04/10/2026
Hak Kita, Malaysia Kita
Pada 23 September 2026, sempena Hari Malaysia, kami menyambut kehadiran wanita daripada pelbagai latar belakang ke seminar satu hari yang dianjurkan oleh SIS Forum (Malaysia). Mereka hadir dengan satu tekad untuk mengetahui hak sendiri dan memperkasakan insan di sekeliling mereka.
Menerusi sesi yang dibuat, input daripada pakar, tinjauan tanpa nama, refleksi di meja dan sesi dialog terbuka "Tanya Kami Apa Sahaja", mereka menyelami hak wanita dalam keluarga daripada sudut: memahami hak diri sendiri dan langkah yang patut diambil. Sesi-sesi tersebut menyentuh realiti kehidupan wanita dan undang-undang, keadilan dan gender, serta autonomi tubuh dan keselamatan.
Ada beberapa refleksi peserta yang kekal bersama kami. Ramai yang baru pertama kali mengenali Telenisa dan hak mereka, dan berharap mereka tahu lebih awal. Ada p**a yang mengingatkan bahawa wanita mampu membentuk Malaysia dengan lebih baik, dan jurang antara undang-undang dengan penguatkuasaan perlu dilihat dengan jelas. Turut disuarakan ialah gesaan agar kursus pra-perkahwinan membezakan antara hak dan tanggungjawab, dan keselamatan tubuh dan autonomi diajar sejak usia kecil.
Soalan-soalan yang ditanya oleh para hadirin berkisar tentang nafkah dan sokongan kewangan dalam perkahwinan, poligami dan hak isteri kedua, pusaka, keganasan rumah tangga dan tempat mendapatkan bantuan, serta pilihan reproduktif dan autonomi tubuh.
Terima kasih kepada semua yang hadir, bertanya, berkongsi dan merenung bersama kami. Soalan-soalan anda menunjukkan betapa perlunya perkongsian ini.
Jika anda ada persoalan tentang hak, anda tidak keseorangan. Telenisa menawarkan nasihat undang-undang percuma. Hubungi atau WhatsApp nombor 012-812 3424.