUAT?

Kita s**a bercakap tentang membina negara. Tetapi negara tidak bermula di bangunan tinggi.
Negara bermula di ruang tamu.
Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan 57,835 perceraian pada 2023. Di sebalik setiap angka ada anak yang mungkin keliru, pasangan yang terluka dan keluarga yang sedang belajar hidup semula.

Tidak semua perceraian berpunca daripada kecuaian, dan ada keadaan ia menjadi jalan keluar yang diperlukan. Tetapi angka sebesar itu tetap mengingatkan kita: keluarga tidak boleh dibiar berjalan sendiri.

Merdeka dalam Islam bukan “aku boleh buat apa aku s**a”. Merdeka ialah kita tidak diperintah ego, marah dan nafsu sehingga orang paling dekat menjadi mangsa.
Jadi, jangan tunggu rumah retak baru mencari tukang.

Wujudkan satu malam seminggu tanpa skrin. Makan bersama. Solat berjemaah apabila mampu. Adakan syura keluarga: apa yang menggembirakan, apa yang menyakitkan, apa yang perlu diperbaiki. Bincang bajet sebelum hutang menekan. Jika konflik berulang, cari bantuan awal daripada kaunselor atau pihak yang matang—bukan tunggu luka bernanah.
Ibu bapa p**a jangan hanya bertanya keputusan peperiksaan. Tanya keadaan hati. Kenal kawan anak. Dengar sebelum menghukum.
Apabila rumah menjadi tempat iman, kasih dan amanah dipelihara, kita sedang membina rakyat yang stabil sebelum membina negara yang hebat.

Kemerdekaan paling indah ialah apabila anak-anak p**ang ke rumah dan merasa: di sini aku disayangi, dibimbing dan dibawa dekat kepada Allah.

Terbitan Unit Media HALUAN Negeri Sembilan.





KEMPEN MERDEKA HAKIKI: MEMBEBASKAN JIWA, MEMAKMURKAN WATAN. Risalah Merdeka 02.RASUAH: PENJAJAH YANG KITA JEMPUT MASUKKi...
01/09/2026

KEMPEN MERDEKA HAKIKI: MEMBEBASKAN JIWA, MEMAKMURKAN WATAN.

Risalah Merdeka 02.

RASUAH: PENJAJAH YANG KITA JEMPUT MASUK

Kita marah apabila tanah air pernah dijajah. Tetapi ada satu bentuk penjajahan yang kadang-kadang masuk tanpa tentera: rasuah.
Transparency International memberi Malaysia skor 50 daripada 100 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2024, di kedudukan 57 daripada 180 negara.

Rasuah tidak bermula dengan beg wang yang besar. Ia bermula apabila kita berkata, “Tak apa, kecil sahaja.” Potong giliran. Claim lebih. Gunakan kabel. Ambil hak orang. Tutup mata kerana kawan.

Di sinilah iman terasa pedih.
Kita mungkin melaungkan Merdeka, tetapi jika keputusan boleh dibeli, amanah boleh ditukar dengan habuan dan prinsip berubah mengikut siapa yang datang, kita sedang menyerahkan maruah sedikit demi sedikit.

Apa yang boleh dibuat? Mulakan dari meja kita sendiri. Tolak “duit kopi”. Simpan rekod kewangan dengan telus. Isytiharkan konflik kepentingan. Jangan gunakan aset organisasi untuk urusan peribadi. Didik anak memulangkan baki walaupun 20 sen. Dalam surau, persatuan dan NGO, bentangkan akaun dengan mudah difahami. Dan apabila tersilap, betulkan, jangan pertahankan salah hanya kerana ia dilakukan “orang kita”.

Akhlak bukan hiasan selepas sistem dibina. Akhlak ialah asas yang menentukan sama ada kuasa menjadi rahmat atau musibah.
Masyarakat yang amanah akan lebih dipercayai, kos urusan berkurang dan yang lemah tidak mudah dipijak.
Itulah kemerdekaan yang tidak hanya menjaga sempadan negara, tetapi menjaga hati bangsa.

Terbitan Unit Media HALUAN Negeri Sembilan.




MERDEKA HAKIKI: MEMBEBASKAN JIWA, MEMAKMURKAN WATAN. Risalah Merdeka 01MERDEKA, TETAPI SIAPA YANG MEMEGANG HATI KITA?Tah...
01/09/2026

MERDEKA HAKIKI: MEMBEBASKAN JIWA, MEMAKMURKAN WATAN.

