21/07/2025
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahirahmanirahim wrh wbt
Jutaan Terima Kasih kepada Puan Hajah Sariah binti Haji Basar, selaku pelaksana Program Ziarah Kasih Kampung Balat, Yang Berusaha Tuan Ahmad Tajuddin Haji Mating, Ketua Bahagian PERKIS Kinabatangan, Yang Berusaha Encik Norhaidil Bin Amat Nor, Ketua JKKK Kampung Balat, para tetamu kehormat, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
Saya selaku wakil dari Pertubuhan Amal Kaseh Marhaen (PAKM) dan juga Ketua Amal Foodbank Sabah, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih atas jemputan yang sungguh bermakna ini. Kami amat bersyukur dan berbesar hati dapat bersama-sama dalam Program Ziarah Kasih Kampung Balat, Lamag Kinabatangan pada hari ini 20.07.2025. Jemputan ini bukan sekadar satu kunjungan, tetapi satu peluang yang amat berharga untuk kami mendekati komuniti dan berkongsi kasih sayang.
Setulus hati kami mengucapkan terima kasih kepada Puan Hajah Sariah binti Haji Basar atas inisiatif dan segala usaha gigih beliau dalam menjayakan program ziarah kasih yang sungguh mulia ini. Pengurusan program yang teliti dan penuh dedikasi ini benar-benar mencerminkan semangat kemanusiaan yang tinggi.
Tidak lupa juga, terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Ahmad Tajuddin Haji Mating, Ketua Bahagian PERKIS Kinabatangan, atas sokongan padu yang diberikan. Sokongan daripada pihak tuan adalah penggerak utama kepada kejayaan setiap usaha amal yang kita laksanakan bersama.
Dan sudah tentu, penghargaan istimewa buat Encik Norhaidil Bin Amat Nor, selaku Ketua JKKK Kampung Balat. Terima kasih kerana telah membuka ruang dan peluang yang begitu besar untuk program ini dijayakan di kampung yang indah ini. Tanpa kerjasama dan kebenaran daripada pihak JKKK, program seumpama ini sukar untuk dilaksanakan.
Sebagai wakil daripada Pertubuhan Amal Kaseh Marhaen, kami berasa amat terharu dan berbesar hati dapat menyumbang kepada komuniti Kampung Balat. Pada program Ziarah Kasih hari ini, kami telah menyediakan beberapa agihan sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang kami.
Antara agihan yang kami bawa adalah bantuan bakul makanan kepada seramai 30 orang asnaf. Kami berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung dan memberikan keceriaan kepada keluarga yang memerlukan. Selain itu, kami juga turut menyumbangkan sebanyak 20 naskah buku Al-Quran agar dapat dimanfaatkan oleh penduduk kampung untuk memudahkan amalan ibadah agama. Dan tidak ketinggalan, kami juga membawa pakaian-pakaian terpakai yang masih dalam keadaan baik untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Semua agihan yang saya sebutkan sebentar tadi adalah hasil daripada usaha dan kerjasama tanpa jemu dari seluruh ahli Pertubuhan Amal Kaseh Marhaen. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli PAKM yang terlibat, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Daripada proses pengumpulan, pembungkusan, sehinggalah kepada pengangkutan, setiap keringat dan pengorbanan kalian amat saya hargai. Usaha gigih dan semangat kebersamaan ini lah yang membolehkan kami terus berbakti kepada masyarakat.
Akhir kata, semoga program Ziarah Kasih Kampung Balat ini akan meninggalkan impak yang positif dan terus mengeratkan silaturahim antara kita semua. Marilah kita terus bersama-sama menyemai benih-benih kebaikan demi kesejahteraan masyarakat.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Allahuma Ya Salaam Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim