13/06/2026
ADA APA DI PULAI CHONDONG?
Jika ditanya, ada apa di Pulai Chondong? Jawapannya mudah terlalu banyak yang boleh dibanggakan.
Pulai Chondong bukan sahaja terkenal dengan sektor ekonomi dan pertanian, malah lebih istimewa kerana kekuatannya sebagai pusat keilmuan yang melahirkan generasi berilmu sejak dahulu hingga kini.
Tidak keterlaluan jika Pulai Chondong digelar sebagai "Gedung Ilmu".
Di sini berdirinya pelbagai institusi pendidikan bermula daripada sekolah rendah seperti SK Bandar, SK Mata Ayer, SK Pangkal Nering, SK Pulai Chondong, SJKC Poey Sit, SK Pangkal Gong, SK Tok Bok, SK Labok, SK Sungai Bagan dan SK Dewan Besar.
Pada peringkat menengah p**a terdapat Maahad Syamsul Maarif Lelaki, Maahad Syamsul Maarif Perempuan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, SMK Abdul Samad dan Sekolah Menengah Sains Machang. Malah, Pulai Chondong bakal menerima sebuah Kolej Tingkatan Enam, menambahkan lagi nilai pendidikan di kawasan ini.
Pendidikan awal kanak-kanak turut berkembang dengan kewujudan 8 buah PASTI dan beberapa buah Tadika KEMAS yang menjadi asas pembentukan generasi masa depan.
Tradisi keilmuan Islam p**a terus subur menerusi pondok-pondok pengajian yang masih beroperasi seperti Ribat Al-Musthafa dan Pondok As-Solihin, di samping sejarah kegemilangan pondok-pondok terdahulu seperti Pondok Tuan Guru Haji Ghazali, Pondok Galang dan beberapa lagi pusat pengajian yang pernah mewarnai landskap ilmu di Pulai Chondong.
Turut menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam ialah Pusat Tahfiz Ayra Kg Bandar, sebuah pusat tahfiz swasta yang memberi ruang kepada anak-anak mendalami al-Quran.
Dalam aspek pembangunan wanita, Pulai Chondong menyediakan peluang ekonomi menerusi kilang roti yang membuka peluang pekerjaan kepada golongan wanita. Selain itu, Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) turut menawarkan pelbagai kelas kemahiran termasuk jahitan dan latihan kemahiran lain bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Dari sudut pertanian p**a, Pulai Chondong mempunyai Kelantan Biotech Corporation yang memberi fokus kepada pertanian berteknologi tinggi, selain sokongan daripada agensi seperti Peladang dan RISDA yang membantu memperkukuhkan sektor pertanian setempat.
Sektor ekonomi juga terus berkembang dengan perancangan pembinaan kilang IBS yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta merancakkan aktiviti ekonomi kawasan sekitar.
Pembangunan infrastruktur turut membawa perubahan besar. Pembukaan Jambatan Kg Joh – Kg Belimbing memberi nafas baharu kepada masyarakat dari segi perhubungan dan aktiviti ekonomi. Manakala pembukaan jalan baharu Kg Joh – Kg Lepan Kandis bakal membuka jajaran penempatan dan peluang pembangunan baharu yang mampu mengubah landskap ekonomi setempat pada masa hadapan.
Bagi pencinta alam dan pelancongan, Pulai Chondong turut menawarkan tarikan menarik seperti Kolam Air Panas yang telah dinaik taraf, Puncak Point of View Bukit Tongkat serta Gua Kambing yang mempunyai keunikan tersendiri.
Pulai Chondong bukan sekadar sebuah kawasan penempatan. Ia adalah bumi ilmu, pusat pembangunan insan, medan ekonomi yang sedang berkembang dan destinasi yang menyimpan pelbagai potensi untuk diterokai.
Inilah Pulai Chondong sebuah kawasan yang kaya dengan sejarah, subur dengan ilmu, pesat membangun dan penuh harapan untuk masa depan.