Risalah Merdeka 01

MERDEKA, TETAPI SIAPA YANG MEMEGANG HATI KITA?

Tahun ini Malaysia menyambut 69 tahun kemerdekaan. Kita tidak lagi diperintah penjajah. Namun ada satu soalan yang lebih dekat dengan dada: adakah hati kita juga sudah merdeka?

Pada 2023, PDRM merekodkan 34,495 kes penipuan dalam talian dengan kerugian melebihi RM1.2 bilion. Angka itu bukan sekadar cerita tentang scammer. Ia juga cerita tentang tamak, gelojoh, mudah percaya, mahu untung cepat dan manusia yang sanggup memperdaya manusia lain.

Kita boleh bebas daripada kuasa asing, tetapi masih menjadi hamba kepada nafsu, wang, pujian dan ketakutan. Kemerdekaan seperti itu belum selesai.

Mulakan dengan perkara kecil. Sebelum membeli, bertanya: perlu atau mahu? Sebelum berkongsi berita, semak. Sebelum mencari keuntungan, pastikan halal dan tidak menzalimi. Tetapkan masa tanpa telefon setiap hari. Hidupkan solat berjemaah di rumah. Baca al-Quran walau sepuluh minit, tetapi biar ia mengadili pilihan kita. Didik anak bahawa nilai manusia bukan pada telefon, pakaian atau jumlah pengikut.

Apabila hati tunduk kepada Allah, kita tidak mudah diperhambakan dunia. Kita menjadi lebih tenang, amanah dan s**ar dimanip**asi.
Negara merdeka memerlukan rakyat yang merdeka jiwanya. Bendera boleh berkibar di langit. Tetapi kemerdekaan sebenar mesti berkibar dahulu di dalam dada.

Terbitan Unit Media HALUAN Negeri Sembilan.





HALUAN dan Madrasah Darul Naim Kasih Perkukuh Kerjasama Pendidikan Al-QuranSUNGAI RAMBAI, MELAKA — Hubungan yang dibina ...
29/08/2026

HALUAN dan Madrasah Darul Naim Kasih Perkukuh Kerjasama Pendidikan Al-Quran

SUNGAI RAMBAI, MELAKA — Hubungan yang dibina melalui pelbagai program bersama kini mengorak langkah ke fasa baharu apabila HALUAN Negeri Sembilan dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Desa Darul Naim Kasih mencapai persetujuan prinsip untuk memperkukuh kerjasama secara lebih strategik dalam pembangunan masa depan madrasah.

Persetujuan tersebut dicapai dalam satu sesi pembentangan dan perbincangan bersama kepimpinan kedua-dua pihak yang berlangsung dalam suasana ukhuwah dan semangat untuk memperkasakan pendidikan serta pembinaan generasi al-Quran.

HALUAN Negeri Sembilan diwakili oleh Sdr. Shahkirin Mohd Shah, Yang Dipertua HALUAN Negeri Sembilan; Hj. Jasmi Yusoff, Naib Yang Dipertua 3/Kluster 3; Dr. Razali Maarof, Naib Yang Dipertua 5/Kluster 5 serta Saudara Musthofa Mubarak Kamaruzaman, Ketua Biro Keusahawanan.

Pihak madrasah p**a diwakili oleh Tn. Hj. Bakar selaku Pengerusi, Hj. Zainudin selaku Mudir, bersama barisan Jawatankuasa Madrasah Tahfiz Al-Quran Desa Darul Naim Kasih.

Hubungan antara HALUAN dan madrasah bukan bermula pada meja perbincangan ini. Sebelum ini, pelbagai program pembangunan pelajar telah dilaksanakan bersama, termasuk aktiviti rehlah, hiking, tadabbur alam serta program pembinaan remaja. Pengalaman tersebut membina kepercayaan dan membuka ruang kepada kerjasama yang lebih tersusun.

Kini kedua-dua pihak melihat keperluan untuk bergerak lebih jauh — daripada melaksanakan program bersama kepada membangunkan masa depan institusi bersama.

Kerjasama yang dirintis memberi perhatian kepada usaha memperkukuh pembangunan madrasah, kebajikan dan pendidikan pelajar, pembinaan sahsiah dan tarbiah serta usaha mewujudkan institusi pendidikan al-Quran yang lebih kukuh dan lestari.

