Rasional Penubuhan Hidayah Centre
1. Dasar Agama
Sememangnya kita tidak perlu melakukan sesuatu jika tidak ada dasarnya di dalam Islam. Berkasih sayang dan tolong menolong adalah natijah daripada beriman kepada Allah SWT.
“……..Dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada kamu….” (Al Qasas :77)
Dan yang paling berhak menerima pertolongan dan pembelaan ialah
golongan yang memerlukan dan teraniaya. Sabda Rasulullah SAW :
“Barangsiapa memohon perlindungan kerana Allah maka hendaklah kamu lindunginya, barangsiapa memohon bantuan kerana Allah maka hendaklah kamu membantunya,…..”
Sabda Baginda SAW:
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.”
2. Dasar Ihsan Dalam Melaksanakan Tanggungjawab Dan Memelihara Imej Masyarakat. Hubungan ukhuwwah sesama saudara dalam masyarakat Islam digambarkan seperti sebatang tubuh. Jika ada sebahagian tubuh yang sakit, maka bahagian yang lain juga akan terasa derita sengsaranya. Maka menjadi tanggungjawab seseorang individu Muslim untuk membantu saudara seagamanya yang mengalami Semarang kesusahan apatah lagi jika kesusahan itu akibat dari iltizam mereka untuk beramal dengan amal Islam. Banyak kes murtad di negara ini berlaku kepada saudara baru antara lain puncanya adalah kerana kurang bimbingan spritual, mental dan fizikal kepada mereka. Maka menjadi tanggungjawab kita bersama berusaha mengubah situasi ini. Adalah tidak rasional jika hanya bercakap, menegur dan menuding jari tanpa sendiri terjun ke dalam kancah permasalahan, mendalaminya, memberi bantuan, perlindungan, mencari punca masalah dan merangka bimbingan yang sebaik-baiknya.
3. Dasar Dakwah Dan Islah
Menjadi hasrat JKD juga agar masyarakat menyedari bahawa tanggungjawab dakwah (mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran) adalah tanggungjawab kita bersama. Jika umatnya cemerlang, negara akan gemilang dan begitulah sebaliknya. Usaha pengislahan (pembaikan) memerlukan komitmen masyarakat, bukan tertumpu kepada individu, keluarga dan organisasi terbabit sahaja. Hidayah Centre membuka jalan dan peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyalurkan sumber tenaga mereka kepada kerja-kerja kebajikan yang mereka minati.Ia juga bertujuan menyedarkan masyarakat bahawa saudara baru adalah saudara kita.