17/07/2026
GKMM HARGAI RICHIAMO MART SENAWANG TAWAR 10% DISKAUN KEPADA PETUGAS MEDIA SEPANJANG PRN NEGERI SEMBILAN
SEREMBAN – Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) berbesar hati apabila Richiamo Mart Senawang sudi bekerjasama dan menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus bagi semua produk ‘over the counter’ kepada petugas media yang menjalankan tugasan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Inisiatif ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Richiamo Mart Senawang bagi menghargai komitmen dan peranan petugas media yang bertugas di lapangan dalam menyampaikan laporan serta perkembangan terkini berkaitan PRN Negeri Sembilan.
Selain menikmati diskaun bagi makanan seperti oden dan pastri, petugas media juga dialu-alukan untuk menggunakan ruang yang disediakan di Richiamo Mart Senawang bagi menyiapkan bahan berita mahupun menyunting kandungan dalam suasana yang selesa.
Bagi menikmati tawaran tersebut, petugas media hanya perlu menunjukkan pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada kakitangan Richiamo Mart Senawang ketika membuat pembelian untuk pengesahan.
GKMM dan Richiamo Mart Senawang berharap inisiatif ini dapat memberikan kemudahan kepada para wartawan, jurugambar, jurukamera serta seluruh petugas media sepanjang berlangsungnya PRN Negeri Sembilan.
“Kami memahami petugas media perlu bekerja dalam tempoh yang panjang dan bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain sepanjang pilihan raya ini. Justeru, kami berharap Richiamo Mart Senawang dapat menjadi antara lokasi untuk mereka berehat, mendapatkan makanan dan minuman serta menyiapkan tugasan berita dengan lebih selesa,” menurut kenyataan bersama GKMM dan Richiamo Mart Senawang.
Pada masa sama, GKMM menghargai kerjasama ini yang mencerminkan komitmen Richiamo Mart Senawang dalam menyokong warga media yang memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang tepat dan terkini sepanjang proses pilihan raya berlangsung.