Inilah antara cabaran besar pendidikan Islam hari ini. Melahirkan hafiz bukanlah titik akhir pendidikan. Generasi yang membawa al-Quran perlu dibina agar ayat-ayat yang dihafaz turut membentuk cara mereka berfikir, berakhlak, memimpin diri dan berinteraksi dengan masyarakat.

Madrasah p**a tidak seharusnya dilihat hanya sebagai institusi yang perlu dibantu ketika berhadapan kes**aran. Ia adalah aset ummah yang perlu dibina, diperkasa dan dipertahankan bersama kerana di sinilah sebahagian generasi pewaris al-Quran sedang dibentuk.

Bagi HALUAN Negeri Sembilan, langkah ini turut membawa makna yang lebih besar dalam menterjemahkan misi dakwah, pendidikan dan kebajikan kepada suatu usaha pembangunan ummah yang berterusan. Kerjasama strategik dengan institusi tahfiz membuka ruang untuk pengalaman, kepakaran dan jaringan ahli dimanfaatkan bagi membantu membangunkan generasi muda.

Ia juga mencerminkan nilai amal jamaie, bahawa kerja membina generasi tidak mampu dipikul oleh sebuah madrasah, NGO, guru atau keluarga secara bersendirian. Kekuatan lahir apabila institusi, pendidik, profesional, masyarakat dan pendukung dakwah menggabungkan kemampuan untuk satu matlamat yang lebih besar.

Persetujuan yang dicapai dalam pertemuan ini menjadi permulaan kepada usaha memperincikan bentuk kerjasama dan langkah susulan antara kedua-dua pihak.

Harapannya bukan sekadar melihat sebuah madrasah terus bertahan, tetapi menyaksikannya berkembang sebagai medan melahirkan generasi pencinta al-Quran yang berakhlak, berdisiplin, berjiwa dakwah dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Kerana membina sebuah madrasah bukan sekadar membangunkan sebuah institusi.

Kita sedang membantu membina manusia dan melalui manusia inilah masa depan ummah dibentuk.

Serangan Pemikiran Remaja: Awas Perangkap Trend Semasa! KUALA SG. BARU, 27 Jun 2026 – Slot pembukaan Kem Rijal Qowiy 202...
20/07/2026

Serangan Pemikiran Remaja: Awas Perangkap Trend Semasa!

KUALA SG. BARU, 27 Jun 2026 – Slot pembukaan Kem Rijal Qowiy 2026 dimulakan dengan ceramah bertajuk "Serangan Pemikiran: Awas Perangkap Trend Semasa!" yang disampaikan oleh Dr. Razali Maarof. Pengisian ini memberi pendedahan kepada 33 peserta dari Negeri Sembilan dan Melaka mengenai cabaran pemikiran yang sedang dihadapi oleh remaja pada era digital serta membimbing mereka membina jati diri sebagai Rijal Qawwi.

Dalam ceramah tersebut, Dr. Razali menjelaskan bahawa cabaran terbesar remaja hari ini bukan lagi sekadar gejala sosial secara fizikal, sebaliknya datang melalui serangan pemikiran yang memasuki kehidupan mereka melalui media sosial, permainan digital, hiburan, budaya pop**ar dan tekanan rakan sebaya.

Beliau menghuraikan lima bentuk serangan pemikiran yang semakin mempengaruhi kehidupan remaja masa kini.

Serangan pertama ialah algoritma yang membentuk cara berfikir. Kandungan yang dilihat setiap hari akhirnya mempengaruhi apa yang dianggap normal, menarik dan benar. Serangan kedua ialah normalisasi dosa, apabila perkara yang salah akhirnya dianggap biasa kerana terlalu kerap dipaparkan.

Beliau turut menjelaskan bahawa ramai remaja kini berhadapan krisis identiti, apabila nilai diri diukur berdasarkan pop**ariti, penampilan dan penerimaan masyarakat. Selain itu, remaja juga terdedah kepada syubhat, iaitu kekeliruan yang menjadikan perkara salah kelihatan seolah-olah benar. Cabaran terakhir ialah masa dan fokus yang dicuri sedikit demi sedikit melalui penggunaan gajet dan media sosial tanpa kawalan.

