Kelanasiswa PPD

Kelanasiswa PPD Contact information, map and directions, contact form, opening hours, services, ratings, photos, videos and announcements from Kelanasiswa PPD, Non-Governmental Organization (NGO), Port Dickson.

PROGRAM AMERICAN SCOUTING FACILITATING: KELANASISWA MALAYSIA POLITEKNIK PREMIER PORT DICKSON JADI FASILITATOR DELEGASI P...
31/07/2026

PROGRAM AMERICAN SCOUTING FACILITATING: KELANASISWA MALAYSIA POLITEKNIK PREMIER PORT DICKSON JADI FASILITATOR DELEGASI PENGAKAP ANTARABANGSA

PORT DICKSON, 28 Julai 2026 – Seramai 27 delegasi daripada Scouting America Far East Council telah diraikan menerusi Program American Scouting Facilitating yang dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Negeri Sembilan dan Bahagian Antarabangsa PPM.

Port Dickson dipilih sebagai lokasi penganjuran program berikutan keunikan warisan semula jadi serta destinasi pelancongannya yang terkenal. Dalam menjayakan program ini, Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson telah diberi kepercayaan untuk berperanan sebagai fasilitator dan pengiring kepada delegasi antarabangsa sepanjang lawatan.

Sepanjang program berlangsung, para fasilitator telah mengiringi delegasi ke dua lokasi ikonik di Port Dickson, iaitu Pusat Ikan Hiasan Port Dickson dan Rumah Api Tanjung Tuan. Selain memastikan kelancaran perjalanan program, mereka turut berkongsi pelbagai maklumat berkaitan sejarah, kepentingan pemuliharaan alam sekitar serta nilai warisan kedua-dua lokasi tersebut sebagai destinasi pelancongan utama Negeri Sembilan. Penyampaian maklumat diperkukuhkan menerusi aktiviti interaktif seperti sesi kuiz dan tugasan berkumpulan yang berjaya meningkatkan penglibatan serta kefahaman para peserta.

Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan persahabatan antara ahli Pengakap Malaysia dengan komuniti Pengakap antarabangsa, malah menjadi platform terbaik untuk mempromosikan keindahan alam semula jadi, warisan budaya serta produk pelancongan Negeri Sembilan kepada delegasi luar negara. Pada masa yang sama, penglibatan Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson sebagai fasilitator telah menyerlahkan keupayaan mahasiswa dalam aspek kepimpinan, komunikasi, pengurusan program dan kesukarelawanan di peringkat antarabangsa.

Selaras dengan prinsip Pergerakan Pengakap, program ini berjaya memupuk nilai kepimpinan, semangat khidmat kepada masyarakat serta persaudaraan sejagat melalui interaksi, perkongsian pengalaman dan pertukaran budaya antara peserta daripada pelbagai negara. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa di samping meningkatkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berjiwa sukarelawan dan memiliki kompetensi global.

PROGRAM LENCANA PENGEMBARAAN: KELANASISWA MALAYSIA POLITEKNIK PREMIER PORT DICKSON BERJAYA MENAMATKAN EKSPEDISI 60 KILOM...
29/07/2026

PROGRAM LENCANA PENGEMBARAAN: KELANASISWA MALAYSIA POLITEKNIK PREMIER PORT DICKSON BERJAYA MENAMATKAN EKSPEDISI 60 KILOMETER

PORT DICKSON, 29 Julai 2026 – Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson sekali lagi melakar kejayaan menerusi penganjuran Program Lencana Pengembaraan yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula 24 hingga 26 Julai 2026. Program yang menghimpunkan 15 orang peserta bersama barisan pemimpin dan ahli jawatankuasa ini berjaya menamatkan ekspedisi sejauh 60 kilometer merentasi lapan buah checkpoint bermula dari Politeknik Premier Port Dickson sehingga ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Melaka.

