Wanita ISMA Pasir Puteh

Directions

Wanita ISMA Pasir Puteh Wanita ISMA adalah gerakan wanita yang memimpin masyarakat dengan memperkasakan jatidiri wanita untuk menyelamatkan ummah dan memartabatkan Islam.

𝐔𝐒𝐑𝐀𝐇 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀: 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀 𝐌𝐔𝐑𝐀𝐁𝐁𝐈𝐘𝐀𝐇, 𝐌𝐄𝐍𝐉𝐀𝐃𝐈 𝐓𝐄𝐃𝐔𝐇, 𝐌𝐄𝐍𝐉𝐀𝐃𝐈 𝐓𝐄𝐋𝐀𝐃𝐀𝐍26 September 2026 — Program Usrah Wanita anjuran Wanita I...
27/09/2026

𝐔𝐒𝐑𝐀𝐇 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀: 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀 𝐌𝐔𝐑𝐀𝐁𝐁𝐈𝐘𝐀𝐇, 𝐌𝐄𝐍𝐉𝐀𝐃𝐈 𝐓𝐄𝐃𝐔𝐇, 𝐌𝐄𝐍𝐉𝐀𝐃𝐈 𝐓𝐄𝐋𝐀𝐃𝐀𝐍

26 September 2026 — Program Usrah Wanita anjuran Wanita ISMA Pasir Puteh dengan kerjasama muslimat Masjid Kg Lembah, Semerak telah diadakan pada 26 September 2026 dengan jayanya. Program yang membawa tema “Wanita Murabbiyah: Menjadi Teduh, Menjadi Teladan” ini menampilkan Ustazah Siti Hajar Abdul Rahman sebagai penceramah jemputan.

Dalam perkongsian tersebut, peserta diajak memahami makna murabbiyah, yang berasal daripada perkataan murabbi yang membawa maksud mendidik, membimbing dan mematangkan. Wanita turut ditekankan sebagai rabbatul bait, iaitu pendidik dan pengurus rumah tangga yang mempunyai peranan besar dalam membentuk suasana serta generasi di dalam keluarga.

Antara pengisian utama yang dikongsikan ialah:

🌱 Ilmu sebagai asas mendidik
Seorang wanita perlu melengkapkan diri dengan ilmu agar proses mendidik anak-anak menghasilkan generasi yang berkualiti. Ia diibaratkan seperti menanam pokok — tanah yang subur, benih yang baik dan penjagaan yang optimum akan menghasilkan tanaman yang baik.

🏡 Ibu sebagai madrasah pertama anak-anak
Rumah merupakan madrasah pertama bagi anak-anak. Justeru, seorang ibu perlu berusaha menjadi insan pertama yang memperkenalkan Allah kepada anak-anak melalui teladan, akhlak dan amalan seharian.

📖 Mendidik anak dengan al-Quran
Ibu digalakkan bersungguh-sungguh mendidik dan mendekatkan anak-anak dengan al-Quran agar ia menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sejak kecil.

🤲 Mendidik dengan penggantungan kepada Allah
Anak-anak perlu diajar untuk bergantung kepada Allah dalam perkara besar mahupun kecil. Bahkan dalam perkara mudah seperti menginginkan aiskrim, mereka boleh dibiasakan berdoa dan meminta kepada Allah.

❤️ Bukan sekadar membebel, tetapi menjadi contoh
Pendidikan tidak hanya berlaku melalui kata-kata. Anak-anak lebih banyak belajar melalui apa yang mereka lihat. Oleh itu, seorang ibu perlu berusaha menjadi qudwah dan teladan dalam solat, akhlak, sabar, cara bercakap dan hubungan dengan Allah.

✨ Melaksanakan tanggungjawab kerana Allah
Tanggungjawab sebagai isteri dan ibu bukan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan pujian atau kasih sayang suami, tetapi sebagai satu bentuk mujahadah dan ibadah kepada Allah SWT.

🛡️ Merancang perlindungan dunia dan akhirat
Kita sering memikirkan perlindungan dunia seperti takaful, insurans nyawa dan perubatan. Namun, turut perlu difikirkan: Apakah usaha kita untuk merancang perlindungan akhirat dan memastikan keluarga dapat dikumpulkan kembali di syurga?

Ibrah daripada kisah Imam al-Bukhari

Perkongsian turut mengetengahkan kisah Imam al-Bukhari dan besarnya peranan ibu dalam pembentukan seorang ulama. Walaupun diuji dengan kehilangan penglihatan ketika kecil dan menjadi yatim pada usia muda, ibunya tetap bersungguh-sungguh mendidik serta menghantarnya menuntut ilmu.

Doa dan pengharapan ibunya kepada Allah menjadi antara gambaran penting tentang kekuatan doa seorang ibu serta pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Dengan izin Allah, penglihatan beliau kembali dan beliau kemudiannya membesar menjadi salah seorang tokoh ulama hadis yang sangat masyhur.

