06/09/2026
LEBIH 500 PENDUDUK MERIAHKAN MAJLIS PENUTUP ONE-B MERDEKA FEST 2026
BANDAR TASIK PUTERI, 6 September 2026 – Majlis Penutup ONE-B Merdeka Fest 2026 anjuran KRT Park Avenue BTP 1B berlangsung meriah apabila menerima kehadiran luar jangka melebihi 500 orang peserta dan pengunjung, sekali gus mengatasi sasaran awal seramai 200 orang.
Program yang diadakan di Padang Permainan Park Avenue BTP 1B itu turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Hasnal Rezua Merican bin Habib Merican, Penyelaras DUN Kuang; Puan Loo Voon May, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang; serta Encik Samsir bin Fadly, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Gombak.
Sambutan luar biasa itu mencerminkan sokongan padu penduduk terhadap penganjuran program komuniti yang berteraskan semangat kemerdekaan, perpaduan dan kejiranan. Kehadiran masyarakat pelbagai peringkat umur turut mewujudkan suasana meriah, harmoni dan penuh semangat patriotisme.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program, antaranya acara komuniti, aktiviti keluarga, pameran agensi, jualan komuniti, penyampaian hadiah, cabutan bertuah serta penglibatan rakan strategik dan penaja. Program ini turut menjadi medan terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk, pemimpin setempat, agensi kerajaan dan komuniti sekitar.
Pengerusi KRT Park Avenue BTP 1B, Saudara Azman bin Soid, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen tinggi dalam menjayakan program berkenaan.
Menurut beliau, kejayaan ONE-B Merdeka Fest 2026 adalah hasil semangat kerja berpasukan melibatkan ahli jawatankuasa, SRS, sukarelawan, agensi kerajaan, rakan strategik, penaja, peniaga serta penduduk setempat.
“Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat. Kehadiran yang melebihi jangkaan ini membuktikan bahawa semangat kejiranan dan perpaduan dalam komuniti Park Avenue BTP 1B terus kukuh,” katanya.
ONE-B Merdeka Fest 2026 bukan sahaja berjaya menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, malah turut memperkukuh hubungan komuniti di peringkat akar umbi melalui penglibatan aktif penduduk dan pelbagai pihak berkepentingan.
Program berakhir dalam suasana penuh kemeriahan dan meninggalkan kenangan bermakna kepada warga Park Avenue BTP 1B serta komuniti sekitar.
Kita Merdeka. Kita Bersatu. Kita One-B.
Kredit photo: Saudara Jesrin Allan