Penganjuran program ini bertujuan membentuk mahasiswa yang berdisiplin, berdaya tahan, berjiwa kental serta memiliki semangat kepimpinan yang tinggi melalui pengalaman pengembaraan sebenar. Di samping memenuhi syarat penganugerahan Lencana Pengembaraan bagi Anugerah Baden-Powell, program ini turut memberi pendedahan kepada peserta dalam aspek navigasi, komunikasi, pengurusan risiko, penyelesaian masalah, kerja berpasukan serta khidmat masyarakat (CSR), sekali gus menyokong aspirasi Kelanasiswa Malaysia dalam melahirkan graduan yang holistik, berintegriti dan berdaya saing.

Hari Pertama (24 Julai 2026)

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta di Foyer Pengarah Politeknik Premier Port Dickson pada jam 7.00 pagi, diikuti sarapan pagi, sesi taklimat yang disampaikan oleh Tuan Muhd Zawi bin Che Muda serta bacaan doa. Tepat jam 9.00 pagi, peserta telah dilepaskan secara rasmi oleh Ts. Dr. Norhanani binti Abd. Rahman, Pesuruhjaya Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson, sebagai simbolik permulaan ekspedisi.

Checkpoint pertama ialah Masjid Kariah Kampung Baru, Port Dickson. Walaupun berdepan hujan lebat yang menguji ketahanan fizikal dan mental, peserta tetap meneruskan perjalanan dengan penuh semangat sehingga tiba di masjid untuk berehat, menikmati makan tengah hari dan menunaikan solat berjemaah. Pengembaraan diteruskan ke Muzium Tentera Darat Port Dickson sebelum peserta bergerak ke Surau As-Syakirin, Lukut. Di surau tersebut, peserta menunaikan solat berjemaah, menikmati makan malam serta mengikuti sesi tazkirah sebagai pengisian rohani sebelum berehat.

Hari Kedua (25 Julai 2026)

Hari kedua dimulakan seawal jam 6.00 pagi dengan persiapan diri, solat Subuh berjemaah dan sarapan pagi. Peserta kemudiannya melaksanakan aktiviti Khidmat Masyarakat (CSR) bersama komuniti setempat sebelum meneruskan pengembaraan ke 3D Art Gallery. Walaupun sekali lagi diuji dengan hujan, peserta meneruskan perjalanan dengan semangat yang tinggi sebelum berehat di Pantai Tanjung Gemok. Pengembaraan diteruskan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson sebelum peserta tiba di Masjid Teluk Kemang. Di lokasi tersebut, peserta mendirikan tapak perkhemahan, menunaikan solat berjemaah, menikmati makan malam serta membuat persiapan bagi menghadapi laluan terakhir ekspedisi.

Hari Ketiga (26 Julai 2026)

Hari terakhir dimulakan dengan persiapan diri, solat Subuh berjemaah serta aktiviti pembersihan kawasan perkhemahan. Peserta turut melaksanakan aktiviti Khidmat Masyarakat (CSR) di sekitar kawasan masjid sebelum meneruskan perjalanan menuju checkpoint terakhir iaitu Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Melaka. Dalam perjalanan, peserta berhenti seketika di Pantai Teluk Kemang bagi menyempurnakan tugasan terakhir sebagai sebahagian daripada penilaian Lencana Pengembaraan. Ketibaan di destinasi penamat sekitar jam 12.16 tengah hari menandakan kejayaan peserta menamatkan ekspedisi sejauh 60 kilometer dengan jayanya.

Majlis Penutup disempurnakan dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Puan Asilah, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Negeri Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson, sebagai tanda penghargaan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan Program Lencana Pengembaraan. Majlis tersebut menjadi simbol pengiktirafan terhadap komitmen, ketabahan dan semangat juang yang dipamerkan oleh setiap peserta sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, Program Lencana Pengembaraan Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam membentuk mahasiswa yang berdisiplin, berdikari, berdaya tahan serta memiliki jati diri dan semangat kepimpinan yang tinggi. Program ini bukan sahaja memperkukuh nilai kerjasama, kesukarelawanan dan semangat setiakawan, malah menjadi platform terbaik dalam melahirkan pemimpin muda yang berwibawa, berintegriti dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Kelanasiswa Malaysia dan Politeknik Premier Port Dickson dalam melahirkan graduan TVET yang cemerlang dari aspek akademik, sahsiah dan kepimpinan.