Kesimp**annya, wanita murabbiyah bukan sekadar menguruskan rumah dan anak-anak, tetapi mempunyai misi besar membina generasi yang mengenal Allah, mencintai al-Quran dan hidup dengan pergantungan kepada-Nya.

“Ibu yang mendidik dengan cinta, akan melahirkan generasi yang dicintai Allah.”

Semoga program usrah ini menjadi ruang untuk para wanita terus memperbaiki diri, menambah ilmu dan menyedari bahawa rumah yang kecil boleh menjadi tempat lahirnya generasi yang besar untuk agama dan ummah.

🌷 WANITA MURABBIYYAH: MENJADI TEDUH, MENJADI TELADAN 🌷Wanita bukan sekadar mengurus rumah dan keluarga. Di sebalik kelem...
22/09/2026

🌷 WANITA MURABBIYYAH: MENJADI TEDUH, MENJADI TELADAN 🌷

Wanita bukan sekadar mengurus rumah dan keluarga. Di sebalik kelembutan seorang wanita, ada kekuatan untuk mendidik, membimbing dan membina generasi. 🤍

Mari luangkan masa untuk kita kembali menguatkan jiwa, menambah ilmu dan menyegarkan kembali peranan kita sebagai seorang murabbiyah — di rumah, dalam keluarga dan dalam masyarakat.

✨ Usrah Wanita bersama
Ustazah Siti Hajar binti Abdul Rahman
Aktivis ISMA Pasir Puteh

📅 Sabtu | 26 September 2026
⏰ 2.30 – 4.30 petang
📍 Masjid Kampung Lembah, Semerak, Pasir Puteh
💗 Yuran: PERCUMA

Antara pengisian:
🌸 Sesi soal jawab bersama ustazah
🌸 Perkongsian yang dekat dengan kehidupan wanita
🌸 Jamuan potluck — digalakkan bawa bersama

Terbuka kepada semua peringkat umur.
Jom hadir bersama sahabat-sahabat dan sama-sama kita belajar menjadi wanita yang menenangkan, mendidik dan memberi teladan. 🌿

📲 Imbas QR pada poster untuk pendaftaran.

“Wanita yang baik bukan hanya menjadi teduh untuk keluarganya, tetapi turut menjadi cahaya yang menerangi sekelilingnya.” 🤍

Jumpa anda semua di sana! 🌷

21/09/2026
21/09/2026

TOLAK NORMALISASI TRANSGENDER DAN LGBT: PERTAHANKAN FITRAH, SYARIAH DAN MASA DEPAN GENERASI

Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Wanita ISMA) memandang serius beberapa perkembangan yang berlaku mutakhir ini yang memperlihatkan semakin terbukanya ruang kepada normalisasi identiti dan perlakuan LGBT dalam masyarakat Malaysia.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan video yang tular memaparkan seorang peserta yang membawa nama Malaysia dalam pertandingan Miss Equality World 2026 yang berlangsung di Bangkok pada 22 hingga 30 Ogos 2026.

Program ini adalah sebuah pertandingan kecantikan antarabangsa yang secara khusus terbuka dan memberi fokus kepada wanita transgender. yang menurut penganjurnya memberi fokus kepada pemberdayaan transgender women dan agenda kesamarataan serta penerimaan identiti transgender. Berdasarkan objektif rasmi penganjur (https://www.missequality.world), pertandingan ini memang merupakan platform antarabangsa untuk memperkasakan, meningkatkan penerimaan dan memperjuangkan hak komuniti transgender.

Walaupun penyertaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai representasi rasmi Kerajaan Malaysia, penggunaan nama “Malaysia” dalam platform yang secara jelas membawa agenda transgender tetap menimbulkan persoalan besar tentang bagaimana identiti dan nama negara Malaysia dibawa ke pentas antarabangsa.

Dalam masa yang sama, gambar dan rakaman yang tular di media sosial berhubung perlakuan tidak sopan antara pasangan sesama lelaki di ruang awam sekitar sambutan Ambang Merdeka dan kawasan KLCC turut menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Wanita ISMA berpandangan bahawa sekiranya benar berlaku perlakuan sedemikian di ruang awam, ini bukan sekadar persoalan pilihan peribadi, tetapi menyentuh batas kesusilaan awam, pemeliharaan nilai masyarakat dan kesan terhadap pembentukan generasi muda.

Sambutan Ambang Merdeka sepatutnya menjadi ruang untuk rakyat menzahirkan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan, keamanan dan kedaulatan negara. Program Ambang Merdeka 2026 sendiri dirancang sebagai sambutan patriotik yang menghimpunkan rakyat dalam suasana perpaduan dan kecintaan kepada negara. Maka, ruang awam dan sambutan kebangsaan tidak sewajarnya menjadi medan untuk perlakuan yang melanggar batas kesopanan dan nilai agama masyarakat Malaysia.

