02/05/2025
𝑲𝑬𝑵𝒀𝑨𝑻𝑨𝑨𝑵 𝑴𝑬𝑫𝑰𝑨
𝐏𝐞𝐧𝐮𝐫𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐝 𝐔𝐦𝐮𝐫 𝐁𝐞𝐥𝐢𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐭𝐢𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐒𝐞𝐜𝐚𝐫𝐚 𝐑𝐞𝐚𝐥𝐢𝐬𝐭𝐢𝐤
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menyatakan bahawa berbanding era 1990-an di mana seramai 4.5 juta belia—hampir 50 peratus daripada populasi belia ketika itu—menyertai kelab dan persatuan secara fizikal, jumlah tersebut kini merosot kepada hanya sejuta orang.
“Hari ini, mereka tidak lagi mahu menyertai program atau kelab fizikal. Mereka lebih s**a secara dalam talian tanpa aktiviti fizikal,” ujar beliau dalam sidang media semasa Sesi Perbincangan Meja Bulat Bersama Pemimpin Belia Pelbagai Agama Bagi Menangani Masalah Sosial Belia di Menara KBS, Selasa lalu.
Majlis Belia Hindu Malaysia (MBHM) menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan dasar penurunan had umur belia kepada 30 tahun bermula 2026, yang disifatkan sebagai tergesa-gesa dan berpotensi menggugat kesinambungan kepimpinan dalam pertubuhan belia, terutamanya di peringkat akar umbi.
Menurut MBHM, kepimpinan belia tidak boleh diukur hanya berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya ia memerlukan masa, kematangan dan pengalaman. Pemotongan had umur secara mendadak boleh menyebabkan kekosongan kepimpinan dan melemahkan struktur organisasi yang telah lama dibina.
MBHM juga menegaskan bahawa realiti kehidupan belia di Malaysia tidak selari sepenuhnya dengan takrifan umur belia di peringkat global. Oleh itu, pelaksanaan dasar ini perlu mengambil kira konteks tempatan agar pembangunan belia dapat terus digerakkan secara inklusif dan mampan.
MBHM berharap agar pihak kementerian dapat mempertimbangkan semula pelaksanaan ini dan membuka ruang perbincangan bersama semua pihak berkepentingan demi memastikan hala tuju pembangunan belia yang lebih menyeluruh dan berkesan.
𝗔𝗡𝗔𝗡𝗧𝗛𝗔𝗡 𝗦𝗨𝗕𝗥𝗔𝗠𝗔𝗡𝗜𝗔𝗠
Presiden
Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO)
Tarikh: 2 Mei 2025