13/12/2025
SIARAN MEDIA
PERSATUAN INSTITUSI TAHFIZ AL-QURAN (PINTA) NEGERI SEMBILAN
PELANTIKAN PENGERUSI PINTA NEGERI SEMBILAN SEBAGAI TIMBALAN PRESIDEN GABUNGAN PERSATUAN INSTITUSI TAHFIZ AL-QURAN (PINTA) KEBANGSAAN
Keramat, Kuala Lumpur | 13 Disember 2025 – Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (PINTA) Negeri Sembilan merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan rasa syukur atas pelantikan Al Fadhil Ustaz Hj. Mohd Ali Bin Ab Kadir Pengerusi PINTA Negeri Sembilan sebagai Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (PINTA) Kebangsaan bagi sesi 2026–2030.
Pelantikan tersebut telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PINTA Kebangsaan yang berlangsung dengan jayanya di Madrasah Tahfiz Ittifaqiyah, Keramat, Kuala Lumpur. AGM ini turut menyaksikan pembentukan dan pelantikan Ahli Jawatankuasa Baharu PINTA Kebangsaan bagi sesi 2026–2030, yang menghimpunkan barisan kepimpinan berwibawa dari seluruh negara.
PINTA Negeri Sembilan melihat pelantikan ini sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan aktif dan sumbangan berterusan kepimpinan tahfiz Negeri Sembilan dalam memperkasa agenda pendidikan tahfiz Al-Quran di peringkat kebangsaan. Ia juga mencerminkan kepercayaan yang tinggi terhadap keupayaan kepimpinan PINTA dalam menyatukan institusi-institusi tahfiz ke arah tadbir urus yang lebih tersusun, lestari dan berdaya saing.
Sehubungan itu, PINTA Negeri Sembilan menzahirkan komitmen penuh untuk terus bekerjasama erat dengan PINTA Kebangsaan dalam memperkukuh jaringan institusi tahfiz, memperjuangkan kebajikan warga tahfiz serta memartabatkan pendidikan Al-Quran selaras dengan tuntutan semasa dan aspirasi ummah.
Semoga amanah yang dipertanggungjawabkan ini dapat dilaksanakan dengan penuh hikmah dan keikhlasan, serta diberkati Allah SWT dalam usaha melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berdaya kepimpinan.
“Bersama Memperkasa Institusi Tahfiz, Memartabatkan Al-Quran”
Unit Media
BETAH Negeri Sembilan
13 Disember 2025