Ditambah lagi, dengan kontroversi drama atas talian bertajuk Madu atau Racun yang mempersembahkan adegan hubungan sejenis yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya di Malaysia.

Islam Menetapkan Batas Yang Jelas

Islam mengiktiraf kewujudan lelaki dan wanita sebagai sebahagian daripada fitrah penciptaan Allah SWT. Isu transgender bukan sahaja menyentuh soal individu, tetapi memberi kesan kepada masyarakat. Hal ini boleh menjejaskan sistem perkahwinan, pewarisan, perwalian dan keturunan. Jika jantina boleh ditukar ses**a hati, nasab menjadi keliru dan maqasid syariah tidak dapat dipelihara.

Sebarang bentuk pembedahan yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak. Ini berdasarkan firman Allah Taala tentang perkataan Iblis:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَننْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.

(Surah al-Nisa’ 4:119)

Manakala pertukaran jantina dalam kes transgender adalah termasuk dalam larangan ini kerana ia bukan rawatan, sebaliknya menolak fitrah asal yang sempurna.

Hadis Nabi SAW juga jelas dalam isu ini. Baginda bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

(Riwayat al-Bukhari)

Justeru, usaha menjadikan identiti transgender dan penyerupaan jantina yang berlawanan sebagai sesuatu yang normal, diraikan dan diterima dalam masyarakat Islam tidak boleh dipandang ringan.

Peringatan Dari Kisah Kaum Nabi Lut a.s

Al-Quran juga memberikan peringatan yang sangat jelas melalui kisah kaum Nabi Lut a.s. Allah SWT telah menegur perbuatan kaum Nabi Luth dalam firmanNya:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ أَتَأْتُونَ ٱلْفَٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ ٱلْعَٰلَمِينَ ، إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

Maksudnya : Dan Nabi Luth juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: 'Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari umat-umat yang terdahulu daripada kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

(Surah Al-A'raf 7:80-81)

Akhirnya disebabkan kemurkaan Allah SWT di atas maksiat yang dilakukan, kaum Nabi Luth dimusnahkan oleh satu pekikan suara sebagaimana firman Allah SWT:

فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّيْحَةُ مُشْرِقِينَ ، فَجَعَلْنَا عَٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ

Maksudnya : Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh pekikan suara yang mengguntur pada waktu matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri itu tunggang-terbalik dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang dibakar.

(Surah Al-Hijr 15:73-74)

Malaysia Perlu Buat Pendirian

Wanita ISMA mengingatkan bahawa di Malaysia, Islam adalah agama bagi Persekutuan, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Maka, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan dasar, pendidikan, media, ruang awam dan program yang berada dalam lingkungan kuasa negara tidak menjadi saluran kepada normalisasi perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai kesusilaan masyarakat Malaysia.

Kita menyambut baik kenyataan kerajaan bahawa promosi aktiviti LGBT yang bercanggah dengan Islam dan nilai kesusilaan masyarakat Malaysia tidak diterima. Kerajaan juga telah menjelaskan bahawa penguatkuasaan kesalahan jenayah syariah berkaitan LGBT terhadap orang Islam berada dalam bidang kuasa negeri masing-masing.

Namun, pendirian tersebut perlu diterjemahkan melalui dasar, pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan yang konsisten.

WANITA ISMA MENUNTUT:

1. KERAJAAN TEGAS MENOLAK NORMALISASI LGBT

Kerajaan perlu menolak sebarang usaha yang menjadikan transgender dan perlakuan LGBT sebagai sesuatu yang normal, wajar diraikan atau dipromosikan dalam ruang awam, media, pendidikan dan institusi negara.

2. JELASKAN STATUS “REPRESENTASI MALAYSIA”

Kerajaan dan pihak berkaitan perlu menjelaskan status individu atau organisasi yang menggunakan nama Malaysia dalam platform antarabangsa yang membawa agenda transgender, agar tidak timbul persepsi bahawa ia merupakan representasi rasmi negara.

3. PERKUKUH PENDIDIKAN FITRAH DAN KELUARGA

Institusi pendidikan, agama dan keluarga perlu diperkasakan dengan pendidikan yang jelas tentang fitrah lelaki dan wanita, perkahwinan, aurat, batas pergaulan serta bahaya normalisasi fahaman yang bercanggah dengan syariat.

4. PELIHARA KESUSILAAN DI RUANG AWAM

Pihak berkuasa perlu memastikan ruang awam, khususnya lokasi tumpuan keluarga dan program kebangsaan, dipelihara daripada perlakuan tidak sopan dan perlakuan seksual yang boleh menjejaskan nilai kesusilaan masyarakat.

