12/10/2026
Allahyarham Ahmad Shahir berjasa kerana banyak merakam kuliah agama sekitar lembah Klang.
Mungkin ada petikan kuliah agama yang anda sendiri dengar dan tonton, anda sendiri tak tahu, beliaulah yang merakamnya.
Ada juga yang mengenali beliau kerana menjual kerepek.
Ya kehidupannya sederhana. Bukanlah selebriti.
Bukan juga asatizah yang berdiri di hadapan kamera menyampaikan kuliah.
Beliau orang di belakang tabir, memastikan ilmu yang disampaikan orang lain dapat dirakam dan dimanfaatkan kepada lebih ramai orang.
Beliau berahsia apabila kesihatannya semakin merosot,
ramai sahabat dan kenalan mula bersedih.
Dan apabila beliau menghembuskan nafas yang terakhir,
barulah kita melihat betapa luasnya hubungan dan kesan yang ditinggalkan sepanjang hidupnya.
Sejak di Bilik Pengurusan Mayat lagi, sahabat-sahabat telah mula hadir.
Apabila jenazah dibawa ke masjid, semakin ramai yang datang.
Ada wajah yang dikenali. Ada juga wajah yang langsung tidak dikenali.
Ada yang sanggup membeli tiket kapal terbang bermusafir semata-mata untuk hadir ke majlis pengebumiannya.
Asatizah yang pernah dirakam kuliahnya turut hadir.
Ada yang datang bersama sekump**an besar para pelajar tahfiz.
Ustaz yang dirakamnya dululah kini yang mengimamkan solat jenazahnya.
Jemaah memenuhi masjid sehingga melimpah,
suasananya seperti solat Jumaat.
Sesiapa yang melihat semua itu boleh terfikir.
Beliau bukan orang yang selalu berada di hadapan kamera. Bukan juga orang yang namanya sering disebut di atas pentas.
Tetapi orang yang mendapat manfaat daripada kerjanya hadir.
Orang yang pernah mengenalinya hadir.
Malah, ada yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan penghormatan terakhir.
Selama ini, beliau membantu merakam ilmu orang lain.
Ketika hidup di belakang kamera, tetapi apabila jenazahnya berada di hadapan, ramai yang berada di belakang Imam untuk mensolatkannya.
Bak kata sahabat terkenal Abdullah Ibn Mas'ud:
"Jadilah kalian sumber ilmu, pelita di dalam kegelapan, berhati bersih, berpakaian sederhana;
kalian dikenali oleh penduduk langit
walaupun tersembunyi daripada pandangan penduduk bumi."
(Sunan al-Darimi no. riwayat 265 / no. 256)
Orang mungkin berkata, “Siapa sangka…”,
tetapi saya p**a terfikir, “Percayalah…”
Percayalah bahawa kerja yang dilakukan tanpa sorotan kamera juga boleh membawa nilai yang besar di sisi Allah.
Kadang-kadang, orang di belakang tabir lebih banyak menyumbang daripada yang kita nampak di hadapan.
Tok siak yang datang awal untuk membuka pintu masjid sebelum imam tiba.
Petugas yang menyusun kerusi sebelum majlis bermula, tetapi namanya tidak pernah disebut ketika majlis berlangsung.
Begitulah halnya dengan cameraman kuliah, yang p**ang lewat selepas mengemas kamera dan peralatan.
Mereka mungkin tidak menerima tepukan.
Tidak disebut atau dijemput sebagai tetamu kehormat.
Tidak dipanggil naik ke pentas untuk menerima penghargaan.
Tetapi kerja mereka tetap memberi manfaat.
Dan kita tidak pernah tahu, amalan yang mana satu akan menjadi sebab rahmat Allah buat kita.
Allah Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh setiap hamba-Nya.
Tiada satu pun kebaikan yang terlepas daripada pengetahuan-Nya, walaupun sebesar zarah.
Kita mungkin tidak terkenal di mata manusia.
Tetapi jangan sampai kita berhenti berbuat baik hanya kerana manusia tidak mengenali kita.
Moga Allah merahmati Allahyarham Ahmad Shahir, mengampunkan segala dosanya dan menerima segala usaha serta sumbangannya sebagai amal soleh.
إِنَّا للهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ ...
“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nyalah kita kembali.”
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah segala kesalahannya.”
🤲 آمِيّنْ آمِيّنْ آمِيّنْ يَا رَ بَّ العَـــالَمِيْن 🤲
🏴 Definisi Melayu 🏴