30/09/2026
Mesej Kami Kepada Kerajaan
Rakyat dan CSO sudah muak dengan janji yang dikhianati dan ketidakadilan yang berterusan. Sekiranya Kerajaan Madani atau mana-mana parti politik ingin terus kekal berkuasa, laksanakan tiga tuntutan ini:
1. Tubuhkan RCI untuk menyiasat dan menangkap “mafia korporat”
Laporan Bloomberg yang menyatakan mafia korporat disokong dan bersubahat dengan pegawai-pegawai SPRM adalah mengejutkan. Lebih parah apabila kerajaan langsung tidak ingin menangani dan menyiasat isu ini. Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dianggap pemimpin reformis, namun masih gagal menjawab isu mafia korporat terutamanya penglibatan SPRM, bekas pengarahnya Azam Baki dan mengapa beliau disambung kontraknya sebanyak tiga kali oleh Anwar sendiri disebalik tuduhan isu pemilikan saham beliau. Semakin lama dibiarkan, golongan ini akan semakin menambah kuasa, kekayaan dan pengaruh.
Justeru, kami mendesak agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat tuduhan mafia korporat, dan siasatan ini perlu dijalankan dengan bebas, terbuka dan telus. Dapatan-dapatan RCI juga perlu didedahkan kepada rakyat dan mereka yang bersalah perlu didakwa berlandaskan lunas undang-undang.
2. Hentikan keadilan dua darjat
Sudah jelas kepada rakyat siapa yang mempunyai akses keadilan di Malaysia, iaitu mereka yang mempunyai wang dan pengaruh politik. Rakyat sehingga kini tidak tahu sejauh mana penglibatan Azam Baki di dalam isu mafia korporat, bahkan isu pemilikan saham beliau kekal membisu walaupun hasil siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara. Kedua, Najib Razak yang dijatuhkan hukuman salah guna kuasa dalam kes SRC juga telah dikurniakan tahanan rumah, sedangkan kes beliau adalah salah satu skandal terbesar di dunia.
Amat mengecewakan bahawa tokoh-tokoh berpengaruh ini kononnya wajar mendapat manfaat daripada sistem keadilan seperti proses sewajarnya (due process) dan “belas ihsan”, sedangkan aktivis dan rakyat p**a berdepan dengan siasatan tanpa sebab yang munasabah malah disekat akaun mereka. Dalam masa yang sama, terdapat juga individu di penjara yang menghidap penyakit kronik, tidak mendapat akses kepada perwakilan undang-undang yang adil, dan dipenjarakan atas kesalahan yang jauh lebih ringan berbanding Najib, namun tidak diberikan tahap belas ihsan yang sama. Ahli politik pantas mempertahankan “hak” Azam dan Najib, tetapi terus berdiam diri apabila menyentuh hak aktivis dan tahanan.
Sekretariat menuntut agar undang-undang yang mengawal selia sistem keadilan kita dilaksanakan secara sama rata terhadap semua pihak, tanpa mengira kekayaan, pengaruh atau status.
3. Henti Bungkam Suara Rakyat
Amir dan Dobby kedua-duanya telah disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Terlarang dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Kami melihat perkara ini sebagai satu penyalahgunaan undang-undang yang serius, memandangkan ketiadaan asas munasabah (probable cause) yang jelas, khususnya apabila undang-undang tersebut digunakan secara berlebihan sehingga mengakibatkan pembekuan akaun dan penahanan mereka.
Malangnya, AMLA bukan satu-satunya undang-undang yang telah digunakan untuk menekan dan menyekat kebebasan bersuara aktivis dan rakyat secara keseluruhannya. Undang-undang yang bersifat menindas seperti Akta Hasutan 1948, SOSMA, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan penyalahgunaan Kanun Keseksaan turut digunakan bagi menyiasat dan menekan aktivis-aktivis rakyat.
Mesej kepada Rakyat
Tindakan terhadap anggota masyarakat sivil menunjukkan corak yang semakin ketara oleh kerajaan. Sekiranya hari ini kita tidak bangkit dan terus lantang bersuara serta turun ke jalan bagi melawan korupsi, salah guna kuasa, mereka yang berada di kerusi empuk kekuasaan akan terus berbuat sesuka hati terhadap rakyat. Lebih daripada segala-galanya, kami percaya kepada kuasa rakyat dan kami memerlukan sokongan rakyat dalam perjuangan menentang ketidakadilan ini.
Kami akan terus bersuara, terus mempersoalkan, dan terus berdiri bersama mereka yang suaranya diancam atau disenyapkan.
Semakin ditekan, semakin melawan! Hidup rakyat!