KURSUS PENGURUSAN RISIKO DAN SIMULASI KRISIS PENGAKAP KELANA TINGKATKAN KOMPETENSI AHLI KELANASISWA MALAYSIA POLITEKNIK ...
23/07/2026

KURSUS PENGURUSAN RISIKO DAN SIMULASI KRISIS PENGAKAP KELANA TINGKATKAN KOMPETENSI AHLI KELANASISWA MALAYSIA POLITEKNIK PREMIER PORT DICKSON

PORT DICKSON | 22 Julai 2026 – Seramai hampir 150 orang ahli Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson telah menyertai Kursus Pengurusan Risiko dan Simulasi Krisis Pengakap Kelana yang dianjurkan oleh Daerah Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson. Penganjuran kursus ini bertujuan memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta kesiapsiagaan ahli Pengakap Kelana dalam mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko ketika merancang serta melaksanakan sesuatu program atau aktiviti.

Kursus ini telah dikendalikan oleh Tn. Muhammad Hidayat bin Ismail, Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (Airport Fire and Rescue Service – AFRS), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merangkap Ahli Majlis Pengakap Negara, Persekutuan Pengakap Malaysia, bersama Ts. Dr. Mohd. Syahrizad bin Elias, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan, Persekutuan Pengakap Malaysia. Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan kepada prinsip asas pengurusan risiko, prosedur keselamatan, langkah-langkah pencegahan kemalangan serta tindakan yang perlu diambil ketika berhadapan dengan situasi kecemasan melalui sesi ceramah dan simulasi krisis yang interaktif.

Melalui latihan simulasi krisis yang dijalankan, peserta berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam situasi yang hampir menyerupai keadaan sebenar. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan peserta membuat keputusan secara pantas dan tepat, malah memperkukuh kemahiran berkomunikasi, menyelaras tindakan secara berpasukan serta mengurus insiden mengikut prosedur operasi yang ditetapkan. Pendedahan tersebut diharap dapat melahirkan ahli Pengakap Kelana yang lebih kompeten dalam mengendalikan aktiviti kepengakapan secara selamat, sistematik dan profesional.

Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia, para penceramah serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan kursus ini. Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform pembangunan kompetensi ahli Pengakap Kelana, sekali gus melahirkan pemimpin muda yang berintegriti, berdaya saing dan sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran, di samping memastikan setiap aktiviti kepengakapan dilaksanakan dengan lebih selamat, terancang dan berkesan.








PROGRAM PENANAMAN POKOK BAKAU PERKUKUH SEMANGAT KESUKARELAWANAN AHLI KELANASISWA POLITEKNIK PREMIER PORT DICKSONPORT DIC...
10/07/2026

PROGRAM PENANAMAN POKOK BAKAU PERKUKUH SEMANGAT KESUKARELAWANAN AHLI KELANASISWA POLITEKNIK PREMIER PORT DICKSON

PORT DICKSON | 9 Julai 2026 – Seramai 70 orang ahli Kelanasiswa Politeknik Premier Port Dickson telah menyertai Program Penanaman Pokok Bakau di Hutan Simpan Kekal Tanjung Tuan, Melaka yang dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Program ini merupakan salah satu inisiatif dalam menyemai kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar serta mengukuhkan kerjasama antara Politeknik Premier Port Dickson dan TNB melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Program dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Melaka mengenai peranan penting hutan bakau dalam melindungi kawasan pesisir pantai daripada hakisan, memelihara biodiversiti dan mengekalkan keseimbangan ekosistem. Selesai sesi tersebut, para peserta berganding bahu menjayakan aktiviti penanaman sebanyak 1,000 anak pokok bakau di kawasan yang telah ditetapkan.

