Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh - ECRL

Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh - ECRL Contact information, map and directions, contact form, opening hours, services, ratings, photos, videos and announcements from Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh - ECRL, Community Center, Taman Sungai Sireh Pelabuhan Klang, Port Swettenham.

Hari ini penduduk Taman Sungai Sireh mengadu longkang di sekeliling rumah mereka dinaiki air walaupun cuaca panas dan ti...
05/02/2026

Hari ini penduduk Taman Sungai Sireh mengadu longkang di sekeliling rumah mereka dinaiki air walaupun cuaca panas dan tiada hujan. Sebahagian longkang dipenuhi air keroh berwarna kuning pekat dan tidak mengalir seperti biasa. Penduduk mendakwa perkara ini berkemungkinan berpunca daripada kerja-kerja pembinaan projek ECRL yang sedang berlangsung di perumahan tersebut. Mereka juga bimbang jika hujan lebat pastinya longkang tidak dapat menampung aliran air sehingga boleh menyebabkan banjir. Aduan telah dibuat kepada pihak MRL dan MBDK.

03/11/2025

Laluan alternatif keluar masuk ke Jalan 2, Taman Sungai Sireh yang dibina oleh kontraktor ECRL menyukarkan penduduk. Laluan tersebut agak sempit bila dilalui kenderaan yang berselisih dari arah bertentangan. Lebih-lebih lagi kenderaan bersaiz besar seperti bas dan lori. Kenderaan yang masuk dari jalan utama terpaksa mengundur ke belakang untuk memberi laluan kepada kenderaan lain yang hendak keluar. Masalah timbul bila ada kenderaan-kenderaan lain di belakang kenderaan yang mahu mengundur tadi.

Pandangan pemandu juga terhalang dari melihat kenderaan yang hendak keluar ke jalan utama. Ini disebabkan pagar zink yang didirikan begitu hampir dengan jalan.

Bahu laluan juga didapati tinggi dan terdapat banyak serpihan batu konkrit yang besar dan tajam. Ianya boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada pengguna jika kenderaan terjatuh ke tebing tersebut.

Penduduk menggesa pihak MRL mengambil maklum perkara ini dan melakukan tindakan dengan segera.

Pihak MRL melalui kontraktornya sudah memulakan kerja-kerja projek ECRL di Taman Sungai Sireh seawal bulan Mac 2025 yang...
01/11/2025

Pihak MRL melalui kontraktornya sudah memulakan kerja-kerja projek ECRL di Taman Sungai Sireh seawal bulan Mac 2025 yang lalu.

Namun kerja-kerja pembinaan yang sedang berlangsung telah menimbulkan rasa ketidakpuasan hati penduduk terutamanya pemilik rumah kediaman di pinggiran projek. Di antara keluhan penduduk adalah;

1. Bunyi bising dan gegaran kuat ketika kerja-kerja meruntuh rumah yang terlibat dengan pengambilan dan kerja-kerja memecah konkrit.

2. ⁠Serpihan konkrit memenuhi longkang mengakibatkan saliran tersekat. Air bertakung boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes. Aduan telah dibuat pada 15 April 2025.

3. Terdapat penduduk mengadu cornis siling rumah tercabut dan jatuh dikatakan berpunca dari gegaran. Aduan telah dibuat tetapi belum ada apa-apa tindakan.

4. ⁠Kontraktor menjalankan kerja pembinaan sehingga waktu malam. Bunyi bising mengganggu ketenteraman penduduk yang mahu berehat.

5. ⁠Masalah habuk daripada kerja-kerja pembinaan dan lori jentera yang melalui kawasan taman.

6. ⁠Masalah tempat parkir yang semakin berkurangan.

7. ⁠Jalan alternatif ke taman yang dibina agak sempit dan curam di bahu jalan. Ianya menyukarkan kenderaan yang berselisih daripada arah yang bertentangan. Jalan masuk ke selekoh jalan ini juga tajam dan boleh mengundang kemalangan.

8. ⁠Terdapat penduduk yang mempunyai masalah kesihatan seperti vertigo dan lain-lain. Ianya memberi kesan langsung kepada pesakit akibat gegaran dan gangguan daripada aktiviti pembinaan.

