16/09/2026
UCAPAN PRESIDEN PARTI IMPIAN SABAH SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA (16 SEPTEMBER)
Salam Sejahtera, Salam Perpaduan dan Salam 1impian
Saudara dan saudari rakyat Sabah yang dikasihi sekalian, Hari ini, 16 September, menandakan detik amat bersejarah bagi kita, di mana Persekutuan Malaysia dibentuk atas persetujuan bersama Sabah, Sarawak dan Malaya. Hari Malaysia merupakan sebuah simbol kebangkitan, penyatuan dan cita-cita bersama sebagai warga Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.Sejarah penubuhan negara ini terbina di atas tiang seri kepelbagaian.
Sabah, dengan lebih 30 etnik dan pelbagai kebudayaan, sentiasa menjadi model terbaik perpaduan dan toleransi di Malaysia. Kebijaksanaan dan keharmonian yang kita amalkan di bawah bayang Gunung Kinabalu inilah yang menjadi kekuatan utama persekutuan kita.
Semangat Hari Malaysia perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata, bukan sekadar laungan slogan. Perjuangan memartabatkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mestilah kekal menjadi keutamaan. Keadilan pembangunan, kesaksamaan ekonomi, pemantapan prasarana asas, serta kedaulatan wilayah Sabah adalah tiang utama kepada keutuhan Malaysia secara keseluruhannya.
Parti Impian Sabah percaya bahawa Malaysia yang kuat dan makmur hanya dapat dicapai apabila Sabah dibangunkan secara adil dan saksama. Anak-anak Sabah berhak mendapat pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan kemudahan asas yang setara di mana jua mereka berada. Impian kita adalah untuk melihat Sabah berdiri megah sebagai penggerak utama ekonomi negara, bukan sekadar pemerhati dari tepi.
Rakyat Sabah yang dikasihi,
Marilah kita jadikan sambutan Hari Malaysia tahun ini sebagai medan memperbaharui tekad dan azam. Ketepikan perbezaan pandangan politik demi kepentingan nasional dan kesejahteraan tanah air. Perkukuhkan muafakat dan teruskan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.
Kepada generasi muda Sabah, peganglah panji-panji integriti dan keberanian. Masa depan Sabah dan negara ini berada di tangan anda. Teruskan berusaha gigih untuk merealisasikan Impian Sabah yang lebih maju, adil dan sejahtera.
Saya mewakili seluruh kepimpinan dan ahli Parti Impian Sabah, mengucapkan Selamat Hari Malaysia!
Kekalkan perpaduan, pertahankan kedaulatan dan jayakan Impian Sabah untuk Malaysia.
Terima kasih.
Dengan Ingatan Tulus Ikhlas,
MICHEL ALOK@ILOK
Presiden Parti Impian Sabah