Pengarah Politeknik Premier Port Dickson, Tuan Haji Wan Zulkifly bin Wan Zakaria, turut hadir bagi memberikan sokongan kepada program ini serta bersama-sama menyertai aktiviti penanaman pokok bakau. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan Politeknik Premier Port Dickson dalam memperkukuh jalinan kerjasama dengan pihak industri di samping menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti berteraskan kelestarian alam sekitar.

Penyertaan ahli Kelanasiswa Politeknik Premier Port Dickson bukan sahaja memberi peluang untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar, malah menjadi platform membentuk mahasiswa yang berjiwa sukarelawan, berdaya kepimpinan serta mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.

Program ini turut melibatkan penyertaan barisan pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB), wakil Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Melaka, Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya serta Sekolah Kebangsaan Port Dickson, sekali gus membuktikan kerjasama erat antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, industri dan komuniti setempat.

Kelanasiswa Politeknik Premier Port Dickson merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Perhutanan Negeri Melaka serta semua pihak yang telah menjayakan program ini. Diharapkan program seumpama ini akan terus menjadi platform dalam memupuk kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar, di samping melahirkan mahasiswa yang prihatin, berdaya saing dan komited terhadap pembangunan mampan demi manfaat generasi akan datang.

ππŽπ‹πˆπ“π„πŠππˆπŠ ππ‘π„πŒπˆπ„π‘ ππŽπ‘π“ πƒπˆπ‚πŠπ’πŽπ 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 𝐉𝐔𝐀𝐑𝐀 πŠπ„π’π„π‹π”π‘π”π‡π€π πŒπšπˆππ‘πŽ πŸπŸŽπŸπŸ”JOHOR BAHRU, 21 Mei 2026 – Pasukan Kelanasiswa Malay...
22/05/2026

ππŽπ‹πˆπ“π„πŠππˆπŠ ππ‘π„πŒπˆπ„π‘ ππŽπ‘π“ πƒπˆπ‚πŠπ’πŽπ 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 𝐉𝐔𝐀𝐑𝐀 πŠπ„π’π„π‹π”π‘π”π‡π€π πŒπšπˆππ‘πŽ πŸπŸŽπŸπŸ”

JOHOR BAHRU, 21 Mei 2026 – Pasukan Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson terus mencipta kecemerlangan apabila berjaya merangkul gelaran Juara Keseluruhan Kategori Kelanasiswa dalam program Malaysian Polytechnic Rovers Challenge (MaIPRO) dan Malaysian Polytechnic Girl Guide Clovers Jamboree (MalPCJam) 2026 yang berlangsung di Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru bermula 18 hingga 21 Mei 2026.

Pencapaian membanggakan ini sekali gus mengulangi kejayaan yang pernah diraih pada tahun 2024 serta membuktikan keupayaan pelajar Politeknik Premier Port Dickson dalam mengekalkan prestasi cemerlang menerusi penglibatan aktif dalam bidang kepimpinan, kokurikulum dan kesukarelawanan di peringkat kebangsaan.

Program MaIPRO dan MalPCJam 2026 turut mengetengahkan elemen pendidikan global menerusi pelaksanaan inisiatif YUNGA Climate Change Badge yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan penekanan terhadap kesedaran perubahan iklim dan pembentukan generasi muda yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.

Seramai 176 peserta daripada 15 politeknik seluruh negara telah menyertai program pembangunan kepimpinan belia TVET berteraskan kemampanan alam sekitar ini, melibatkan penyertaan Kelanasiswa daripada 11 institusi dan Pandu Puteri Klover daripada enam institusi di seluruh Malaysia.

Dalam pertandingan tersebut, Pasukan Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson berjaya menjuarai dua kategori utama iaitu Causes of Climate Change dan Impacts of Climate Change, sekali gus melayakkan pasukan dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori Kelanasiswa MaIPRO 2026.