Sehubungan dengan itu, pihak MRL dan kontraktor perlu lebih cakna menjaga kemaslahatan penduduk terkesan terutama bagi kediaman yang berhampiran dengan tapak projek. Isu keselamatan dan ketenteraman penduduk taman ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak memandangkan pembinaan projek ini akan berjalan dalam tempoh yang panjang. Sudah tentu seluruh penduduk taman ini akan menerima kesan-kesannya kepada mereka.

Kerja-kerja meroboh 89 buah rumah penduduk yang terkesan projek ECRL di Taman Sungai Sireh telah bermula sejak awal bula...
09/04/2025

Kerja-kerja meroboh 89 buah rumah penduduk yang terkesan projek ECRL di Taman Sungai Sireh telah bermula sejak awal bulan Mac 2025 yang lalu sehingga sekarang.

Penduduk yang tinggal lebih-lebih lagi di rumah yang bersebelahan dan berhampiran tapak projek mula resah serta terganggu dengan kerja-kerja perobohan tersebut. Mereka dapat berasa gegaran di dalam rumah semasa kerja-kerja sedang dilakukan. Ada yang mempertikaikan SOP pihak terbabit yang hanya meletak penghadang plastik sahaja bagi memagari kawasan terbabit. Penduduk berpendapat sepatutnya penghadang zink yang tinggi dan kukuh perlu digunakan bagi menjamin keselamatan penduduk.

“Patut MRL pagar dulu dengan metal deck macam depan surau tu .. ni pasang bolard. Bolard tu untuk jalan raya je”, rungut seorang penduduk.

Seorang lagi penduduk menyuarakan kebimbangannya, “Maaflah kalau saya mencelah... sepatutnye untuk proses merobohkan struktur.. dia kena pakai mesin kepala hekker tu... baru impak jatuhan struktur tu tak berterabur... lepas tu baru buat proses pembersihan guna eskevator basket tu... sebab impact jatuhan struktur tu sampai bergegar rumah-rumah sekeliling.. risau ada yang retak je...”

Penduduk berharap pihak MRL dan kontraktor yang dilantik dapat mengambil perhatian serius perkara ini sebelum perkara tidak diingini berlaku.

04/10/2024

MRL balas surat JKBTSS tolak rayuan penduduk tangguh pengosongan rumah.
Projek ECRL mahu disegerakan.

16/09/2024

Sambutan MaulidurRasul (saw) dan Hari Malaysia di Taman Sungai Sireh.
Sebahagian penduduk meraikan sambutan ini buat kali terakhir di sini dan akan menjadi memori sepanjang hayat.

HILANG BERSAMA ARUS Pak Samat membetulkan kedudukan kopiah di kepalanya. Dia merenung wajahnya di cermin. Jelas kelihata...
04/09/2024

HILANG BERSAMA ARUS

Pak Samat membetulkan kedudukan kopiah di kepalanya. Dia merenung wajahnya di cermin. Jelas kelihatan kedutan di kulit mukanya yang dimamah usia. Umurnya sudah mencecah 87 tahun. Kesihatannya semakin terganggu kebelakangan ini. Namun dia tetap bersyukur kerana masih lagi mampu untuk menguruskan dirinya sendiri. Cuma dia agak kesunyian kerana isteri yang dikasihinya telah dijemput Ilahi setahun yang lalu. Walaupun anak lelaki bongsunya menjadi peneman dan tinggal bersama, namun kebahagiaan hidup ketika bersama arwah isterinya tidak dapat diganti.

“Abah!... abah dah siap ke? Jom kita bertolak. Takut jalan jem p**a pagi-pagi ni”. Kedengaran suara anaknya Zubir memanggil dari ruang tamu.

“Ye..ye ... dah siap Zubir. Tunggu sekejap. Ada nampak tongkat abah? Entah di mana p**a abah letak pagi tadi”. Pak Samat bergerak terhoyong-hayang sambil matanya melihat ke sekeliling arah mencari tongkat yang telah banyak berjasa membantunya berjalan ke sana sini.

