28/09/2026
𝐌𝐚𝐣𝐥𝐢𝐬 𝐔𝐤𝐡𝐮𝐰𝐚𝐡 𝐒𝐞𝐦𝐩𝐞𝐧𝐚 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐔𