24/08/2026
RISALAH RASULULLAH SAW: MEMULIAKAN WANITA, MEMBINA PERADABAN
Setiap kali tiba Maulidur Rasul, hati umat islam kembali mengingati insan agung yang membawa cahaya kepada kehidupan manusia. Kelahiran Nabi Muhammad SAW bukan sekadar membawa sebuah agama, tetapi menghadirkan suatu perubahan besar terhadap cara manusia melihat Tuhan, kehidupan, keluarga dan sesama insan.
Antara perubahan yang sangat bermakna ialah bagaimana Islam mengembalikan kemuliaan wanita. Dalam masyarakat jahiliyah, kelahiran anak perempuan pernah dianggap suatu kehinaan. Al-Quran merakamkan bagaimana sebahagian mereka berdukacita apabila dikhabarkan kelahiran anak perempuan.
"Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka tentang (kelahiran) anak perempuan, merah padamlah mukanya (kerana marah) dan dia sangat menahan sedih (lagi dukacita)." (Surah al-Nahl: 58).
Kemudian datanglah Rasulullah SAW membawa cahaya perubahan. Baginda tidak sekadar berbicara tentang kemuliaan wanita. Baginda menunjukkan qudwah terbaik melalui kehidupan seharian. Baginda menghormati isteri, menyayangi anak perempuan, mendengar pandangan wanita serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada keluarga dan masyarakat.
Sirah memperlihatkan bahawa wanita turut berdiri di sisi perjalanan besar pembinaan peradaban umat. Ketika Rasulullah SAW p**ang dalam kegelisahan selepas menerima wahyu pertama, Saidatina Khadijah RA menjadi insan yang menenangkan dan menguatkan Baginda. Saidatina Aisyah RA p**a muncul sebagai tokoh ilmu dan rujukan umat. Ummu Salamah RA dikenang kerana kematangan pandangan dan kebijaksanaannya. Mereka mengingatkan kita bahawa wanita bukan sekadar berada dalam sebuah peradaban. Malah wanita turut bangkit membinanya dan memainkan peranan yang penting dalam kemajuan peradaban umat.
Lebih 1,400 tahun berlalu. Hari ini wanita memikul pelbagai amanah sebagai ibu, isteri, pendidik, profesional, pemimpin, sukarelawan dan anggota masyarakat. Dalam kesibukan memenuhi semua tanggungjawab dan tuntutan tersebut, Maulidur Rasul mengajak kita semua merenung kembali dalam diri kita dan bertanya:
Apakah nilai yang sedang kita tinggalkan kepada generasi selepas kita?
Membina peradaban tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar. Ia boleh bermula daripada seorang ibu yang mendidik anaknya mengenal Allah; seorang pendidik yang menanam kecintaan kepada ilmu, seorang pemimpin yang menggunakan kedudukannya untuk membawa kebaikan kepada ummah, atau seorang wanita yang memilih untuk membantu dan saling menguatkan satu sama lain.
Inilah antara keindahan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Wanita diberikan kemuliaan, dan bersama kemuliaan itu hadir amanah untuk memberikan manfaat.
Sempena Maulidur Rasul ini, marilah kita menerjemahkan kecintaan kepada Baginda melalui kehidupan kita seharian.
Jadilah wanita yang terus belajar.
Wanita yang saling menguatkan wanita lain.
Wanita yang membina keluarga dengan iman, masyarakat dengan kasih sayang dan generasi dengan ilmu.
Wanita yang sentiasa menjaga adab dan nilai-nilai murni serta prinsip-prinsip agama dalam kehidupan
Kita perlu cuba meneladani keperibadian Sayyidatina Khadijah RA dalam mencontohi keteguhan hatinya. Kita juga perlu cuba mencontohi Sayyidatina Aisyah RA dalam mencintai dan menguasai ilmu.
Ambillah pengajaran dan semangat dari kisah hebat mereka untuk menjadi sinar cahaya ke dalam ruang kehidupan yang Allah amanahkan kepada kita.
Kerana wanita bukan sekadar penerima manfaat sebuah peradaban.
Wanita adalah antara tangan yang membina dan membangun peradaban.
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Salam Maulidur Rasul 1448H
Ustazah Zaiton Binti Din