Wanita ISMA Sandakan

Wanita ISMA Sandakan Wanita ISMA merupakan salah satu biro dalam struktur organisasi ISMA

24/05/2026

IDENTITI SABAH ADALAH ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGERI

Perjuangan 600 Tahun Yang Terus Mengangkat Kekuatan Ummah.

Negeri Sabah sering digambarkan sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan agama. Namun di sebalik kepelbagaian itu, terdapat satu sejarah yang kukuh iaitu perkembangan Islam yang telah bertapak lebih enam abad di bumi Borneo Utara ini.

Sejarah ini menjadi asas kepada identiti umat Islam Sabah hari ini yang terus berkembang secara sihat dan aman.

Jejak Awal Islam di Pantai Timur.

Bukti bertulis paling awal mengenai kedatangan Islam ke Sabah ditemui di Lahad Datu. Manuskrip dalam bahasa Suku Idahan yang dijumpai di Kampung Sapagaya mencatatkan tarikh 1408 Masihi. Dalam manuskrip tersebut, dicatatkan seorang anak tempatan bernama Abdullah telah diislamkan oleh seorang ulama bernama Sharif Awliya’ al-Makhdum.

Perkembangan awal Islam di Sabah juga berkait rapat dengan Kesultanan Brunei. Pada zaman kegemilangannya, wilayah pantai barat dan utara Sabah berada di bawah naungan Brunei. Melalui hubungan perdagangan, perkahwinan, dan pentadbiran, ajaran Islam mula meresap dalam kalangan masyarakat Bajau, Suluk, Brunei, dan Iranun.

Sabah Sebagai Darul Saadah

Pengaruh Islam yang kuat menyebabkan negeri ini suatu ketika dahulu dikenali sebagai Darul Saadah, yang bermaksud “Negeri Kebahagiaan”. Gelaran ini muncul dalam dokumen sejarah Melayu dan Brunei untuk menggambarkan wilayah Sabah di bawah naungan Islam yang aman dan teratur. Nama ini mencerminkan bagaimana Islam bukan sekadar agama, tetapi membentuk sistem sosial, undang-undang, dan budaya masyarakat pantai timur dan utara Sabah sebelum kedatangan kuasa kolonial.

Status Islam dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

Kekuatan Islam di Sabah bukan hanya pada sejarah, tetapi juga pada kedudukannya dalam undang-undang. Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi negeri Sabah melalui Perlembagaan Negeri Sabah. Ini memberi asas perundangan kepada pentadbiran hal ehwal Islam melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Mahkamah Syariah.

Pengiktirafan ini menjadikan Islam sebahagian daripada struktur pentadbiran negeri. Ia membolehkan pembinaan institusi, penggubalan enakmen, dan pelaksanaan program dakwah serta pendidikan Islam secara rasmi.

Selepas era pemerintahan Syarikat Borneo Utara British, penyebaran Islam diteruskan oleh pendakwah tempatan dan pertubuhan dakwah. Organisasi seperti MUIS, PERKIM Sabah, USIA dan pelbagai badan bukan kerajaan memainkan peranan besar dalam membina masjid, sekolah agama, dan pusat dakwah di kawasan bandar dan pedalaman.

Pendekatan dakwah yang digunakan bersifat berhikmah. Para pendakwah menghormati adat dan bahasa tempatan, lalu menyampaikan Islam dalam konteks yang difahami oleh masyarakat Kadazandusun, Murut, Rungus, dan suku-suku pedalaman lain.

Hasil daripada proses dakwah yang konsisten, pop**asi Muslim di Sabah menunjukkan pertumbuhan yang positif. Islam kekal sebagai agama terbesar di negeri ini, disumbang oleh kadar kelahiran yang stabil, penghijrahan dari wilayah jiran, dan pengislaman baharu dalam kalangan masyarakat peribumi.

Pembinaan institusi pendidikan Islam seperti Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) turut memperkukuh proses ini. Institusi ini melahirkan ramai asatizah dan pendakwah tempatan yang memahami konteks sosiobudaya Sabah.

Apa yang membezakan Islam di Sabah ialah sifatnya yang sederhana dan terbuka. Masyarakat Muslim di sini hidup berdampingan dengan penganut agama lain dalam suasana saling menghormati.