Pagi ini Pak Samat perlu hadir di Pejabat Tanah bagi menguruskan tuntutan pampasan rumahnya yang akan diambil Kerajaaan. Rumah yang telah didudukinya selama lebih 20 tahun di Taman Daun Sireh akan dirobohkan kerana terkena jajaran projek landasan keretapi ERCL. Lebih 90 penduduk di taman perumahan itu juga turut menerima nasib sepertinya. Dia hanya tahu jajaran projek itu akan melalui taman setelah dimaklumkan oleh Jawatankuasa Bertindak Taman dua tahun yang lalu.

Kereta yang dipandu Zubir bergerak perlahan menyusuri lorong-lorong taman menuju ke pusat bandar. Di dalam kereta Pak Samat menyepi diri. Pandangan matanya tertumpu kepada deretan rumah di kanan kirinya. Dia amat mengenali setiap pemilik serta ahli keluarga yang menghuni rumah di sepanjang deretan itu. Semuanya adalah jiran dan rakan taulan yang sangat rapat dengan dirinya. Bahkan dia menganggap mereka semua adalah sebahagian keluarganya sendiri. Mereka telah sebati dalam kehidupannya berpuluh tahun lamanya.

Namun semuanya akan menjadi kenangan. Pak Samat sedih kerana dia akan kehilangan orang-orang yang berada di sekelilingnya sekarang ini. Rakan sebaya tempat dia mencurah rasa, orang-orang muda yang sering menyantuninya dan anak-anak kecil yang manja memanggilnya dengan gelaran Tok Amat. Jemaah surau yang dikasihinya juga akan ditinggalkan. Dia tidak akan lagi mendengar azan subuh yang dilaungkan oleh Haji Din. Dia pasti akan merindui suara merdu imam Sahak mengalunkan bacaan Al-Quran ketika mengimamkan sembahyang. Pak Samat juga akan ketinggalan mengikuti pengajian kitab Ihya Ulumuddin yang dipimpin oleh Ustaz Imran setiap minggu. Dia berasa kebahagiaan hidupnya yang dikecapi selama ini akan diragut. Hilang semuanya. Tanpa disedari air matanya membasahi p**i.

Masih segar dalam ingatan Pak Samat 50 tahun dahulu, kawasan perumahan itu asalnya adalah sebuah perkampungan. Pak Samat telah menduduki kampung itu sejak tanahnya diteroka oleh generasi yang terdahulu. Sehinggalah pada satu ketika, sebuah syarikat pemaju mahu membangunkan kampung itu dan menjadikannya sebagai taman perumahan. Pak Samat dan penduduk dipujuk dan akhirnya mereka bersetuju untuk dipindahkan ke Pekan Raja Salamun sehingga rumah ganti yang ditawarkan siap dalam tempoh dua tahun. Namun malangnya, mereka menunggu begitu lama dan selepas 17 tahun baharulah rumah yang dijanjikan dapat diduduki.

Pengalaman itu menjadi kenangan pahit kepada Pak Samat. Dia telah menjadi mangsa pemaju tidak bertanggungjawab yang menjanjikan satu pengharapan tinggi kepadanya. Sebab itu, dia membantah projek keretapi ERCL ini kerana memaksanya berpindah sekali lagi dan diusir daripada tempat tinggal halamannya berpuluh tahun. Walaupun dijanjikan dengan pampasan, namun baginya kenikmatan hidup yang dikecapi sekarang tidak boleh ditukar ganti dan dibeli dengan wang ringgit.

Kereta Zubir melintasi tanah perkuburan Selat Pekan. Dia memperlahankan keretanya apabila terlihat sekump**an orang berkumpul di pondok wakaf perkuburan itu.

“Abah, ada apa ramai-ramai kat depan tu?”.

“Ehhh... yelah. Haji Mail pun ada tu. Singgah sekejap Zubir”. Pak Samat tersentak dari lamunan.

Zubir memberhentikan kenderaannya di bahu jalan bersebelahan pondok wakaf perkuburan. Pak Samat menurunkan cermin jendela kereta.

“Assalamualaikum!” Pak Samat menyapa Haji Ismail di celah sekump**an orang yang berada di situ. “Siapa p**ak yang meninggal ni? Saya tak dengar apa-apa pun pengumuman subuh tadi”.

“Eh... Pak Samat, Zubir. Nak ke mana pagi-pagi ni?” Haji Ismail meluru mendapatkan Pak Samat menghulurkan tangan bersalaman. Haji Ismail adalah Pengerusi Surau Al-Ansar Taman Daun Sireh. Dialah orang yang akan dirujuk untuk menguruskan jenazah jika berlaku kematian di taman.