Menurut beliau, setiap serangan tersebut memerlukan benteng yang kukuh. Justeru, beliau memperkenalkan Formula 5B Rijal Qawwi, iaitu lima langkah membentuk remaja Muslim yang kuat iman, matang berfikir dan bersedia memimpin. Formula tersebut ialah Berpaut kepada Allah, Berfikir sebelum mengikut, Bersihkan hati dan akhlak, Berdisiplin mengawal masa dan diri serta Bergerak bersama membawa kebaikan.

Beliau menegaskan bahawa seorang Rijal Qawwi bukanlah remaja yang tidak pernah diuji, tetapi remaja yang mengenali identitinya sebagai hamba Allah, mampu menilai pengaruh di sekelilingnya, mengawal dirinya dan seterusnya mengajak orang lain kepada kebaikan.

Dr. Razali turut mengingatkan bahawa kejayaan seorang remaja bukan diukur pada jumlah pengikut media sosial atau pop**ariti, tetapi sejauh mana mereka mampu menjaga solat, memelihara akhlak, mengurus masa dengan berdisiplin serta menjadi contoh yang baik kepada rakan-rakan.

"Rijal Qawwi bukan remaja yang mengikut semua arus. Rijal Qawwi ialah remaja yang hidup untuk Allah, memimpin diri dan membawa manfaat kepada orang lain."

Pengisian selama hampir dua jam itu mendapat perhatian penuh peserta melalui perbincangan interaktif, contoh situasi semasa dan latihan refleksi kendiri. Ceramah ini menjadi asas kepada keseluruhan modul Kem Rijal Qawiy yang menekankan pembentukan remaja Muslim yang mempunyai kekuatan iman, minda, disiplin dan semangat berjemaah.

33 Remaja Sertai Kem Rijal Qowiy Bentuk Generasi Hidup Untuk AllahKUALA SG. BARU, 28 Jun 2026 – Seramai 33 remaja dari N...
20/07/2026

33 Remaja Sertai Kem Rijal Qowiy Bentuk Generasi Hidup Untuk Allah

KUALA SG. BARU, 28 Jun 2026 – Seramai 33 remaja dari Negeri Sembilan dan Melaka menyertai Kem Rijal Qowiy 2026 bertemakan “Hidup Untuk Allah” yang berlangsung selama dua hari di KM Chalet, Kuala Linggi, Melaka. Program anjuran Biro Pemuda HALUAN Negeri Sembilan/Melaka dengan kerjasama Madrasah Tahfiz Al-Quran Desa Darul Naim Kasih ini bertujuan membentuk generasi muda yang memahami tujuan hidup sebagai hamba Allah, berakhlak mulia serta bersedia menjadi pelapis dakwah dan kepimpinan ummah.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ir. Haji Jailani Yusuff, Penasihat HALUAN Negeri Sembilan dan Melaka, yang turut menyampaikan sijil penyertaan dan hadiah kepada para peserta. Hadir sama Haji Zainuddin bin Jantan, Mudir Madrasah Tahfiz Al-Quran Desa Darul Naim Kasih, serta barisan jawatankuasa program yang diketuai oleh Ustaz Musthofa Mubarak bin Kamaruzaman selaku Pengarah Program.

Sepanjang kem, peserta mengikuti pelbagai pengisian yang menggabungkan pembangunan rohani, sahsiah, disiplin dan kepimpinan diri. Antaranya slot Benteng Minda: Jaga Iman, Awas Trend!, Amazing Race, Latihan Memanah Tradisional, Tazkirah Hati, Rijal Workshop, Senam Ruhul Jadid serta Trekking Sejarah di Kota Bukit Supai.

Melalui aktiviti Trekking Sejarah tersebut, peserta bukan sahaja didedahkan kepada pengalaman lapangan, bahkan turut dibimbing mengkaji lima tokoh pemuda Islam sebagai inspirasi dalam membina jati diri, keberanian, kepimpinan dan kesediaan berkorban untuk perjuangan Islam.

Peserta juga dilatih bergerak dalam kump**an secara tersusun. Pada setiap sesi dan modul, Kem Komandan akan menyemak barisan serta mengira kekuatan pas**an sebagai latihan disiplin, tanggungjawab, kepatuhan arahan dan semangat berpas**an.

