24/05/2026
PROGRAM BORAK SANTAI : “KENAPA SAYA BERSAMA DARUSSYIFA” BERSAMA DARUSSYIFA’ PUTRAJAYA
| 22 Mei 2026, Jumaat |
Alhamdulillah, telah berlangsung Program Borak Santai bertajuk “Kenapa Saya Bersama Darussyifa’” anjuran Darussyifa’ Putrajaya bertempat di Pusat Rawatan Kecil Darussyifa’ Putrajaya, Surau Wahbah Al-Zuhaily (SWAZ), Presint 18 Fasa R12 Putrajaya.
Program ini telah disampaikan oleh Penasihat Darussyifa’ Putrajaya, YBrs. Ustaz Haji Muhd Redza bin Ahmad yang berkongsi pengalaman, perjalanan dakwah serta kepentingan istiqamah dalam membantu masyarakat melalui rawatan Islam berteraskan al-Quran dan sunnah.
Antara pengisian utama dalam penyampaian beliau, turut ditekankan bahawa hubungan ukhuwah sesama ahli dan perawat Darussyifa’ merupakan antara kekuatan utama dalam memastikan perjuangan dakwah dan kebajikan ini terus subur dan berkembang. Semangat saling membantu, hormat-menghormati serta keikhlasan dalam berkhidmat menjadi asas penting supaya warga Darussyifa' terus istiqamah bersama Darussyifa’.
Beliau turut berkongsi bahawa walaupun Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah hampir 10 tahun kembali ke rahmatullah, namun legasi perjuangan Darussyifa’ masih terus kekal dan berkembang sehingga hari ini. Antara tunggak utama kekuatan Darussyifa’ ialah istiqamah anak-anak murid Almarhum Tuan Guru yang terus menyambung usaha dakwah, rawatan Islam dan kebajikan kepada masyarakat.
Program ini turut memberi pendedahan kepada masyarakat tentang peranan Darussyifa’ dalam membantu ummah dalam mendapatkan rawatan Islam.
Turut berlangsung dalam program tersebut ialah majlis tahniq bayi yang disempurnakan oleh Ustaz Haji Muhd Redza bin Ahmad. Semoga anak yang diraikan membesar menjadi anak soleh, penyejuk hati ibu bapa dan mendapat perlindungan serta rahmat Allah SWT.
Penghargaan juga dirakamkan kepada seluruh jemaah Surau Wahbah Al-Zuhaily (SWAZ) serta penduduk Kariah Presint 18 Fasa R12 yang turut hadir memeriahkan majlis dan bersama-sama mengimarahkan program dakwah serta ukhuwah Islamiah ini.
Selain itu, program ini juga telah disiarkan secara langsung melalui platform TikTok Darussyifa’ Putrajaya bagi memberi peluang kepada masyarakat luar untuk turut mengikuti perkongsian ilmu, pengisian dakwah dan perkembangan aktiviti Darussyifa’ secara maya.
Semoga segala usaha dan pengorbanan semua pihak diberkati Allah SWT serta terus memperkukuhkan legasi dakwah dan kebajikan Darussyifa’ demi manfaat masyarakat.