23/07/2026
“Walaupun ketika itu saya masih seorang Kristian, sayalah yang membacakan buku-buku tentang Islam untuk ibu saya.”
Siapa sangka, buku-buku yang dibacakan untuk membantu seorang ibu mengenali Islam akhirnya menjadi jalan hidayah buat anaknya sendiri?
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Semalam, pejabat MRM menerima kunjungan Sister Jocelyn yang datang jauh dari Sabah untuk mengucapkan dua kalimah syahadah dan memulakan lembaran baharu sebagai seorang Muslim.
Namun perjalanan beliau menuju Islam bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Ia bermula daripada kasih seorang anak kepada ibunya. Apabila ibunya memeluk Islam, Sister Jocelyn ketika itu masih beragama Kristian.
Oleh sebab ibunya tidak boleh membaca, beliaulah yang mengambil tanggungjawab membacakan buku-buku tentang Islam, menerangkan isi kandungannya dan menemani ibunya memahami agama yang baru dianuti.
Tanpa beliau sedari, setiap helaian yang dibaca untuk ibunya sebenarnya sedang membuatkan beliau berfikir. Mengapa ajaran Islam itu banyak persamaan dengan apa yang dipejari oleh beliau ketika mengikuti kelas Injil di gereja. Ada satu ayat yang sentiasa bermain di fikirannya:
"Inilah hidup yang kekal itu, yaitu bahwa mereka mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang telah Engkau utus."
(Yohanes 17:3)
Ayat itu benar-benar menggugah jiwanya. Beliau mula bertanya:
"Jika Yesus sendiri menyebut “satu-satunya Allah yang benar”, siapakah Allah yang dimaksudkan?"
"Jika Yesus disebut sebagai seseorang yang diutus, bukankah yang mengutus dan yang diutus ialah dua pihak yang berbeza?"
"Jika Yesus ialah utusan Tuhan, mengapakah kebanyakan penganut Kristian hari ini mempercayai bahawa Yesus sendiri ialah Tuhan?"
Persoalan-persoalan itu tidak hilang.
Sebaliknya, ia semakin kuat dari hari ke hari.
Beliau mula membaca.
Mengkaji.
Bertanya.
Dan mencari.
Setiap jawapan membuka pintu kepada persoalan yang baharu. Namun beliau tidak pernah berhenti.
Mengapa?
Kerana beliau sedar bahawa persoalan tentang Tuhan bukanlah perkara kecil yang boleh diserahkan kepada tradisi, kebiasaan atau kepercayaan keluarga semata-mata.
Bukankah jika kita tersilap memilih pekerjaan, kita mungkin hanya kehilangan masa?
Jika tersilap membuat pelaburan, kita mungkin kehilangan harta?
Tetapi bagaimana jika kita tersilap mengenali Tuhan?
Kesannya bukan sekadar untuk kehidupan di dunia, tetapi juga kehidupan selepas kematian.
Sister Jocelyn hanya mahukan satu perkara - Kebenaran.
Alhamdulillah, Allah tidak menghampakan mereka yang benar-benar mencari petunjuk dengan hati yang jujur.
Sedikit demi sedikit, persoalannya mula terjawab.
Beliau akhirnya meyakini bahawa Allah SWT ialah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah. Allah tempat meminta segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dia tidak mempunyai sekutu. (Al-ikhlas 1-4)
Manakala Nabi Isa AS ialah seorang nabi dan utusan Allah yang mulia, diutus untuk menyeru manusia menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa.
Bukankah seruan yang sama turut dibawa oleh Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan seluruh para nabi?
Mereka tidak menyeru manusia menyembah diri mereka.
Mereka menyeru manusia kembali kepada Tuhan yang menciptakan mereka.
Keyakinan itulah yang akhirnya membawa Sister Jocelyn melafazkan dua kalimah syahadah dan memilih Islam sebagai cara hidupnya.
Subhanallah.
Siapa sangka?
Seorang anak yang pada awalnya membaca buku-buku Islam hanya kerana mahu membantu ibunya, akhirnya dipilih Allah untuk menerima cahaya hidayah melalui buku-buku yang sama.
Beliau menyangka sedang membantu ibunya mengenali Islam.
Namun dalam diam, Allah sedang memimpin beliau sendiri menuju Islam.
Bukankah itu suatu bentuk hidayah?
Kadangkala ia hadir melalui sebuah buku.
Kadangkala melalui satu perbualan.
Kadangkala melalui persoalan yang tidak pernah berhenti mengganggu fikiran.
Dan kadangkala, ia datang melalui insan yang paling dekat dengan kita.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki." (Surah al-Qasas 28:56)
Hidayah ialah milik Allah. Namun manusia tetap diperintahkan untuk membaca, berfikir, bertanya dan mencari dengan hati yang ikhlas.
Kerana kebenaran tidak takut kepada persoalan. Sebaliknya, persoalan yang jujur sering menjadi pintu menuju kebenaran.
Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT terus meneguhkan hati Sister Jocelyn di atas jalan Islam, mengurniakan kepadanya ilmu yang bermanfaat, kekuatan untuk beramal dan istiqamah sehingga akhir hayat.
Semoga kisah ini turut menjadi inspirasi kepada mereka yang masih mencari jawapan tentang Tuhan.
Dan buat kita yang telah lama bergelar Muslim, jangan p**a kita menyangka hidayah itu milik kita selama-lamanya.
Jika seorang yang belum mengenali Islam sanggup membaca, mengkaji dan mencari kebenaran, sudahkah kita yang dilahirkan sebagai Muslim benar-benar mengenali agama kita sendiri?
Semoga Allah menetapkan hati kita semua di atas akidah tauhid sehingga ke akhir hayat. Amin, ya Rabbal ‘alamin.
Jika anda ada persoalan tentang Islam, boleh WhatsApp team kami di 011-10500414 (Admin MRM)
Anda juga boleh bersama-sama menyokong usaha dakwah MRM agar lebih ramai pencari kebenaran dapat dibantu.
MAYBANK
Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa Kuala Lumpur dan Selangor
5648 1052 0353
UMMAT 💞
YA ALLAH PERBAIKILAH DIRI KAMI SEMUA UNTUK LAYAK DI SISI MU