5. NGO ISLAM PERLU MEMIMPIN, BUKAN SEKADAR BEREAKSI

NGO Islam tidak boleh hanya muncul apabila sesuatu isu menjadi tular. Kita perlu membina gerakan pendidikan yang berterusan, memperkukuh keluarga, membimbing anak-anak dan memperjuangkan dasar yang mempertahankan agama serta fitrah manusia.

TEGAS PADA PRINSIP

Wanita ISMA ingin menegaskan bahawa pendirian ini bukan untuk menghina, membenci, menzalimi atau melakukan keganasan terhadap mana-mana individu kerana setiap manusia tetap mempunyai maruah sebagai makhluk Allah SWT. Namun, menghormati manusia tidak bermakna perlu menerima segala fahaman dan perlakuannya. Menolak sesuatu perbuatan yang jelas bercanggah dengan syariat Adalah satu kewajipan.

Kepada mereka yang sedang bergelut dengan persoalan identiti, kami menyeru, kembalilah kepada fitrah yang Allah SWT tetapkan. Pintu taubat dan rahmat Allah SWT sentiasa terbuka.

Kita tidak mahu mewariskan kepada generasi akan datang sebuah masyarakat yang malu untuk menyebut kebenaran, tetapi berani menormalisasikan kemungkaran. Sebaliknya, kita mahu membina generasi yang mengenal Tuhannya, memahami fitrahnya, memelihara maruah dirinya, teguh mempertahankan syariah dan mampu memimpin masyarakat menuju kehidupan yang diredai Allah SWT.

Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA

21/09/2026

Khalifah Kecil di Rumah Kita: Peranan Wanita Dalam Membina Generasi Merdeka
Oleh: Nur Farhana binti Zali
Aktivis Wanita ISMA Melaka Tengah

1. Termenung.
Apa tindakan kita sebagai orang dewasa jika kita ternampak orang lain termenung?

2. Ya, duduk termenung sahaja. Tidak berbuat apa-apa. Ramai daripada kita merasakan aktiviti termenung mencerminkan kebosanan, membuang masa dan tidak produktif. Kita lebih cenderung kepada multi-tasking. Begitulah kita memanjangkan rantaian generasi dengan menurunkan cara fikir begitu kepada anak-anak kita.

3. Berada di depan komputer dan memegang telefon pintar menggambarkan kita sedang berbuat sesuatu kerja. Tidak kisah apa yang sedang dilakukan dalam peranti itu, janji saat itu ada sesuatu yang diisi. Nampak berkualiti.

4. Jiwa Khalifah Dalam Diri Anak Merdeka.

Generasi kini kekurangan idea kreatif untuk hidup. Mereka banyak mengadaptasi kehidupan yang mereka lihat dalam media sosial yang mereka ‘isi masa’ itu. Mereka lebih senang meniru gaya hidup dan budaya yang ‘sedap’ dengan jiwa mereka. Jika jiwa mereka punya jati diri yang kuat, mungkin pilihan mereka akan lebih berkualiti.

5. Media massa kini telah menyediakan pelbagai reka bentuk kehidupan. Mereka hanya perlu buat pilihan. Tidak perlu berfikir. Pilih dan tiru sahaja.

6. Sebenarnya kita telah melupakan identiti asal kita yang hebat iaitu khalifah. Khalifah yang memakmur bumi dan mentadbir alam ini. Pemakmur dan pentadbir. Gah sungguh peranan kita.

7. "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi'." (Surah al-Baqarah: 30)

Walaupun kita dikatakan makhluk perosak dan s**a menumpahkan darah, kita sebenarnya telah dikurniakan Allah satu kelebihan.

8. Mereka (malaikat) berkata: 'Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana (perosak) dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?' (Surah al-Baqarah: 30)

Kelebihan yang tiada pada makhluk lain. Iaitu kemampuan untuk belajar dan berfikir.

9. "Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: 'Terangkanlah kepada Ku nama benda-benda ini semua, jika kamu golongan yang benar'." (Surah al-Baqarah:31)

Jika generasi sekarang ada kemampuan berfikir yang benar, mereka tidak akan mudah-mudah untuk terikut arus yang menjauhkan mereka daripada tujuan hidup yang sebenar. Adakah kemahsyuran dan kesenangan dunia yang mereka kejar itu menjadikan mereka hamba Allah yang beribadat? Jika ya, mereka berada di jalan yang benar. Jika tidak, sungguh mereka tersesat dalam agenda penjajah kuffar.

10. "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah az-Dzariyat: 56)

Kemampuan manusia untuk belajar dan berfikir, mengalahkan sikap perosak dan s**a menumpahkan darah yang diperkata dalam Al-Quran. Rugi sekali jika kita tidak memaksimakan kelebihan kurniaan Allah ini.

