20/03/2026
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Rakan-rakan ahli KPPSAINS dan keluarga besar SAINS yang dikasihi sekalian,
Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, kita telah berjaya mengharungi bulan Ramadan dengan penuh kesabaran dan ketaatan. Kini, tiba masanya untuk kita meraikan kemenangan ini dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang penuh dengan kegembiraan dan kesyukuran.
Saya mewakili barisan kepimpinan KPPSAINS ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua ahli kesatuan.
Terima kasih atas segala dedikasi, kerjasama, dan sumbangan tenaga yang anda berikan demi kelestarian kesatuan dan kecemerlangan organisasi kita.
Di kesempatan ini, saya ingin menitipkan dua pesanan penting, Bagi rakan-rakan yang akan memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah di jalan raya. Biar lambat, asalkan selamat sampai ke pangkuan keluarga tersayang. Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan rancang perjalanan anda sebaiknya.
Dalam keseronokan kita menikmati juadah raya dan menziarahi sanak saudara, janganlah kita lupa untuk menjaga kesihatan diri. Makanlah secara bersederhana dan pastikan kita sentiasa dalam keadaan yang cergas.
Di musim perayaan ini, mari kita suburkan jiwa SEPAKAT dalam ukhuwah, tingkatkan TOLERANSI sesama kita, dan raikan kegembiraan dalam suasana yang penuh HARMONI.
Berhati-hati di jalan raya dan jaga kesihatan.
Tc.Racidi Ghazali
Presiden KPPSAINS