“Giliran saya ke Pejabat Tanah hari ni Haji Mail. Kan ada sesi bicara pampasan rumah taman kita. Haah... siapa p**a yang meninggal hari ni?”.

“Eh.. tak ada siapa meninggal Pak Samat. Ni tengah tunggu Pegawai Majlis Bandaraya dan wakil syarikat LRM yang kendalikan projek keretapi tu. Saya baharu dapat tahu tanah perkuburan ini pun terkena jajaran di bahagian sebelah sini. Nampak gaya yang matipun kena berpindah jugalah”. Haji Ismail menjelaskan sambal jari telunjuknya diarahkan ke kawasan yang dimaksudkan.

“Allahuakbar!.... Tanah kubur pun terkena juga? Arwah mak dan isteri saya pun dikebumikan di situ. Ya Allah, Ya Tuhanku...” Pak Samat terkejut dan suaranya terketar-ketar menahan sebak. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Air matanya bergelinangan lagi.

“Kenapa tak ada siapa yang maklumkan perkara ni? Kalau kita diberitahu dari awal lagi, tak adalah jenazah dikuburkan di kawasan ini. Allah... hal rumah tak selesai, timbul p**a masalah kubur”. Zubir mencelah dengan nada kesal.

“Bersabarlah Pak Samat, Zubir. Kami datang pun nak dengar penjelasan tentang perkara ni. Kita nak tahulah apa cerita sebenarnya. Harap adalah jalan penyelesaiannya”. Haji Ismail cuba menenangkan.

Kelihatan beberapa kenderaan pacuan empat roda dipercayai milik agensi Kerajaan dan syarikat LRM memasuki kawasan tanah perkuburan Bersama dua kenderaan Polis di belakangnya.

“Haa.. itu pun mereka dah sampai. Maaf Pak Samat, saya kena uruskan perkara ni dulu. Apa-apa hal saya maklumkan kepada Zubir, anak Pak Samat ni”. Haji Ismail bergegas meninggalkan Pak Samat yang masih dalam kepiluan.

“Ya Allah! apakah dosa yang kami lakukan sehingga diuji begini. Aku reda dengan apa juga ketentuan-Mu. Ya Allah, Jadikanlah aku hamba-Mu yang sabar”. Pak Samat beristighfar panjang. Kesedihannya sudah tidak dapat dibendung.

“Samat bin Deris, dengan ini saya memutuskan nilai pampasan yang akan dibayar adalah sebanyak…”. Tiba-tiba satu suara kuat menusuk telinga Pak Samat dan mengejutkannya dari lamunan panjang.

Pak Samat terkebil-kebil memandang Tuan Pentadbir Tanah di hadapannya. Sesi perbicaraan tuntutannya telah diputuskan di kamar khas. Pak Samat menoleh ke arah Zubir yang duduk terpaku mengetap bibir. Pak Samat menarik nafas panjang. Mahu tidak mahu, dia terpaksa akur walaupun hatinya berat menerima keputusan itu.

PERMOHONAN PENANGGUHAN NOTIS BORANG J AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960 [ Seksyen 20 ] IAITU PENGOSONGAN RUMAH PENDUDUK TERKES...
30/08/2024

PERMOHONAN PENANGGUHAN NOTIS BORANG J AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960 [ Seksyen 20 ] IAITU PENGOSONGAN RUMAH PENDUDUK TERKESAN PROJEK ECRL DI TAMAN SUNGAI SIREH, PELABUHAN KLANG.

Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh (JKBTSS) telah menghantar surat kepada YAB Dato’ Seri Menteri Besar Selangor, Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) Negeri Selangor dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd untuk memohon penangguhan pelaksanaan Borang J iaitu notis pengosongan rumah kediaman penduduk yang terkesan projek ECRL.