Keunikan ini juga terserlah dalam seni bina. Masjid-masjid di pantai timur Sabah menggabungkan ukiran kayu tradisional Bajau dan Suluk, menunjukkan Islam mampu berakar dalam budaya tempatan tanpa hilang jati dirinya.

Penutup

Sejarah Islam di Sabah adalah kisah tentang ketahanan dan penerimaan. Dari manuskrip Idahan bertarikh 1408, gelaran Darul Saadah, hingga ke pengiktirafan dalam Perlembagaan Negeri Sabah hari ini, perjalanan ini membuktikan bahawa Islam mampu bertapak kuat tanpa menghapuskan identiti tempatan.

Pertambahan Muslim yang berlaku bukan sekadar angka statistik, tetapi bukti bahawa ajaran Islam diterima kerana keadilan, kesederhanaan, dan kesesuaiannya dengan budaya masyarakat Sabah. Jika warisan ini dijaga dengan hikmah, Islam di Sabah akan terus menjadi tunjang perpaduan untuk generasi akan datang.

-----

Rujukan:

1. Kertas Persidangan Universiti Utara Malaysia. Mahmad, M. A., Tajuddin, M. S., & Abdul Hamid, S. (2014). _Sejarah perkembangan Islam di Sabah: Satu sorotan ringkas_. Dalam _Proceedings of the 23rd International Conference of Historians of Asia 2014 (IAHA2014)_. Universiti Utara Malaysia & Persatuan Sejarah Malaysia. https://repo.uum.edu.my

2. Artikel Jurnal Universiti Kebangsaan Malaysia. Hajimin, M. N. H. H., Ag Omar, P. M. F., & Hajimin, N. A. (2020). Tun Mustapha dan pengukuhan Islam di Sabah: 1963–1973. _Akademika_, 90(1), 181–191. https://doi.org/10.17576/akad-2020-9001-15

3. Artikel Jurnal Universiti Malaya. Pengislaman beramai-ramai di pedalaman Sabah. (2019). _Sejarah: Journal of History Department, University of Malaya_, 28(2), 187–199. ISSN 1985-0611.

4. Tesis/Repositori Universiti Malaysia Sabah. Universiti Malaysia Sabah. (t.t.). _UMS Institutional Repository_. Diperoleh daripada http://eprints.ums.edu.my/

5. Data Rasmi Kerajaan. Jabatan Perangkaan Malaysia. (2020). _Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Taburan Penduduk Mengikut Negeri dan Agama_. Putrajaya: DOSM.

6. Perlembagaan Negeri Sabah. (1963). Perkara 5A: Agama Islam.


🌸PENGISIAN USRAH WANITA MEI 🌸Alhamdulillah, semalam berlangsung usrah wanita  di komuniti Mawar mengupas hadis Persiapan...
24/05/2026

🌸PENGISIAN USRAH WANITA MEI 🌸

Alhamdulillah, semalam berlangsung usrah wanita di komuniti Mawar mengupas hadis Persiapan Peribadi Pendakwah.

Daripada Abu Umamah al-Bahili, daripada Rasulullah ﷺ bersabda:
"Hendaklah kamu melakukan Qiyamullail. Sesungguhnya ia adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, ia mendekatkan kamu dengan Allah, menghapus kejahatan kamu serta mencegah kamu daripada melakukan maksiat."
(Sahih Ibn Khuzaimah No. 1135)

Bersempena 10 hari awal Zulhijjah, hadith ini mengajarkan bahawa seseorang pendakwah atau aktivis ummah perlu membangun kekuatan hubungan kepada Allah swt. Selain Qiyamullail, bacaan Quran, solat di awal waktu, serta zikrullah pagi dan petang menjadi amalan penting untuk membersihkan hatinya, menghapus dosa dan membina istiqamah dalam dakwah.

Persiapan menjaga amal soleh ini adalah bentuk tarbiyah diri dan adalah asas kejayaan dalam menyampaikan risalah Islam. Untuk wanita, sudah tentulah anak-anak adalah objek dakwah terdekat baginya.

💡 Tambahan pengajaran:
Seseorang tidak akan mampu memperbaiki masyarakat tanpa terlebih dahulu memperbaiki dirinya sendiri. Ini menunjukkan dakwah yang berkesan lahir daripada peribadi yang dekat dengan Allah, berakhlak baik dan sentiasa mujahadah melawan kelemahan diri.

