20/10/2026
TERIMA KASIH ADIK-ADIK MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN AL-IMAN PERAK JALAN-JALAN DI KAMPUNG KITA😃
Alhamdulillah, suasana pagi Sabtu yang lalu meriah sangat Kampung Kita dengan kunjungan rombongan Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Iman, Menderang, Sungkai, Perak yang diketuai oleh Tuan Mohd Jafri bin Yusop.
Jauh-jauh datang dari Perak, bukan sekadar berjalan, tetapi membawa anak-anak tahfiz mengisi masa dengan ilmu. Masya-Allah, seronok melihat semangat anak-anak muda masa itu.
Seawal pagi, para jemaah sudah mula memenuhi Pusat Islam untuk bersama-sama mengimarahkan Kuliah Dhuha bersama Ustaz Mahfuz yang membawakan tajuk “Hati Yang Kembali Kepada Allah”.
Antara mutiara ilmu yang dikongsikan oleh Ustaz Mahfuz:-
1️⃣ Majlis Ilmu dan Peranan Hati
Ustaz mengingatkan bahawa kehadiran kita ke majlis ilmu bukanlah secara kebetulan, tetapi atas keizinan dan taufiq Allah SWT.
Rasulullah ﷺ bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah, sesungguhnya dalam jasad terdapat segumpal daging. Jika baik, maka baiklah seluruh jasad. Jika rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebab itu, sifat mazmumah seperti dengki, hasad dan rasa tidak puas hati perlu dikawal dengan ketakwaan kepada Allah.
Niatkan setiap amalan dan kehadiran ke majlis ilmu semata-mata kerana Allah. Walaupun kita tidak pernah melihat Allah, kita dikurniakan ilmu untuk mengenal-Nya.
2️⃣ Hidayah & Jentikan Kembali kepada Allah SWT
Kadang-kadang ketika sihat, kita mudah terlupa. Namun apabila diuji dengan kesakitan atau kemewahan, di situlah hati kita diingatkan untuk kembali kepada Allah.
Manusia memang bersifat lupa. Maka, jangan berhenti memohon agar Allah sentiasa memimpin hati kita.
Antara doa yang dikongsikan:
🤲🏻 Doa Ketetapan Hati
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
“Ya Muqallibal qulub, thabbit qalbi ’ala dinik.”
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.
(Riwayat al-Tirmizi)
🤲🏻 Doa Memohon Hidayah
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Maha Melimpah-limpah pemberian-Nya.”
(Surah Ali ’Imran: 😎
Sesungguhnya hidayah ialah petunjuk daripada Allah untuk kita sentiasa kembali kepada-Nya melalui jalan taubat.
3️⃣ Kisah Bishri Al-Hafi: Teladan Taubat & Memuliakan Allah SWT 📖
Antara kisah yang dikongsikan ialah kisah Bishr al-Hafi, seorang yang pada asalnya bergelumang dengan maksiat pada zaman Imam Ahmad bin Hanbal.
Diceritakan bahawa suatu hari, ketika berada dalam keadaan mabuk, beliau tertidur di tempat pembuangan sampah. Setelah terjaga dan berjalan ke pasar, beliau ternampak secebis kertas atau kulit kayu bertulis kalimah Allah yang terjatuh dan dipijak orang.
Beliau mengambilnya, membersihkannya sehingga wangi, lalu meletakkannya di tempat yang tinggi di rumahnya.
Dalam kisah tersebut, seorang wali dikatakan bermimpi selama tiga malam berturut-turut bahawa nama Bishr dimuliakan di syurga.
Setelah mendapat tahu tentang mimpi itu, Bishr tersedar dan akhirnya bertaubat nasuha. Beliau meninggalkan kehidupan lamanya, menanggalkan kasut sehingga dikenali sebagai al-Hafi, dan menjadi seorang tokoh yang terkenal dengan ketakwaannya.
Diceritakan juga bahawa Imam Ahmad sangat menghormati Bishr kerana kedalaman ma'rifatnya kepada Allah.
Begitu juga sifat kasihnya. Ketika melihat orang melakukan maksiat di atas kapal, beliau tidak mendoakan keburukan, sebaliknya memohon agar Allah mengurniakan mereka kebahagiaan di syurga.
Subhanallah, besar pengajaran kisah ini. Jangan pernah memandang rendah peluang seseorang untuk berubah. ❤️
4️⃣ Langkah-Langkah Kembali Kepada Allah SWT💡
Allah SWT berfirman:-
َـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ ٢٧
ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ٢٨
“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredai-Nya.”
(Surah al-Fajr: 27–28)
Antara langkah yang ditekankan:
🌸 Bertaubat daripada dosa. Setiap kali terlanjur melakukan dosa kecil atau besar, segeralah beristighfar dan memohon keampunan Allah. Anak-anak hafiz al-Quran juga digalakkan memperbanyakkan istighfar, sekurang-kurangnya 100 kali sehari.
🌸 Reda dengan ketentuan Allah. Belajar menerima ujian, kesakitan dan aturan-Nya kerana mungkin ada kebaikan yang belum kita ketahui.
🌸 Memohon doa dan reda ibu ayah. Jangan dilupakan keberkatan doa seorang ibu dan ayah dalam perjalanan kita kembali kepada Allah.
Ustaz turut berpesan tentang kelebihan mendoakan saudara kita secara rahsia. Doa yang ikhlas untuk orang lain mempunyai keutamaan yang besar di sisi Allah.
Rasulullah ﷺ bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ، كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ، وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Doa seorang Muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, malaikat itu berkata: Amin, dan untukmu juga seumpamanya.”
(Riwayat Muslim)
Turut dikongsikan amalan menulis kalimah Bismillah dengan niat memohon perlindungan Allah buat kediaman daripada gangguan syaitan.
Kesimp**annya, kembalilah kepada Allah pada setiap saat, kerana Dialah Rabb yang mencipta, menyusun dan menguruskan seluruh perjalanan hidup kita.
Selesai pengisian, rombongan anak-anak tahfiz turut berpeluang menikmati suasana santai di Perkampungan Al-Hijrah. 🛶
Antara yang mencuri perhatian ialah aktiviti Paddle Boat di Taman Rekreasi Hijrah.😍
Seronok melihat anak-anak naik paddle boat pusing-pusing menikmati suasana kolam yang dikelilingi kehijauan alam.
Jazakumullahu khairan kepada seluruh warga Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Iman Sungkai, Perak kerana sudi singgah ke Perkampungan Al-Hijrah. 🤗
Semoga segala ilmu yang diperoleh menjadi bekalan untuk terus memperbaiki hati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.🤲🏻
Insya-Allah, ada rezeki kita berjumpa lagi! 🥰
📍 Perkampungan Al-Hijrah, Seremban, Negeri Sembilan
=======================================
Haa.. sahabat semua. Siapa kata Kampung Kita tempat datang kuliah sahaja? Nak buat majlis, kursus, seminar, kem atau lawatan pun boleh tau. Jemputlah datang ya😃