11. Peranan Wanita Sebagai Ibu dan Guru Membangun Khalifah Bumi.

Pelbagai topeng yang wanita peragakan dalam meneruskan sebuah kehidupan. Sebagai ibu di rumah, sebagai guru di sekolah, sebagai ahli komuniti di kejiranan dan sebagai orang dewasa yang matang.

12. Peranan kita amat penting dalam membangun generasi anak-anak yang mempunyai jiwa khalifah. Jiwa yang s**a belajar dan berfikir. Bukan jiwa pengikut dan pentaksub.

13. Mengapa wanita? Kerana wanitalah manusia yang paling akrab dan sering bersama mereka. Wanitalah yang fitrahnya penuh dengan kasih sayang dan kelembutan dalam mendidik dan memperlihat contoh.

14. Kemampuan untuk berfikir bukan hanya dikembangkan setelah anak kita belajar secara formal di sekolah. Dari usia kecil lagi kita boleh mengasah kemampuan berfikir anak-anak kita. Maka, membiarkan mereka bosan dan termenung merupakan keputusan terbaik untuk melatih mereka.

15. Dengan aktiviti termenung, mereka akan mula memerhati tanda-tanda ciptaan Allah yang ada di depan mata mereka. Mereka akan mula berfikir dan mencari jawapan adakah dia dan alam ini terjadi sendiri atau ada ‘tangan’ yang menjadikannya. Tanpa kuliah tadabbur daripada kita sekalipun, mereka akan mula memahami.

16. Manusia memang makhluk yang fitrahnya rasa bertuhan sebenarnya.

Kemampuan untuk amar makruf nahi mungkar dan merasa muraqabatullah akan bermula dengan berfikir. Jika mereka belum mampu berfikir mengapa mereka diciptakan, jauh sekali kita mahu anak-anak kita hidup sebagai manusia bermanfaat. Mereka akan masih terbelenggu dengan arus yang membawa mereka. Hanya seputar isu hidup peribadi dan keakuan sahaja.

17. Berfikir Akan Melahirkan Jiwa Merdeka

Bila kemahiran berfikir sudah dilatih dari kecil di rumah, mereka akan terbiasa dengan penggunaan otak yang optimum setiap kali mereka menerima input baharu. Di mana saja mereka berada, mereka bawa jiwa khalifah yang berfikir. Tanpa ibu bapa di sisi pun mereka masih menimbang tara sesuatu perkara itu dosa atau pahala.

18. Jika ada tekanan rakan-rakan yang mengajak mereka mencuba sesuatu yang baharu, mereka mampu berdiri sendiri untuk menerima atau menolak. Kerana mereka ada jiwa khalifah, jiwa yang berfikir. Mereka tidak hanya menerima apa yang orang lain ‘suap ke dalam mulut mereka’.

19. Negara akan semakin aman dan kekurangan jenayah. Negara akan dipenuhi dengan anak muda yang punya jati diri, berwawasan dan berimpian. Berfikir bukan hanya untuk kecemerlangan akademik semata. Berfikir akan membebaskan jiwa yang dirantai penjajah menjadi merdeka!

21/09/2026

WANITA DAN PEMBINAAN MASYARAKAT YANG MERDEKA
Oleh : Dr. Nur Atikah Binti Zakaria
Ketua Wanita ISMA Gombak

Apabila kita berbicara tentang kemerdekaan, kita sering membayangkan kebebasan sebuah negara daripada penjajahan. Namun, kemerdekaan yang sebenar tidak berhenti pada pembebasan tanah air daripada kuasa asing.

Ada satu bentuk penjajahan yang lebih halus iaitu apabila pemikiran kita dijajah, nilai hidup kita ditentukan oleh budaya luar dan hawa nafsu menjadi panduan.

Di sinilah wanita mempunyai peranan yang sangat besar dalam membina masyarakat yang merdeka :

1. Wanita membebaskan masyarakat daripada budaya asing.

Wanita hari ini mempunyai ruang yang luas untuk belajar, bekerja, memimpin dan menyumbang kepada masyarakat.

Namun kemajuan wanita tidak seharusnya diukur hanya melalui sejauh mana kita mampu meniru gaya hidup yang dipromosikan oleh pengaruh barat .

Wanita yang merdeka akan membawa masyarakat supaya mengenal identiti negara bangsa yang jelas dan tidak terikut dengan budaya asing .

Masyarakat yang merdeka bukan masyarakat yang menutup pintu kepada dunia, tetapi masyarakat yang mampu berinteraksi dengan dunia tanpa kehilangan identitinya jiwa bangsanya.

2. Merdeka daripada penjajahan hawa nafsu.

Masyarakat tidak akan benar-benar merdeka jika hanya menjadi hamba kepada kehendak diri.