Permohonan melanjut tempoh pengosongan rumah adalah mengambil kira perkara berikut:

1. Kesukaran mendapatkan rumah sewa dengan bayaran sewa yang berpatutan di kawasan sekitar.
2. Kesukaran mencari saiz rumah yang boleh menampung jumlah penghuni dan barang-barang sedia ada.
3. Kesukaran mencari lokasi rumah yang bersesuaian dengan mengambil kira jarak tempat kerja dan sekolah anak-anak.
4. Urusan pemindahan persekolahan anak-anak, urusan pengangkutan ulang-alik ke sekolah dan anak terlibat peperiksaan SPM/STPM/STAM dan lain-lain pada tahun 2024/2025. Persekolahan sesi 2024/2025 juga dijangka akan berakhir pada akhir Februari 2025.
5. Urusan perpindahan rumah dengan barang-barang yang banyak memerlukan tenaga kerja dan masa yang panjang.
6. Proses pindah milik bagi pembelian rumah mengambil masa 6 bulan hingga 1 tahun dan pembelian rumah baharu mengambil masa dalam tempoh 1 hingga 2 tahun.

Turut dilampirkan bersama surat senarai 55 orang penduduk yang memohon penangguhan tersebut.

JKBTSS berharap permohonan itu dapat dipertimbangkan.

Semua pemilik rumah yang terkesan projek ECRL di Taman Sungai Sireh telah selesai menjalani sesi Pendengaran Ke-2  terma...
27/07/2024

Semua pemilik rumah yang terkesan projek ECRL di Taman Sungai Sireh telah selesai menjalani sesi Pendengaran Ke-2 termasuk kump**an akhir pada 23 Julai 2024 yang lalu di bangunan JKPTG, Klang. Pemilik yang akan diambil rumah mereka telahpun mengetahui jumlah nilai pampasan. Pemilik yang tidak berpuas hati akan mengisi borang N bagi proses ‘terima dengan bantahan’ kepada JKPTG.

Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh berasa dukacita dan kesal kerana Pejabat Menteri Besar Selangor gagal membuat perjumpaan susulan selepas pertemuan dengan Menteri Besar pada 5 Januari 2024 lalu. Ianya perlu bagi membincangkan isu pampasan penduduk sebelum sesi Pendengaran Ke-2 diadakan sepertimana persetujuan dalam perjumpaan tersebut. Dua surat susulan kepada Menteri Besar berkaitan perkara itu tidak mendapat apa-apa maklumbalas.

Borang Kaji Selidik 3.0 dan penjelasan pertemuan JKBTSS dengan Menteri Besar Selangor.Jawatankuasa Bertindak Taman Sunga...
08/02/2024

Borang Kaji Selidik 3.0 dan penjelasan pertemuan JKBTSS dengan Menteri Besar Selangor.

Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh (JKBTSS) telah mengeluarkan Borang Kaji Selidik 3.0 pada 1 Februari 2024 dan telah diedarkan kepada semua penduduk termasuk mereka yang terkesan dengan pengambilan rumah di Taman Sungai Sireh. Ianya berikutan pertemuan JKBTSS dengan YAB. Dato Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor pada 5 Januari 2024 lalu bagi membincangkan isu jajaran ECRL dan tuntutan penduduk terkesan di Taman Sungai Sireh.

Tujuan Borang Kaji Selidik ini dikeluarkan adalah untuk mendapat maklum balas berhubung pendirian dan tuntutan penduduk terhadap projek ECRL yang jajarannya melalui Taman Sungai Sireh. Dapatan daripada kaji selidik ini akan dihantar ke Pejabat Menteri Besar Selangor dan agensinya. Penduduk diseru memberi kerjasama sepenuhnya dengan melengkapkan borang kaji selidik tersebut dan mengembalikan semula kepada pihak JKBTSS untuk tindakan selanjutnya.

Pertemuan JKBTSS dengan Menteri Besar secara asasnya adalah meliputi perkara berikut;

1. Mencadangkan kepada Kerajaan Selangor agar jajaran projek ECRL di Taman Sg. Sireh dialihkan ke kawasan lain.

2. JKBTSS mencadangkan pampasan berbentuk tunai dan nilai pampasan perlu mengikut nilai pengambilan, bukan nilai semasa seperti diberitahu Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) ketika pertemuan JKBTSS dengan agensi itu.

3. JKBTSS mencadangkan nilai pampasan tinggi dan mahu Menteri Besar mempertimbangkan cadangan tersebut. Penduduk terlibat terpaksa berpindah untuk memberi laluan kepada projek ekonomi yang berimpak tinggi ini. Penduduk yang terkesan juga kebanyakannya adalah di kalangan golongan B40, tiada pendapatan tetap, pesara, warga emas dan tidak mampu membeli rumah gantian yang harganya tinggi sekarang ini.