Pasukan ini diketuai oleh Muhammad Syafiq bin Sumri selaku Ketua Kru bersama ahli pasukan terdiri daripada Muhammad Asyraff Daniel bin Ahmad Rusli, Faris Naufal Al-Nafiz bin Mohd Rafiee, Nur Qashrina Afifah binti Radzmil Azhar, Nurain Syuhada binti Mohd Farid, Inna Robika binti Zulkipli, Iezzana Norsyuhadah bt Norizan dan Putera Adi Hisyam bin Mohamad Shahrom. Kesemua mereka mempamerkan tahap komitmen, disiplin serta semangat kerja berpasukan yang tinggi sepanjang program berlangsung.

Kejayaan ini mencerminkan kreativiti, daya kepimpinan dan kemampuan pelajar dalam mengemukakan idea inovatif berkaitan isu perubahan iklim global. Selain itu, para peserta turut menyerlahkan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan nilai kesukarelawanan yang menjadi teras pembangunan sahsiah pelajar holistik.

Pasukan Kelanasiswa Malaysia Politeknik Premier Port Dickson telah dibimbing oleh Ts. Dr. Norhanani binti Abd Rahman selaku Pesuruhjaya Daerah Kelanasiswa Malaysia bersama Encik Mohamad Zamri bin Muhamad, Penolong Pesuruhjaya Daerah.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Haji Mohd Daud bin Isa, Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Kejayaan ini selaras dengan Iltizam Keenam POLYCC iaitu Pembudayaan Kemampanan yang menitikberatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar di samping melahirkan pelajar yang holistik, kompeten dan berdaya saing.

KEM KEMAHIRAN PENGAKAP LAUT KELANASISWAPOLITEKNIK PORT DICKSONPORT DICKSON, 3–5 April 2026 – Kem Kemahiran Pengakap Laut...
06/04/2026

KEM KEMAHIRAN PENGAKAP LAUT KELANASISWAPOLITEKNIK PORT DICKSON

PORT DICKSON, 3–5 April 2026 – Kem Kemahiran Pengakap Laut Kelanasiswa Politeknik Port Dickson telah berjaya dilaksanakan selama tiga hari dua malam di I-AQUAS UPM, Pantai Cunningham, Telok Kemang, Port Dickson. Program ini melibatkan seramai 45 orang peserta, dibantu oleh 25 orang urusetia serta dipantau oleh 5 orang pemimpin dan jurulatih.

Kem ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan ilmu kepengakapan laut di samping membentuk sahsiah, kemahiran serta jati diri dalam kalangan Pengakap Kelana.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Pasukan Pengakap Kelana D Daerah Setiawangsa yang diwakili oleh jurulatih dan ahli kelana iaitu Tn. Abdul Halim bin Nanyan @ Othman, Tn. Haji Shahnoor bin Haji Ahmad Sharir, Muhammad Zulhaikal Mohd Fauzi serta Muhammad Adam Mukhriz Muhammad Nizam Safwan. Mereka telah berkongsi kepakaran dan memberikan bimbingan sepanjang program berlangsung.

Sepanjang kem, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian seperti aktiviti vigil (proses mengenal diri sebagai seorang kelana), teori peta, istiadat colours, ikatan dan simpulan, serta latihan praktikal kaedah menyelamat dan bantuan kecemasan di air. Selain itu, aktiviti water confident turut dijalankan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keyakinan diri peserta di dalam air.

Kem ini turut diserikan dengan jamuan Hari Raya yang menampilkan persembahan kreatif daripada peserta, sekali gus memupuk semangat kerjasama dan keyakinan diri. Dalam majlis tersebut, Ts. Dr. Norhanani Binti Abd Rahman, Pesuruhjaya Daerah Kelanasiswa Politeknik Port Dickson, telah menyampaikan sijil penghargaan kepada para jurulatih serta Pasukan Pengakap Kelana D Daerah Setiawangsa sebagai tanda penghargaan atas kerjasama, komitmen dan sumbangan mereka dalam menjayakan program ini.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif sebagai platform pembangunan holistik yang merangkumi aspek fizikal, mental dan spiritual, sekali gus melahirkan ahli Pengakap Kelana yang berdisiplin, berkeyakinan serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.