Apabila keseronokan menjadi matlamat, keluarga dipinggirkan.
Apabila materialisme menjadi ukuran kejayaan, manusia sanggup mengorbankan nilai dan maruah.
Apabila kebebasan ditafsirkan sebagai melakukan apa sahaja yang diingini, batas antara hak dan tanggungjawab semakin hilang.

Islam menawarkan kemerdekaan yang lebih tinggi.

Merdeka bukan bermaksud bebas untuk melakukan semua batas .

Wanita yang merdeka ialah wanita yang mempunyai kekuatan untuk mengawal dirinya, menjaga maruahnya dan meletakkan keredaan Allah sebagai tujuan hidup.

3. Wanita sebagai pembina generasi.

Wanita mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam pembentukan generasi.

Di rumah, wanita membentuk suasana keluarga. Dalam pendidikan, wanita membentuk pemikiran anak-anak. Dalam komuniti, wanita mencorakkan hubungan sesama jiran dan masyarakat.

Anak-anak bukan hanya belajar daripada apa yang kita katakan, tetapi daripada apa yang mereka lihat kita lakukan.

Jika kita mahu melahirkan generasi yang merdeka, kita perlu membina ibu yang merdeka jiwanya.

Ibu yang tidak mudah tunduk kepada tekanan sosial.

Ibu yang tidak menjadikan kemewahan sebagai ukuran kejayaan.

Ibu yang mengajar anak mengenal Allah sebelum mengenal dunia.

Ibu yang membesarkan anak-anak dengan kasih sayang, disiplin, ilmu dan nilai.

Kerana pembinaan masyarakat hari ini bermula daripada pembinaan manusia di dalam rumah.

4. Daripada keluarga kepada masyarakat.

Wanita tidak hanya berperanan di dalam rumah. Wanita juga mempunyai tanggungjawab untuk membina komuniti yang sihat, saling membantu dan mempunyai kepedulian terhadap masyarakat.

Kita mahu melihat wanita yang turun menyantuni jiran, membantu keluarga yang memerlukan, mendidik anak-anak muda, menghidupkan surau dan masjid, memperkukuh institusi keluarga serta menjadi agen kebaikan dalam komuniti.

Masyarakat yang merdeka bukan masyarakat yang setiap orang hanya memikirkan dirinya.

Sebaliknya, ia adalah masyarakat yang bebas daripada sikap individualistik dan kembali hidup dengan semangat saling menjaga.

Kerana kita tidak mampu membina negara yang kuat jika keluarga rapuh dan masyarakat terpecah.

------------

Maka, kemerdekaan yang kita impikan bukan sekadar kemerdekaan pada nama.

Kita mahu masyarakat yang merdeka daripada penjajahan pemikiran.

Merdeka daripada budaya hedonisme.

Merdeka daripada materialisme.

Merdeka daripada ketaksuban kepada trend dan pandangan manusia.

Merdeka daripada hawa nafsu.

Dan yang paling utama, merdeka daripada pengabdian kepada manusia untuk kembali menjadi hamba Allah.

Wanita mempunyai tempat yang istimewa dalam perjuangan ini.

Bukan kerana wanita perlu memikul segala-galanya, tetapi kerana wanita mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk keluarga, mendidik generasi dan menghidupkan komuniti.

Wanita yang merdeka jiwanya akan melahirkan keluarga yang kuat.
Keluarga yang kuat akan membina masyarakat yang kukuh.
Masyarakat yang kukuh akan melahirkan negara yang bermaruah.

Maka, marilah kita membina kemerdekaan yang lebih hakiki.

Bukan sekadar merdeka pada tanah yang kita pijak, tetapi merdeka pada jiwa, pemikiran, nilai dan cara hidup.

21/09/2026

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK KOMPAS JIWA ANAK-ANAK
Oleh: Wan Nurul Nadiah binti Wan Rosdan
Aktivis Wanita ISMA Sandakan merangkap Ketua Unit NAZIM Sandakan

1. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu berita mengenai statistik kes HIV di Thailand yang mana secara kumulatifnya mencapai angka 500,000 kes. Golongan muda didapati menduduki carta tertinggi bagi kes ini. Apa yang perlu kita fahami adalah, isu ini bukanlah semata-mata isu kesihatan sahaja tetapi isu ini mencerminkan tentang cabaran dan susuk tubuh generasi masa kini. Apakah yang sedang berlaku dalam proses pembinaan generasi kita?

2. Hal ini menjadi satu kebimbangan kepada masyarakat terutamanya golongan ibu bapa kerana dengan ketidakbatasan internet pada masa kini menyebabkan anak-anak lebih mudah mendapat akses kepada pelbagai perkara seperti pornografi, aplikasi dating, media sosial dengan kandungan seksual dan trend yang merosakkan akhlak.

