03/10/2025
Hari ini kita berkumpul dalam Himpunan Solidariti Global Sumud Flotilla, bukan kerana acara ini semata-mata, tetapi kerana satu tanggungjawab besar — tanggungjawab kita sebagai manusia yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan.
Saudara-saudari sekalian, dunia telah lama menyaksikan bagaimana rejim Zionist merampas tanah Palestin, memusnahkan rumah, merobek masjid, meragut nyawa anak-anak kecil dan wanita, serta menafikan hak rakyat Palestin untuk hidup dengan aman. Apa yang berlaku bukan sekadar konflik politik, tetapi satu kezaliman kemanusiaan yang terang-terangan.
Kezaliman Zionist ini adalah bentuk penjajahan moden yang paling kejam. Dan lebih menyayat hati, dunia kuasa besar sering berdiam diri, malah ada yang terus menyokong mereka. Inilah sebabnya kita tidak boleh berhenti bersuara, kerana diam bererti menyokong.
Namun, di sebalik penderitaan itu, kita melihat sesuatu yang sangat menginspirasikan — kesatuan kemanusiaan. Dari seluruh dunia, tidak kira bangsa, agama atau warna kulit, manusia yang mempunyai hati nurani bangkit bersama menentang kezaliman Zionist. Kita melihat semuanya berdiri sebaris dalam menuntut keadilan buat Palestin.
Inilah mesej besar yang kita bawa hari ini: perjuangan Palestin bukan hanya perjuangan umat Islam, tetapi perjuangan manusia sejagat. Dan kita di Sabah, walaupun jauh, adalah sebahagian daripada gelombang global yang bersatu.
Pertubuhan Amal Prihatin Sabah berdiri di sini bersama-sama dalam solidariti ini. Kita mahu dunia tahu bahawa rakyat di hujung Borneo ini juga tidak akan berdiam diri. Kita bersama-sama saudara kita di Palestin dalam doa, dalam solidariti, dalam usaha mengumpul dana, dalam menyebarkan kesedaran, dan dalam mendidik generasi kita agar memahami erti kebebasan serta keberanian menentang kezaliman.
Solidariti ini bukan sekadar laungan semangat. Solidariti ini mesti diterjemahkan kepada tindakan:
• Terus menyokong misi kemanusiaan ke Palestin.
• Terus memberi sumbangan kepada badan-badan sah yang menyalurkan bantuan.
• Terus mendidik masyarakat kita, terutama anak-anak muda, bahawa Palestin adalah simbol perjuangan menentang penjajahan.
• Terus menggunakan kuasa digital kita, media sosial kita, untuk menyampaikan kebenaran dan menangkis propaganda Zionist.
Ingatlah, kita mungkin jauh beribu batu dari bumi Palestin, tetapi doa, kesedaran, dan sokongan kita adalah senjata yang mampu melemahkan keangkuhan Zionist.
Marilah kita jadikan himpunan hari ini sebagai titik tolak untuk menyuburkan semangat perjuangan. Jangan kita berhenti di sini. Teruskan dalam doa, teruskan dalam tindakan, dan teruskan dalam menyatukan hati kita.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada saudara-saudara kita di Palestin. Semoga Allah memberi kemenangan kepada mereka yang sabar, tabah, dan tidak pernah berhenti berjuang.