Salam Aidilfitri πŸŒ™βœ¨Maaf zahir & batin, semoga Syawal ini membawa seribu kebahagiaan ❀️
20/03/2026

Salam Aidilfitri πŸŒ™βœ¨
Maaf zahir & batin, semoga Syawal ini membawa seribu kebahagiaan ❀️

LATIHAN DAN RAWATAN PERTOLONGAN CEMASPORT DICKSON, 11 MAC 2026 – Seramai 127 ahli Kelanasiswa Politeknik Port Dickson te...
15/03/2026

LATIHAN DAN RAWATAN PERTOLONGAN CEMAS

PORT DICKSON, 11 MAC 2026 – Seramai 127 ahli Kelanasiswa Politeknik Port Dickson telah menyertai Program Latihan dan Rawatan Pertolongan Cemas yang diadakan di Dewan Kuliah 4, Politeknik Port Dickson.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran asas dalam menghadapi situasi kecemasan.

Program ini menampilkan Encik Muhammad Azrin Danisy bin Mohd Sayuti, Penolong Pegawai Perubatan Politeknik Port Dickson sebagai penceramah jemputan. Taklimat yang disampaikan merangkumi penerangan mengenai tujuan dan peraturan rawatan kecemasan, jenis-jenis luka serta kaedah pembalutan, selain penerangan berkaitan rawatan bagi gigitan serangga, haiwan kecil dan haiwan berbisa.

Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan cara memberikan bantuan awal bagi masalah berkaitan sistem pernafasan manusia, keperluan asas peti pertolongan cemas, serta kaedah merawat patah tulang dan anduhan di samping cara memindahkan mangsa yang cedera dengan betul.

Bagi melengkapkan sesi pembelajaran, latihan praktikal turut dijalankan bagi memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan teknik yang telah dipelajari, termasuk teknik pemulihan pernafasan (CPR), rawatan patah tulang serta kaedah memindahkan mangsa dengan selamat dan betul.

Program ini diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada Encik Muhammad Azrin Danisy bin Mohd Sayuti sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu dan sumbangan beliau dalam menjayakan program tersebut. Sijil penghargaan tersebut telah disampaikan oleh Ts. Dr. Norhanani Binti Abd Rahman, Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri Kelanasiswa Malaysia Politeknik Port Dickson.

Program ini diharapkan dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran ahli Kelanasiswa dalam mengendalikan situasi kecemasan, seterusnya melahirkan individu yang lebih peka, bertanggungjawab serta bersedia membantu masyarakat apabila berlakunya kecemasan.

MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN SEKRETARIAT PENGAKAP KELANA DAERAH POLITEKNIK PORT DICKSON TAHUN 2026/2027PORT DICKSON, 25 Feb...
26/02/2026

MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN SEKRETARIAT PENGAKAP KELANA DAERAH POLITEKNIK PORT DICKSON TAHUN 2026/2027

PORT DICKSON, 25 Februari 2026 – Majlis Watikah Pelantikan Sekretariat Pengakap Kelana Daerah (SPKD) Kelanasiswa Malaysia (KSM) Politeknik Port Dickson (PPD) Tahun 2026/2027 telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh tertib dan bersemangat.