3. Generasi hari ini membesar dalam persekitaran dan cabaran yang sangat berbeza berbanding generasi terdahulu. Ibu bapa turut terkena tempias dalam membesarkan dan mendidik anak-anak yang terdedah kepada lambakan maklumat di media sosial. Persoalannya bukan sekadar apa yang anak-anak lihat tetapi yang lebih penting lagi adalah bagaimana anak-anak memproses apa yang mereka lihat.

4. Rumah merupakan benteng pertama anak-anak sebelum sekolah dan masyarakat. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk generasi ini. Kita perlu memahami bahawa pendidikan anak-anak itu bukanlah sekadar pandai membaca al-quran, menghafal surah atau mendapat keputusan akademik yang cemerlang. Pendidikan juga mestilah melibatkan pembinaan jiwa dengan memperkukuh hubungan anak-anak dengan Allah, membentuk jati diri Islam yang kukuh serta mendidik mereka supaya memiliki kemampuan untuk membezakan antara yang hak dan yang batil. Pembinaan jiwa dan tarbiah anak-anak ini perlu berlangsung secara berterusan dalam memperkukuh akhlak mereka.

Allah berfirman dalam Surah At-Tahrim, Ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka...”

5. Inilah yang dikatakan pembinaan generasi yang mempunyai “teras” atau “kompas” di dalam diri mereka. Mereka mampu untuk menimbang tara sesuatu perkara dengan bertanya kepada diri sendiri. Adakah perkara ini baik? Adakah perkara ini benar? Adakah pilihan yang aku buat ini melanggar hukum Allah? Inilah bentuk generasi yang hendak kita lahirkan yang mana mampu untuk membuat keputusan yang betul dan benar mengikut garis panduan seorang muslim.

21/09/2026
Sudah jarang sekali kita jumpa anak anak yang tidak tahu menggunakan telefon. Ada banyak kajian tempatan dan antarabangs...
18/09/2026

Sudah jarang sekali kita jumpa anak anak yang tidak tahu menggunakan telefon. Ada banyak kajian tempatan dan antarabangsa yang menunjukkan peratusan kanak-kanak yang tahu menggunakan atau memiliki telefon pintar adalah sangat tinggi, malah bermula sejak usia prasekolah lagi.

Jadi apabila telefon ini bukan sahaja sudah menjadi kemahuan bahkan keperluan, siapa yang akan melindungi anak anak kita dari terdedah dengan segala bahaya di sebalik teknologi yang satu ini ?

Ikuti kupasan menarik ini yang disediakan oleh Ketua Wanita Isma Seremban.

Bila Telefon Menjadi Keperluan, Siapa Melindungi Anak-anak Kita?
Oleh: Ts. Suria Irdayu Ahmad Zaidi
Ketua Wanita ISMA Seremban

Ada satu perubahan kecil dalam kehidupan kita yang mungkin kita sendiri tidak sedar.

Dahulu, kalau sudah keluar rumah kemudian tersedar kad pengenalan tertinggal, kita sanggup berpatah balik untuk mengambilnya. Hari ini, cuba p**a tertinggal telefon. Mungkin lebih cepat kita berpatah balik.

Telefon sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Hampir semuanya ada di dalamnya. Kita membuat pembayaran dengan telefon, melakukan urusan perbankan, membaca berita, mencari maklumat dan mengakses media sosial. Kadang-kadang saya terfikir, fungsi telefon untuk menghubungi orang mungkin sudah jatuh ke tempat ketiga atau keempat dalam senarai kegunaannya.

Dan realiti yang sama kini berlaku kepada anak-anak kita.

Sebagai ibu bapa, kita mungkin mahu mengehadkan penggunaan telefon oleh anak-anak. Tetapi dalam keadaan hari ini, ia bukan semudah mengatakan, “Jangan beri anak telefon.”

Banyak urusan sekolah juga sudah berada dalam dunia digital. Makluman sekolah, komunikasi kelas, bahan pembelajaran dan kadangkala kerja sekolah disampaikan melalui WhatsApp atau platform dalam talian. Jika seorang anak langsung tidak mempunyai akses, kita p**a bimbang dia akan ketinggalan.

Di sinilah dilema ibu bapa hari ini.

Kita memberikan telefon kerana mereka memerlukannya. Tetapi bersama-sama telefon itu, kita sebenarnya memberikan mereka pintu kepada sebuah dunia yang terlalu luas untuk kita kawal sepenuhnya.

Inilah yang lebih merisaukan saya.

Kandungan yang sepatutnya mempunyai batas umur tidak semestinya kekal di platform asalnya. Drama atau filem mungkin disiarkan melalui platform OTT berbayar dan diberikan klasifikasi umur. Namun apabila potongan babaknya dimuat naik ke TikTok, Threads atau platform media sosial lain, kandungan itu boleh sampai kepada sesiapa sahaja, termasuk anak-anak.

Malah, anak-anak tidak semestinya mencarinya.