📚 Diceritakan kisah Al-Rabi' ibn Sulaiman yang pernah menginap di rumah Imam al-Shafi'e. Beliau menceritakan bahawa Imam al-Syafi‘e membahagikan malamnya kepada tiga bahagian:
• satu pertiga untuk menulis ilmu,
• satu pertiga untuk tidur,
• dan satu pertiga lagi untuk qiyamullail serta ibadah kepada Allah.
Kisah ini menunjukkan bahawa para ulama' terdahulu bukan sahaja kuat dalam ilmu dan dakwah, tetapi sangat menjaga hubungan dengan Allah melalui ibadah malam. Inilah persiapan peribadi yang melahirkan keberkatan ilmu, keteguhan jiwa dan keberkesanan dakwah.

✨ Persiapkan diri sebelum memperbaiki masyarakat, kerana dakwah yang berkesan lahir daripada hati yang dekat dengan Allah.

Semoga Allah menjadikan kita pendakwah yang sentiasa memperbaiki diri, menjaga hubungan dengan-Nya, sanggup berkorban serta istiqamah dalam jalan perjuangan. Kerana dakwah yang menyentuh hati manusia lahir daripada hati yang hidup bersama Allah. 🤍






11/05/2026

IBU SEBAGAI MADRASAH PERTAMA

Dalam era dunia digital hari ini, cabaran mendidik anak-anak menjadi semakin kompleks. Hampir setiap hari masyarakat didedahkan dengan pelbagai berita yang membimbangkan di akhbar dan media sosial seperti kes buli, keruntuhan akhlak, ketagihan gajet, budaya seksual songsang, penyalahgunaan dadah, keganasan remaja malah kes anak-anak yang hilang adab terhadap ibu bapa dan guru. Semua ini menunjukkan bahawa krisis hari ini bukan sekadar krisis sosial, tetapi juga krisis tarbiah dan pembentukan jiwa.

Tekanan kehidupan moden juga menyebabkan ramai ibu bapa berdepan kekangan masa untuk bersama keluarga. Dalam keadaan ini, institusi keluarga menjadi benteng paling penting dalam membentuk generasi yang beriman dan berakhlak, dan ibu memainkan peranan yang sangat besar sebagai pendidik pertama anak-anak.

Dalam karya agung Tarbiyatul Aulad fil Islam, Abdullah Nasih Ulwan menegaskan bahawa pendidikan anak-anak tidak bermula di sekolah, tetapi sejak mereka berada dalam dakapan ibu. Ungkapan “ibu ialah madrasah pertama” amat bertepatan dengan pemikiran beliau yang melihat peranan ibu sebagai asas pembentukan generasi beriman dan berakhlak.

Menurut beliau, tarbiah anak merangkumi pelbagai aspek penting seperti iman, akhlak, fizikal, intelektual dan sosial. Dalam semua aspek ini, ibu memainkan peranan yang sangat besar kerana ibu merupakan insan paling dekat dengan anak sejak kecil. Daripada suara pertama yang didengar hinggalah kepada tingkah laku yang ditiru, semuanya banyak dipengaruhi oleh ibu.

Dalam aspek pendidikan iman, ibu bertanggungjawab menanam rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasul sejak awal usia. Melalui zikir, doa dan amalan harian, anak-anak dibiasakan dengan suasana keimanan. Ibu yang berilmu lebih mampu mendidik anak memahami makna ibadah, bukan sekadar melaksanakan rutin tanpa penghayatan.

Dalam pendidikan akhlak p**a, Abdullah Nasih Ulwan menekankan bahawa teladan lebih berkesan daripada kata-kata. Ibu yang sabar, jujur dan penyayang akan melahirkan anak-anak yang mencontohi sifat tersebut. Anak belajar melalui pemerhatian, dan ibu adalah cermin pertama kehidupan mereka.

Selain itu, dalam pendidikan intelektual, ibu digalakkan untuk sentiasa mencintai ilmu. Ibu yang berpengetahuan mampu merangsang pemikiran anak, menjawab persoalan mereka serta membimbing mereka mencintai pembelajaran. Justeru, pendidikan seorang ibu sebenarnya merupakan pelaburan besar dalam pembinaan generasi.

