14/01/2024
BULETIN KOYAQIN KJ
Ahad 14 Januari 2024
LAWATAN KOYAQIN KJ KE PPI COUNTRY HOMES, RAWANG
Seramai 12 Ahli Lembaga Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad (Koyaqin KJ) berserta dua juruaudit dan beberapa sukarelawan Koyaqin KJ membuat lawatan sambil belajar ke Pusat Perniagaan Ikhwan (PPI) di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, pagi ini.
Rombongan yang diketuai oleh Pengerusi Koyaqin KJ, Datuk Lamien Sawiyo itu disambut oleh Pegawai Tadbir Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISB), Encik Khusairi Othman dan Ketua Setiausaha GISB Bandar Country Homes Rawang, Tuan Muhd Abu Zar Md Zaki.
Sejurus tiba di PPI, ahli rombongan dibawa ke dewan media untuk menonton tayangan video sejarah dan aktiviti GISB sejak penubuhannya pada 2000. Ini diikuti dengan sesi soal jawab dan lawatan ke beberapa premis perniagaan seperti kedai jualan kek dan pastri, kafe, klinik, dobi, pakaian, spa dan restoran.
Ahli rombongan juga berpeluang menaiki kereta kuda mengelilingi PPI dan dijamu dengan hidangan tengahari di restoran milik GISB.
Pusat Perniagaan Ikhwan, milik penuh GISB iaitu syarikat Melayu Islam bertaraf antarabangsa yang melabur di 18 negara seluruh dunia. GISB memiliki 18 anak syarikat yang menceburi pelbagai sektor pembangunan modal insan, pendidikan, perindustrian, media dan perhubungan, penternakan, peladangan, perkilangan serta pembangunan keluarga dan remaja.
Perniagaan GISB, khususnya dalam bidang makanan dan produk halal juga menembusi beberapa negara seperti Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom, Jordan, Turki, China, Bosnia, Tunisia, Algeria dan Jerman.
“Kejayaan GISB dalam bidang perniagaan berlandaskan Islam memberi kami motivasi untuk berjaya khususnya berkaitan perniagaan makanan dan produk halal. Adalah menjadi harapan kami untuk belajar sesuatu daripada perbincangan ini, yang mungkin boleh diperincikan kelak,” kata Datuk Lamien dalam ucapan selepas menyaksikan video sejarah dan aktiviti GISB di dewan PPI.
Sementara itu, Tuan Muhd Abu Zar berkata teras utama kejayaan GISB ialah jaga hubungan dengan Allah SWT dan bergerak atas nama ekonomi mengikut landas landas Islam.
Oleh: Rosmin Darus dan team media Koyaqin KJ