Dalam ucapan penutupan, Ir. Haji Jailani Yusuff mengingatkan para peserta agar menjadikan nilai-nilai yang dipelajari sepanjang kem sebagai panduan dalam kehidupan seharian serta terus istiqamah membina jati diri Muslim yang kuat dari aspek iman, ilmu dan amal.

Program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh ukhuwwah antara peserta dan fasilitator, meningkatkan kefahaman mengenai tujuan hidup sebagai hamba Allah dan khalifah, serta menyemai semangat hidup berjemaah melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Selain membina disiplin dan keyakinan diri, kem ini turut menjadi platform tarbiah bagi melahirkan generasi rijal yang bersedia menyumbang kepada dakwah Islam pada masa hadapan.

"Adalah menjadi harapan agar kem ini menjadi titik permulaan kepada pembentukan rijal jemaah yang memahami tujuan hidup dan bersedia menyumbang kepada dakwah Islam pada masa hadapan."

Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan secara berkala sebagai medan pembangunan generasi muda, sekali gus memperkukuh jaringan ukhuwwah dan melahirkan remaja Muslim yang seimbang dari aspek rohani, jasmani serta kepimpinan.

PROJEK KHAYYARA Perkukuh Ukhuwah Keluarga Pemuda dan PemudiAYER KEROH, 16 Jun 2026 — Seramai 40 peserta terdiri daripada...
22/06/2026

PROJEK KHAYYARA Perkukuh Ukhuwah Keluarga Pemuda dan Pemudi

AYER KEROH, 16 Jun 2026 — Seramai 40 peserta terdiri daripada Pemuda, Pemudi dan Aulad Banat HALUAN telah menyertai PROJEK KHAYYARA: Gabungan Pemuda/Pemudi yang berlangsung di Aseel Lounge, Vista Kirana, Ayer Keroh pada Selasa lalu.

Program yang berlangsung dari jam 7.15 malam hingga 10.00 malam itu dianjurkan oleh Biro Pemuda dengan kerjasama Pemudi N9M sebagai salah satu usaha memperkukuh institusi keluarga muslim melalui pengisian tarbawi, ukhuwah dan pembinaan kefahaman peranan dalam harakah.

Menurut Pengarah Program, Musthofa Mubarak bin Kamaruzaman, program ini bertujuan memberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai peranan dan tanggungjawab setiap ahli keluarga dalam membina keluarga muslim yang rabbani, di samping mengukuhkan ukhuwwah, ta’aruf dan kebersamaan antara keluarga Pemuda, Pemudi dan Aulad Banat.

Majlis turut dihadiri oleh pimpinan HALUAN Negeri, Tn Hj Jailani Yusof, yang juga menyampaikan pengisian utama bertajuk Peranan Pemuda dan Pemudi dalam Islam.

Dalam pengisian tersebut, beliau menekankan bahawa golongan Pemuda dan Pemudi merupakan aset penting dalam kelangsungan gerakan dakwah dan tarbiah, serta memainkan peranan besar dalam memperkukuh institusi keluarga muslim sebagai asas pembinaan masyarakat Islam yang kukuh.

"Pemuda dan pemudi hari ini adalah penggalas dakwah dan tarbiah masa hadapan. Keluarga muslim yang rabbani tidak terbina secara kebetulan, tetapi melalui tarbiah yang berterusan," ujar beliau.

Selain pengisian utama, program turut diserikan dengan aktiviti khas Aulad Banat yang bertemakan kepentingan masa, sebagai usaha menanam kesedaran sejak awal tentang amanah masa dan keperluan mengurusnya dengan baik menurut perspektif Islam.

Program kemudiannya diakhiri dengan sesi jamuan secara potluck, yang menjadi medium santai dalam mengeratkan lagi hubungan ukhuwwah antara peserta serta membina suasana kekeluargaan yang lebih mesra dan harmoni.

Secara keseluruhannya, PROJEK KHAYYARA berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran peserta tentang tanggungjawab sebagai penggerak dakwah dan tarbiah, di samping memperkukuh hubungan sesama keluarga anggota ahli HALUAN.

Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan secara berkala bagi memperkukuh jaringan ukhuwwah, membina keluarga rabbani dan melahirkan generasi Aulad yang memahami tanggungjawab sebagai pewaris perjuangan Islam.

Address

Seremban
70300

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when HALUAN Negeri Sembilan posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Organization

Send a message to HALUAN Negeri Sembilan:

Shortcuts

Share