24/07/2026
KENYATAAN SEKRETARIAT HIMPUN | 21 JULAI 2026
SEKRETARIAT HIMPUN SAMBUT KOMITMEN KDN KAJI SEMULA AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012, DESAK PROSES REFORMASI DILAKSANAKAN SEGERA
Sekretariat Himpun menyambut baik jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2026 yang memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan kajian terhadap keseluruhan peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memastikan ia selaras dengan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.
Namun demikian, kenyataan tersebut hanya mengulangi semula kenyataan Perdana Menteri pada Februari 2025 bahawa Kerajaan Persekutuan akan meminda Akta ini. Kini, sudah lebih setahun sejak Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai 2025 memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) yang mengenakan hukuman terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari kepada polis adalah tidak berperlembagaan dan terbatal. Mahkamah turut menegaskan bahawa peruntukan tersebut bercanggah dengan hak kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Sekretariat Himpun mendesak Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk menyatakan apakah garis masa yang diperlukan oleh pihak KDN bagi meminda Akta ini setelah setahun keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan. Sekretariat juga ingin sekali lagi mendesak agar proses kajian pindaan Akta ini turut melibatkan pertubuhan masyarakat sivil (CSO), Majlis Peguam, SUHAKAM dan pakar-pakar perundangan supaya pindaan yang dibuat akan menjamin prinsip-prinsip demokrasi, hak asasi manusia serta selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Untuk rekod, Sekretariat Himpun telah mengadakan sesi libat urus bersama Menteri Dalam Negeri dan pihak KDN pada September 2025 berhubung cadangan pindaan APA 2012. Dalam pertemuan tersebut, pihak kementerian memberi jaminan bahawa proses konsultasi yang lebih menyeluruh bersama organisasi masyarakat sivil akan dilaksanakan.
Malangnya, sehingga hari ini, tiada sebarang maklum balas lanjut diterima berhubung sesi libat urus susulan yang dijanjikan. Janji yang sama terus diulang, namun reformasi yang dinantikan masih kekal dalam fasa "kajian".
APA 2012 digubal untuk menggantikan sistem permit di bawah Akta Polis yang digunakan sebelum ini. Semangat asal penggubalannya adalah untuk memudahkan rakyat melaksanakan hak berhimpun secara aman sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, bukannya mewujudkan halangan-halangan baharu yang menyukarkan pelaksanaan hak tersebut.
Sehubungan itu, Sekretariat Himpun akan menyerahkan satu memorandum kepada KDN pada:
Tarikh : 11 Ogos 2026 (Selasa)
Masa : 10.30 pagi
Lokasi : Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya
Memorandum ini akan mengandungi cadangan-cadangan pindaan APA 2012 yang dirumuskan oleh pihak Sekretariat Himpun. Kami juga ingin menyeru rakan-rakan CSO, dan gerakan mahasiswa serta seluruh rakyat yang mendukung kebebasan berhimpun untuk hadir bersama-sama pada hari tersebut.
Kami juga mendesak Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk hadir sendiri menerima memorandum ini sebagai tanda kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan reformasi undang-undang yang telah lama dituntut dan dijanjikan.
Dikeluarkan oleh:
1. MANDIRI
2. Liga Rakyat Demokratik
3. Liga Mahasiswa Malaysia
4. Gerakan Perempuan Melawan
5. Federasi Pemuda Kebangsaan
6. Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH)
7. KLSCAH Civil Rights Committee (KLSCAH-CRC)
8. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
9. SPARC UTeM
10. Ruang Lawan
11. Parti Sosialis Malaysia
Disokong oleh:
1. Artivismforoa
2. Borneo Komrad
3. Cahaya Society
4. Centre for Independent Journalism
5. Demokrat Malaya
6. DNA63
7. Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia
8. Gindol Initiative for Civil Society Borneo
9. Greater Equitable Measures (GEM)
10. Greenpeace Malaysia
11. Hayat
12. Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)
13. Islamic Renaissance Front
14. Liga Mahasiswa UM
15. Liga Mahasiswa UNISZA
16. Liga Mahasiswa USM
17. Liga Mahasiswa UTM
18. Malaysian Cannabis Awareness Association (MCAA)
19. New Generation UM
20. Persatuan Aktivis Sahabat Alam - KUASA
21. Persatuan Martabat Untuk Semua
22. Pusat KOMAS
23. Sabah Youth Movement
24. Sarawak Dayak Iban Association (SADIA)
25. SIS Forum (Malaysia)
26. SIUMAN Collective
27. Suara Mahasiswa UMS
28. Suara Siswa UM
29. TEROKA by MUDA
30. Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)
31. Buku Jalanan Chow Kit
32. Justice For Sisters
33. Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA)
34. UMANY
35. Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement
36. Women for Equality Association