17/05/2026
KAJI SEMULA PENGIKTIRAFAN SIJIL UEC
Kerajaan mesti mengkaji semula keputusan mengiktiraf sijil Unified Examination Certificate (UEC) yang ditadbir sepenuhnya oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (D**g Zong) bagi kemasukan ke program ijazah di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.
Sebelum ini pengiktirafan UEC hanya terhad kepada beberapa bidang pengajian tertentu yang berkaitan dengan Bahasa Cina dengan syarat calon mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengiktirafan sijil UEC untuk kemasukan ke semua program ijazah di IPTA akan memberikan implikasi yang besar terhadap sistem pendidikan negara.
Pelajar warganegara Malaysia sebelum ini secara umumnya layak dipertimbangkan kemasukan ke program ijazah di IPTA melalui saluran Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi yang sukatan matapelajaran dan peperiksaannya ditadbir oleh badan kerajaan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Awam.
Dengan pengiktirafan sijil UEC, terdapat satu lagi saluran bagi kemasukan ke IPTA yang sukatan matapelajaran dan peperiksaannya ditadbir sepenuhnya oleh sebuah badan bukan kerajaan yang piawaiannya tidak dikawal oleh mana-mana badan kerajaan.
Setakat ini tidak ada mana-mana badan kerajaan membuat penilaian jaminan kualiti, pengauditan sukatan matapelajaran, proses pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan dan pemarkahan UEC.
Keadaan ini akan mewujudkan dwi-standard dalam penilaian permohonan kemasukan pelajar warganegara Malaysia ke IPTA yang melibatkan dua saluran kemasukan yang berbeza dengan standard yang berbeza.
Ketika saya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional, saya pernah mengadakan pertemuan dengan D**g Zong untuk membincangkan cadangan pengiktirafan sijil UEC.
Kajian oleh Kementerian Pendidikan pada masa itu mendapati sukatan matapelajaran dan peperiksaan UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Justeru, saya telah mencadangkan kepada D**g Zong supaya Kementerian Pendidikan Malaysia menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan persendirian Cina termasuk sukatan matapelajaran dan pentadbiran peperiksaan UEC sebelum kerajaan menimbangkan pengiktirafan sijil UEC.
Namun, cadangan saya tersebut tidak dipersetujui oleh D**g Zong dan kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf sijil UEC.
Bagi saya keputusan Kerajaan Madani mengiktiraf sijil UEC dibuat secara tergesa-gesa. Ia mungkin mempunyai tujuan politik untuk memastikan sokongan berterusan parti DAP terhadap kerajaan campuran yang ada pada hari ini.
Saya ingin mengingatkan bahawa keputusan dasar yang penting tidak boleh dibuat atas pertimbangan politik semata-mata. Kajian yang menyeluruh mestilah terlebih dahulu dibuat untuk mengkaji kesan dasar ini terhadap masa depan sistem pendidikan negara.
Ini termasuk implikasi terhadap kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perpaduan nasional dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa.
Perlu diingatkan bahawa pendidikan bukan semata-mata medium untuk melahirkan modal insan untuk tujuan pembangunan negara tetapi juga alat pembinaan dan penyatuan negara bangsa.
Saya fikir pengiktirafan UEC adalah hadiah paling buruk kerajaan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Ia merupakan pengkhianatan terhadap pengorbanan guru-guru di seluruh negara yang selama ini amat komited dalam menjayakan hasrat dasar dan falsafah pendidikan negara.
Saya menyeru kerajaan supaya kembali kepada asas Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan dalam mempertimbangkan pengiktirafan sijil UEC.
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
15 Mei 2026