08/08/2025
PROGRAM JOM MASAK BUBUR LAMBUK KOLABORASI PERSATUAN PENDUDUK PPAM KASTURI DAN SURAU KASTURI BERSAMA KELUARGA KASTURI 2025
Tarikh : 22 Mac 2025 (Sabtu), bersamaan 22 Ramadhan 1446H
Masa : 8 pagi – 2.00 petang
Tempat : Surau PPAM Kasturi, Presint 17, Putrajaya
Program Bubur Lambuk ini merupakan kali kedua dianjurkan sempena bulan Ramadan 1446H sebagai inisiatif untuk menyemarakkan semangat gotong-royong, memperkukuh ukhuwah dalam kalangan penduduk, serta menyumbang kembali kepada komuniti PPAM Kasturi. Program ini turut bertujuan memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, tolong-menolong dan semangat kejiranan, di samping memperkenalkan tradisi penyediaan bubur lambuk sebagai salah satu warisan budaya Islam di Malaysia.
Program ini telah dianjurkan dengan kerjasama Surau Kasturi, dan lokasi utama aktiviti memasak serta agihan adalah bertempat di perkarangan Surau Kasturi.
Majlis dimulakan pada malam sebelumnya (21 Mac 2025) dengan aktiviti penyediaan bahan-bahan masakan oleh jiran tetangga sejurus selepas solat Tarawih. Semangat gotong-royong jelas terpancar apabila para penduduk berganding bahu dalam kerja-kerja penyediaan awal bagi melancarkan program keesokan harinya.
Pada hari program, iaitu Sabtu, 22 Mac 2025, acara dimulakan dengan bacaan doa sebagai pembuka majlis dan simbolik memohon keberkatan bagi kelancaran program.
Aktiviti memasak bubur lambuk secara bergotong-royong bermula sekitar jam 8.15 pagi. Suasana program amat meriah dan mesra, dengan penglibatan aktif penduduk termasuk jiran-jiran baharu yang turut serta buat kali pertama.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Ahmad Faisal bin Abdul Karim, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Putrajaya, bersama wakil-wakil MPP yang turun padang menyertai penduduk Kasturi dalam aktiviti memasak dan agihan bubur lambuk.
Bagi menambah nilai kepada penganjuran tahun ini, satu sesi pemeriksaan kesihatan percuma telah dianjurkan dengan kerjasama Stella Kasih Medical Centre. Pemeriksaan meliputi ujian tekanan darah dan saringan kesihatan asas, manakala ujian kadar kolesterol dalam darah turut ditawarkan sebagai pilihan berbayar pada kadar minimum RM10.
Sesi ini menerima penyertaan lebih daripada 70 orang penduduk, menunjukkan tahap kesedaran kesihatan yang semakin meningkat dalam komuniti. Bagi menyemarakkan suasana, cabutan bertuah turut diadakan untuk setiap individu yang menyertai sesi pemeriksaan, menjadikan inisiatif ini bukan sahaja bermanfaat dari sudut kesihatan tetapi juga menarik minat ramai. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan menambahkan lagi kemeriahan program keseluruhan.
Sebanyak lebih kurang 500 bungkus bubur lambuk telah berjaya disediakan dan diagihkan kepada penduduk. Menariknya, setiap pek bubur lambuk turut disertakan dengan bungkusan air berperisa jagung, sebagai pelengkap sajian untuk berbuka puasa dan tanda penghargaan kepada komuniti atas sokongan padu mereka.