Majlis berlangsung Di Dewan Kuliah 4, PPD menyaksikan pelantikan Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Daerah KSM PPD, Pn. Noorhafizah binti Zaili, diikuti pelantikan Sekretariat Pengakap Kelana Daerah (SPKD) Politeknik Port Dickson sesi 2026/2027 seramai 21 orang serta Jawatankuasa Kelab Kelanasiswa Malaysia (KSM) Politeknik Port Dickson seramai 12 orang. Majlis turut disertai dengan pembaharuan persetiaan sebagai simbol komitmen dan kesediaan memikul amanah yang diberikan.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi SPKD, Muhammad Syafiq bin Sumri, diikuti ucapan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Politeknik Port Dickson, En. Mohd Nahar bin Ahmad. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pelantikan ini bukan sekadar pengiktirafan jawatan, malah merupakan satu amanah besar yang memerlukan komitmen, integriti dan semangat kepimpinan yang tinggi. Beliau turut menyeru agar barisan kepimpinan yang dilantik dapat bekerjasama sebagai satu pasukan yang kukuh dalam merancang dan melaksanakan program yang memberi manfaat kepada ahli serta memperkasakan peranan Kelanasiswa Malaysia di peringkat politeknik.

Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj pelancaran logo Kelab KSM serta sorotan video aktiviti Kelab Kelanasiswa Malaysia bagi sesi 2025/2026.

Adalah diharapkan pelantikan ini akan dapat memperkukuhkan struktur kepimpinan, menyemai semangat tanggungjawab serta meningkatkan komitmen dalam kalangan ahli Pengakap Kelana. Selain itu, barisan kepimpinan yang dilantik diharapkan mampu merancang dan melaksanakan program yang berkualiti, memperkasa pembangunan sahsiah ahli serta terus memartabatkan Kelanasiswa Malaysia Politeknik Port Dickson sebagai sebuah organisasi yang aktif, berwibawa dan berimpak tinggi.


MAJLIS PELANTIKAN KELANA 2026/2027 Port Dickson, 24 Februari 2026 – Majlis Pelantikan Kelana Sesi 2026/2027 telah berlan...
25/02/2026

MAJLIS PELANTIKAN KELANA 2026/2027

Port Dickson, 24 Februari 2026 – Majlis Pelantikan Kelana Sesi 2026/2027 telah berlangsung dengan jayanya di Foyer DK6, Politeknik Port Dickson pada jam 4.00 petang hingga 5.10 petang.

Majlis dimulakan tepat pada jam 4.00 petang dengan kehadiran semua ahli Kelana yang berkumpul di Foyer DK6. Pada jam 4.15 petang, sesi raptai diadakan bagi memastikan kelancaran perjalanan majlis, khususnya bagi persediaan menerima epolet.

Sesi rasmi penerimaan epolet bermula pada jam 4.30 petang. Majlis dimulakan dengan perbarisan masuk para Kelana yang diketuai oleh pembawa bendera Pengakap Malaysia iaitu Muhammad Syafiq Bin Sumri sehingga tiba di hadapan Pesuruhjaya dan diteruskan dengan sesi bacaan pelantikan kelana oleh Pesuruhjaya iaitu Ts. Dr. NORHANANI BINTI ABD RAHMAN kepada para Kelana yang akan dilantik. Seterusnya, semua Kelana membaca Persetiaan Pengakap yang diketuai oleh Pengerusi sebagai simbol komitmen dan tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.

Pada jam 4.45 petang, sesi pemakaian epolet telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya kepada para Kelana yang dilantik sebagai simbol pengiktirafan rasmi terhadap jawatan yang disandang, dengan diiringi oleh Penolong Pemimpin , En. MOHD ZAWI BIN CHE MUSA. Setelah selesai sesi pemakaian epolet, para Kelana yang dilantik meneruskan dengan keluar baris secara teratur.

Majlis diteruskan dengan sesi bergambar bersama Pesuruhjaya dan Penolong pemimpin pada jam 5.10 petang sebagai kenangan dan simbolik kepada pelantikan tersebut sebelum majlis bersurai.

Majlis Pelantikan Kelana 2026/2027 ini diharapkan dapat menyuntik semangat baharu dalam kalangan ahli Kelana untuk terus berbakti, berdisiplin dan memimpin dengan penuh dedikasi demi kecemerlangan organisasi pada masa akan datang.

Address

Port Dickson

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Kelanasiswa PPD posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share