Kadangkala kandungan itu yang mencari mereka.

Mereka hanya perlu scroll.

Sebab itu apabila timbul kontroversi terhadap sesuatu drama atau kandungan, bagi saya persoalannya tidak sepatutnya berhenti kepada sama ada sesuatu karya itu sesuai atau tidak sesuai untuk ditayangkan.

Kita perlu bertanya soalan yang lebih besar:

Apakah nilai yang sebenarnya ingin kita bawa melalui karya-karya kita?

Saya percaya kepada kreativiti. Saya juga percaya pengkarya perlu diberikan ruang untuk berkarya. Tetapi kreativiti dan kebebasan tidak seharusnya memisahkan kita daripada tanggungjawab sosial.

Kita sering mendengar alasan bahawa sesuatu babak atau watak negatif ditampilkan untuk “memberi pengajaran”.

Tetapi kita juga perlu berani bertanya: Apakah yang lebih melekat dalam fikiran penonton—pengajarannya atau perkara yang ditonjolkan sepanjang cerita?

Lebih-lebih lagi apabila penontonnya mungkin seorang anak berusia 12, 13 atau 15 tahun yang masih sedang membentuk pandangan tentang kehidupan, hubungan, kejayaan dan nilai dirinya.

Drama, filem dan video pendek bukan sekadar hiburan. Ia mempunyai kuasa mempengaruhi.

Kalau satu drama boleh membuat sesuatu fesyen menjadi pop**ar, satu dialog menjadi ikutan atau sesuatu lokasi tiba-tiba menjadi tempat yang semua orang mahu kunjungi, maka kita tidak boleh mengatakan bahawa karya tidak mempunyai pengaruh terhadap masyarakat.

Sebab itu saya selalu terfikir, alangkah baiknya kalau kuasa yang sama digunakan dengan lebih banyak untuk membina aspirasi anak-anak kita.

Biarlah selepas menonton sebuah drama, seorang anak berkata, “Saya mahu belajar bersungguh-sungguh.”

Biarlah dia melihat watak seorang doktor lalu mahu menjadi doktor. Melihat jurutera lalu tertanya-tanya bagaimana hendak menjadi jurutera. Melihat seorang saintis, guru, usahawan atau pemimpin lalu mula membayangkan masa depannya sendiri.

Biarlah ada cerita yang membuatkan anak dari sebuah pekan kecil berani bercita-cita untuk belajar di universiti terbaik dunia.

Dan biarlah dalam mengejar cita-cita itu, mereka masih melihat bahawa kejayaan tidak bermakna melupakan keluarga. Bahawa menyantuni ibu bapa, menghormati orang lain, bekerja keras, menjaga integriti dan membantu masyarakat juga merupakan sebahagian daripada sebuah kehidupan yang berjaya.

Saya tidak fikir penyelesaiannya ialah kita mengharamkan segala-galanya atau menjauhkan anak-anak daripada teknologi.

Itu hampir mustahil.

Mereka akan membesar dalam dunia yang jauh lebih digital daripada dunia kita hari ini.

Tetapi kerana itulah tanggungjawab kita juga menjadi lebih besar.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab. Sekolah mempunyai tanggungjawab. Platform media sosial mempunyai tanggungjawab. Pihak yang mengawal selia kandungan juga mempunyai tanggungjawab.

Dan pengkarya juga mempunyai tanggungjawab.

Setiap penerbit, pengarah, penulis skrip dan pencipta kandungan mempunyai pilihan tentang apa yang mahu mereka tinggalkan kepada masyarakat melalui karya mereka.

Karya mungkin hanya mengambil masa satu jam untuk ditonton.

Tetapi sesuatu yang dilihat oleh seorang anak mungkin tinggal bertahun-tahun dalam fikirannya.

Jadi, kalau kita mempunyai peluang untuk mempengaruhi seseorang melalui sebuah cerita, sebuah filem, sebuah drama atau video yang hanya beberapa minit panjangnya, mengapa tidak kita gunakan peluang itu untuk sesuatu yang baik?

Jadikan karya sebagai medium yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mencerdikkan.

Yang membuka fikiran.

Yang membina cita-cita.

Yang mengingatkan tentang nilai dan keluarga.

Dan kalau daripada karya itu ada seorang anak yang berubah menjadi lebih baik, lebih rajin belajar atau lebih berani mempunyai impian, mungkin itulah antara pahala yang terus mengalir tanpa pernah kita sedari.

Kerana dalam dunia hari ini, kita mungkin tidak lagi mampu menentukan semua yang akan muncul di skrin telefon anak-anak kita.

Tetapi sebagai sebuah masyarakat, kita masih boleh menentukan apakah nilai yang mahu kita letakkan di hadapan mereka.

Address

Pasir Puteh

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Wanita ISMA Pasir Puteh posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share