18/02/2026
Ziarah Kampung Hidayat, Pulau Bu**um
Alhamdulillah, kami berpeluang membawa Milah ke Kampung Hidayat, Pulau Bu**um, Semporna.
Ziarah kali ini bukan sekadar bercuti. Ia adalah ruang belajar tentang pelancongan komuniti. Bagaimana homestay diurus oleh keluarga kampung, bagaimana hasil kampung diangkat sebagai komoditi, dan bagaimana jaringan luar boleh masuk tanpa merosakkan nilai setempat.
Saya sempat bertanya kepada Milah,
“Apa perasaan kamu bila bersama Inak dan anaknya?”
Jawabnya ringkas,
“Tak rasa asing. Rasa macam keluarga.”
Padahal hubungan kami pada asalnya adalah kerjasama bisnes.
Mereka menyediakan homestay dan keperluan komuniti.
Kami membantu membawa pelancong masuk.
Namun apabila hubungan dibina atas hormat, amanah dan kepercayaan, ia tidak lagi terasa seperti transaksi. Ia menjadi persaudaraan.
Inilah semangat Ziarah Komuniti Sabah.
- Menghubungkan luar dan dalam kampung dengan adab.
- Menggerakkan ekonomi tanpa memutuskan nilai.
- Membina jaringan tanpa menghilangkan rasa kekeluargaan.
Kadang-kadang, keuntungan terbesar bukan pada angka. Tetapi pada hati yang tidak lagi rasa asing.