Dalam masa yang sama, Abdullah Nasih Ulwan turut mengingatkan bahawa pendidikan bukan hanya tentang kelembutan, tetapi juga disiplin. Ibu perlu bijak menyeimbangkan kasih sayang dan ketegasan agar anak membesar dengan adab, tanggungjawab dan jati diri yang kukuh.

Hakikatnya, dalam dunia hari ini, anak-anak bukan sahaja memerlukan kemudahan hidup, tetapi lebih memerlukan perhatian, bimbingan dan sentuhan jiwa daripada ibu bapa. Teknologi mungkin mampu memberi maklumat, tetapi hanya tarbiah mampu membentuk manusia.

Kesimp**annya, berdasarkan pemikiran dalam Tarbiyatul Aulad, ibu bukan sekadar penjaga, bahkan murabbi yang membentuk asas kehidupan anak-anak. Apabila seorang ibu memperbaiki dirinya dengan ilmu dan iman, maka dia sedang membina sebuah generasi yang kuat dan berakhlak. Benarlah, apabila terbina seorang ibu, maka terbinalah sebuah ummah yang bertamadun.

Dr. Iman binti Nor Ghani
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) ISMA Cawangan Alor Setar

07/05/2026

ISMA SANDAKAN DAN RAKAN STRATEGIK NGO SEMPORNA PRIHATIN SANTUNI 169 PELAJAR MANGSA KEBAKARAN KG. BAHAGIA

SANDAKAN, 29 April – Seramai 169 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Bahagia baru-baru ini menerima bantuan pakaian sekolah, bakul makanan dan barang kelengkapan rumah dalam satu majlis penyerahan di Surau Umar Al-Khattab SMK Batu Sapi hari ini.

Program anjuran bersama ISMA Cawangan Sandakan dan NGO Semporna Prihatin itu bertujuan meringankan beban keluarga mangsa serta memastikan pelajar dapat meneruskan sesi persekolahan tanpa gangguan.

Yang Dipertua ISMA Cawangan Sandakan, Ustaz Muhammad Nur bin Selamit dalam ucapannya menasihati para pelajar dan keluarga mangsa agar terus bersabar dan tabah menghadapi ujian tersebut.

“Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sebagai saudara se-Islam, inilah masanya untuk kita eratkan semangat ukhuwah. ISMA akan terus bersama masyarakat yang memerlukan sentuhan rohani,” katanya.

Sumbangan disampaikan oleh wakil Yayasan Hasanah melalui NGO Semporna Prihatin yang diketuai pengerusinya, Hassan bin Unus. Beliau berharap bantuan itu menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus fokus dalam pelajaran.

“Jangan jadikan musibah ini penghalang. Kami mahu anak-anak ini kembali ke sekolah dengan yakin dan bersemangat,” ujar Hassan.

Sementara itu, Pengetua SMK Batu Sapi, Fazman bin Mohd Yatim menegaskan pihak sekolah komited memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam akademik akibat tragedi berkenaan.

“Pihak sekolah akan menyediakan kemudahan asrama kepada pelajar yang memerlukan. Kita tak mahu isu tempat tinggal ganggu tumpuan mereka belajar, lebih-lebih lagi yang akan menduduki peperiksaan penting tahun ini,” jelasnya.

Majlis turut dihadiri Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) SMK Batu Sapi, guru-guru kebajikan sekolah serta wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan.

Kebakaran di Kampung Bahagia sebelum ini memusnahkan beberapa buah rumah dan menyebabkan puluhan keluarga hilang tempat tinggal serta harta benda termasuk kelengkapan persekolahan anak-anak.

07/05/2026

KESAN PENGARUH BUDAYA ASING KEPADA GENERASI MUSLIM

Sedar atau tidak generasi yang lahir hari ini adalah sebahagian daripada kesan penjajahan pemikiran dan pengaruh budaya asing yang telah lama menjadi kebiasaan masyarakat terutamanya anak-anak muda. Hiburan dan pergaulan bebas tanpa batas telah banyak menampakkan kesannya. Normalisasi melahirkan anak muda yang semakin jauh dari panduan agama, terikut-ikut gaya dan cara hidup budaya luar, hilang rasa malu dan kehormatan diri. Bahkan hidup dalam budaya yang tiada nilai dan batas. Pergaulan bebas, couple-crush, kata-kata lucah, perlakuan yang melanggar syariat dan akhirnya terlanjur berzina lalu melahirkan bayi. Semua ini bermula dari dosa yang telah dijadikan kebiasaan.