4. JKBTSS mencadangkan Kerajaan menyediakan rumah gantian (landed) di kawasan baharu yang boleh dibeli oleh penduduk terkesan dengan harga tertentu di satu kawasan berhampiran yang telah dikenalpasti.

5. Menteri Besar secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan semua cadangan yang dikemukakan JKBTSS dalam sesi perbincangan tersebut. Menteri Besar turut menyentuh perkara-perkara lain berkaitan isu jajaran ECRL ini.

JKBTSS menafikan berita yang tersebar bahawa JKBTSS menuntut pampasan berbentuk rumah ganti rumah, pemindahan seluruh taman dan melakukan tindakan yang boleh merugikan penduduk terkesan dan seluruh taman. JKBTSS turut menafikan dakwaan dikatakan menjadi punca penangguhan sesi Pendengaran Kedua yang dijadualkan pihak JKPTG kepada penduduk terkesan. Banyak info yang tidak tepat berlegar kebelakangan ini dan penduduk perlu mendapatkan maklumat yang sahih dari sumbernya.

Sesi penerangan kepada penduduk telah dibuat oleh JKBTSS pada 14 Januari 2024 dan 5 Februari 2024 di Surau Muhajirin bagi menjelaskan intipati pertemuan JKBTSS dengan MB.

Satu lagi pertemuan bagi memberi penjelasan terperinci telah dibuat pada 6 Februari 2024 kepada satu kump**an lain yang dikatakan mewakili sebahagian penduduk taman.

Perjumpaan Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh dengan Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Amirudin Shari di kedi...
06/01/2024

Perjumpaan Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh dengan Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Amirudin Shari di kediaman rasmi MB semalam. Perbincangan menjurus kepada isu jajaran projek ECRL di Taman Sg Sireh dan cadangan penyelesaian kepada penduduk yang terkesan. Turut hadir En Mohd Zai Mustafa, Pengerusi Ummah dan peguam yang mewakili penduduk.

Di antara perkara dibincangkan adalah cadangan jajaran ECRL untuk dialihkan, isu tuntutan gantirugi yang setimpal, penempatan semula, proses pengambilan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian(JKPTG) dan lain-lain lagi. Semua info berkaitan telah dijelaskan oleh pihak JKBTSS dan MB bersetuju untuk mempertimbangkan semua perkara sebaik-baiknya.

JKBTSS mengharapkan pertemuan ini dapat merungkai permasalahan yang dihadapi penduduk ekoran isu jajaran ECRL yang mengundang kerisauan sejak isu ini diketahui 2 tahun lalu.

18/12/2023

Pihak Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh telah dua kali mengutus surat rasmi memohon untuk bertemu Menteri Besar bagi mengadakan sesi perbincangan. Penduduk berharap perkara ini dapat direalisasikan secepat mungkin memandangkan pewartaan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah telah dikeluarkan. Pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian juga sedang berterusan melaksanakan proses pengambilan secara berperingkat mengikut jadual. Menteri Besar diharap memberi pembelaan yang sewajarnya kepada mereka yang terkesan dengan projek ECRL ini.

Pada 18 Februari 2023 yang lalu, media melaporkan beliau berkata bahawa pembinaan laluan ECRL di lokasi ini dijangka bermula 2025 justeru, pihaknya mempunyai masa untuk berbincang dengan pihak yang terbabit.

"Kalau laluan tidak dialih, kita akan bagi rumah sesuai supaya hidup penduduk itu tidak terganggu. Kerajaan negeri sedaya upaya elakkan laluan ini tetapi tiada jalan lagi.

"Tapi tak apa, saya pegang janji saya. Kita akan kenal pasti penyelesaian terbaik. Sementara ada masa ini kita juga kenal pasti kawasan perumahan mana yang dibangunkan, yang mana kita boleh ganti tanah, rumah atau beli rumah dengan kos tertentu," katanya ketika berucap pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Seri Perantau Pelabuhan Klang. (BH:18 Feb)

Address

Taman Sungai Sireh Pelabuhan Klang
Port Swettenham
42000

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh - ECRL posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share