Kebiasaan ini p**a kesan daripada pendedahan yang sangat terbuka dalam industri seni dan hiburan. Serta terdedah kepada bahan bacaan yang mengandungi babak cinta, pergaulan bebas serta adegan dalam selimut yang bebas ditayangkan dan dianggap biasa.

Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam kitab Tarbiatul Aulad ada menjelaskan bahawa, salah satu daripada lima kaedah utama yang mempengaruhi pembentukan akhlak adalah pendidikan melalui kebiasaan.

Beliau menegaskan bahawa membiasakan anak-anak dengan kebaikan dan amal soleh yang konsisten akan memberikan kesan mendalam terhadap pembentukan jati diri, moral dan spiritual mereka.

Jika kebiasaan buruk yang sering ditunjukkan kepada generasi muda, maka apakah hasil yang akan diharapkan akan tumbuh? Generasi kini membesar dengan budaya dan kebiasaan yang mereka dengar, lihat dan baca. Sedangkan al-Quran mengajarkan para pemuda untuk menjauhi kejahatan yang merosakkan diri seperti zina dan menahan diri daripada perkara maksiat dengan solat. Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. “

(Surah al-Ankabut 29 : 45)

Allah juga berjanji akan memelihara pemuda yang memelihara iman dan akhlak mereka.

Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”

(Surah al-Kahfi 18:13)

Pemuda adalah tonggak kegemilangan umat seperti yang telah tercatat banyak dalam sejarah kegemilangan Islam.

Rasulullah SAW juga mendidik pemuda agar membenci maksiat. Seperti Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ لَيَعْجَبُ مِنَ الشَّابِّ لَيْسَتْ لَهُ صَبْوَة ٌ

“Sesungguhnya Allah sangat kagum dengan pemuda yang tidak ada ṣabwah (kecenderungan untuk melakukan maksiat).”

(Musnad Ahmad)

Sungguh Allah SWT kagum dengan pemuda yang mampu menjaga dirinya dari maksiat. Kerana dosa itu mengotori hati dan menutup pintu-pintu kebaikan. Bahkan dosa akan menghalang ilmu, menghalang penerimaan doa, menyempitkan rezeki dan memberatkan ibadah.

Kejayaan seorang pemuda

Kejayaan bagaimana yang kita harapkan buat generasi yang jauh dari ajaran al-Quran dan Sunnah?

Al-Quran menjelaskan bahawa kayu ukur kejayaan sebenar adalah apabila manusia, mensucikan hati dari kekotoran . Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)”.

(Surah al-Shams 91:9)

Dan meninggalkan perkara sia-sia dan melalaikan. Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;”

(Surah al-Mu’minun 23:3)

Sejarah telah membuktikan bahawa generasi yang berpegang kepada ajaran al-Quran akan kembali kuat dan mampu membina sebuah tamadun hebat yang diredhai Allah SWT dan dikagumi seluruh umat manusia.

Terlalu banyak kisah pemuda yang berjaya mencipta sejarah kegemilangan di dunia yang patut dicontohi.

Seruan kepada para pemuda

Pemuda adalah permata sebuah umat. Jauhkan diri dari budaya rosak yang menghilangkan sinarnya. Carilah sahabat yang dapat bersama-sama memilih jalan kebaikan dan menjauhi perkara sia-sia. Isilah masa lapang dengan perkara bermanfaat, kerana masa lapang adalah musuh kepada kebaikan. Kembalilah kepada al-Quran, baca dan belajar untuk memahaminya. Fahami kandungan al-Quran boleh membantu kita menjadi seorang insan yang berilmu, jelas tujuan hidup dan selamat dari fitnah dunia.

Buat ibubapa, pendidik dan semua masyarakat Islam, jangan putus asa mendidik generasi dengan tarbiyah Islamiah, mengikut ajaran al-Quran. Pantau pendidikan anak-anak, ajarkan kefahaman tentang agama. Didik mereka membaca dan memahami al-Quran seawal usia.

Perhatikan dengan siapa mereka berkawan, buku apa yang dibaca, apa yang mereka layari di media sosial. Bina hubungan kekeluargaan yang baik, agar keluarga menjadi tempat berlindung yang selamat buat anak-anak. Jadikan rumah kita tempat pertama yang mengajar mereka hidup sebagai hamba Allah.

Tanggungjawab kerajaan menyekat pintu kerosakan

Kepada para pimpinan yang dihormati, bantu generasi yang hebat ini dengan mewajibkan pendidikan iman dan sahsiah di sekolah dan institusi pengajian. Kerana ilmu bukan hanya pada akal, tetapi yang membina akhlak.

Tutup segala pintu kerosakan yang masuk dalam negara, buang semua unsur-unsur melalaikan dalam industri hiburan dan budaya.

Hapuskan laman-laman pornografi, drama-drama yang membangkitkan syahwat, serta penganjuran pesta hiburan yang melampau.

Tayangkan hiburan alternatif dan bahan-bahan yang membina jiwa dan jati diri generasi muda. Merekalah harapan masa depan, jika benih baik yang ditanam, maka hasilnya akan baik. Jika sebaliknya, maka keburukanlah yang akan berleluasa dalam masyarakat.

Peranan kita semua untuk kukuhkan benteng diri, keluarga, masyarakat dan negara dari bahaya musuh dengan ajaran al-Quran.

Usaha membina generasi adalah tanggungjawab seluruh individu, masyarakat, institusi pendidikan, pimpinan negara, kerana mereka adalah pemuda pemudi harapan, bakal pendidik anak bangsa dan pemimpin masa hadapan.

Semoga Allah pandu kita untuk terus dalam jalan yang lurus dan diredhainya.

Ustazah Zainab Husna binti Hussen
Ketua Biro Tarbiah ISMA Cawangan Kota Raja

30/04/2026
30/04/2026

FESTIVAL AIR: PENGANJURAN AWAM PERLU SELARI DENGAN NILAI AGAMA DAN BUDAYA

Malaysia sedang berdepan dengan pelbagai ujian dan konflik di peringkat global yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.

Sebagai contoh, ketegangan yang melibatkan negara seperti Iran, Amerika Syarikat dan Israel, termasuk isu penutupan Selat Hormuz, telah membawa implikasi besar sehingga memaksa negara kita menilai semula beberapa dasar dan polisi penting.

Pada bulan Mac yang lalu, sebahagian kawasan di Malaysia turut dilanda kemarau, sehingga kerajaan menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam penggunaan air dan tenaga, selaras dengan saranan antarabangsa.

Baru-baru ini, di Kampung Bahagia Sandakan p**a, telah dilanda kebakaran yang memusnahkan hampir 200 buah rumah atas air.

Kejadian ini menyebabkan ramai mangsa kehilangan tempat tinggal dan harta benda, hingga tinggal sehelai sepinggang.

Pada masa yang sama, umat Islam sedang membuat persiapan untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Haram, dengan penerbangan jemaah berlangsung hampir setiap hari.

Suasana menghantar jemaah haji juga dapat dilihat meriah di seluruh pelosok negeri di Malaysia.

Namun begitu, penganjuran festival air yang berunsur budaya luar di Kuala Lumpur dilihat sebagai satu langkah yang kurang sensitif terhadap realiti semasa umat.

Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam sewajarnya lebih berhati-hati dalam memilih bentuk hiburan agar tidak bercanggah dengan nilai agama serta suasana spiritual yang sedang dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia.

Walaupun terdapat jaminan bahawa festival ini akan dipantau dengan ketat, pengalaman menunjukkan bahawa program seumpama ini sering membuka ruang kepada unsur-unsur yang boleh membawa kepada kemaksiatan, pergaulan bebas dan pengabaian adab.

Budaya yang dibawa juga tidak berakar daripada tradisi tempatan, malah berpotensi menghakis identiti masyarakat.

Lebih membimbangkan, aktiviti ini boleh menormalisasikan perkara yang bertentangan dengan nilai Islam dan budaya setempat seperti yang digariskan dalam visi Malaysia Madani.

Tidak dapat dinafikan, golongan muda merupakan kelompok yang paling terdedah dan berpotensi untuk menyertai festival yang dianjurkan ini.

Persoalannya, tidakkah suasana semasa sudah cukup mencabar sehingga kita perlu menambah lagi unsur yang boleh merosakkan jati diri generasi muda?

Dari sudut kenegaraan, perkara ini wajar dinilai dalam kerangka Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan dan jati diri rakyat.

Prinsip pertama, Kepercayaan kepada Tuhan, menuntut agar setiap penganjuran awam selari dengan nilai keagamaan. Begitu juga prinsip Kesopanan dan Kesusilaan yang menekankan adab serta batas pergaulan dalam masyarakat.

Maka dengan itu, sebarang aktiviti yang berpotensi melanggar prinsip-prinsip ini perlu dinilai semula demi memelihara keharmonian dan maruah negara.

Sebagai seorang Muslim, tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran serta memelihara maruah diri dan masyarakat bukanlah satu pilihan, tetapi suatu kewajipan.

Kita dituntut menilai setiap perkara berdasarkan neraca syariat, bukan sekadar hiburan atau keuntungan ekonomi semata-mata.

Justeru, festival yang dirancang ini wajar dibatalkan dengan segera sebagai usaha mempertahankan nilai, akhlak dan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati.

Marilah kita menghayati pesanan dan nasihat yang telah direkodkan dalam Hadis di bawah ini:

Daripada Zainab binti Jahsy RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم دَخَلَ عليها فزِعًا يقولُ: لا إلَهَ إلَّا اللهُ! ويلٌ للعَرَبِ مِن شَرٍّ قدِ اقتَرَبَ؛ فُتِحَ اليومَ مِن رَدمِ يَأجوجَ ومَأجوجَ مِثلُ هذه. وحَلَّقَ بإصبَعِه الإبهامِ والَّتي تَليها،

قالت زَينَبُ بنتُ جَحشٍ: فقُلتُ: يا رَسولَ اللهِ، أنَهلِكُ وفينا الصَّالِحونَ؟

قال: نَعَم، إذا كَثُرَ الخَبَثُ.

Maksudnya:

“Celakalah orang Arab daripada kejahatan yang semakin hampir. Pada hari ini telah dibuka daripada tembok Yakjuj dan Makjuj sebesar ini…”

Zainab bertanya: “Adakah kita akan binasa sedangkan dalam kalangan kita ada orang-orang soleh?”

Baginda SAW menjawab:

“Ya, apabila banyaknya kemungkaran (kejahatan).”

(Riwayat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim).

Ustaz Muhammad Afif bin Idris
Ketua Pemuda ISMA Nilai

29/04/2026

🌸Sedikit Pemberian, Besar Manfaatnya 🌸

Alhamdulillah, selesai sudah sesi penyerahan sumbangan telekung kepada mangsa kebakaran Kg. Bahagia di 3 penempatan sementara; Dewan Sibuga, Sim Sim dan SK Gas.

Misi ini bertujuan memenuhi keperluan para wanita mempunyai kelengkapan solat yang bersih dan selesa sekaligus mengukir senyuman di wajah mereka saat disantuni.

Terima kasih kepada semua penyumbang budiman. Semoga setiap sujud yang didirikan dengan telekung ini mengalirkan pahala buat anda semua. ✨




29/04/2026
WANITA ISMA SANDAKAN HULUR BANTUAN KEPADA MANGSA KEBAKARAN DI TIGA PPSSANDAKAN, 26 APRIL - Wanita ISMA Cawangan Sandakan...
26/04/2026

WANITA ISMA SANDAKAN HULUR BANTUAN KEPADA MANGSA KEBAKARAN DI TIGA PPS

SANDAKAN, 26 APRIL - Wanita ISMA Cawangan Sandakan telah turun padang menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar daerah ini.

Antara lokasi PPS yang terlibat ialah Dewan Sibuga, Sim-Sim dan Sekolah Kebangsaan Gas. Misi bantuan ini disertai seramai 12 orang aktivis yang komited memastikan proses agihan berjalan lancar dan tersusun. Sebanyak 80 helai telekung dewasa, 40 helai telekung kanak-kanak serta handsock telah diagihkan.

Wanita ISMA Sandakan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atas kerjasama erat dalam memudahkan urusan penyampaian bantuan.

Usaha ini diharap dapat meringankan beban mangsa serta memberikan sedikit keselesaan dalam menghadapi ujian yang mencabar ini.




Address

Sandakan
90000

Telephone

+601126857183

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Wanita ISMA Sandakan posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share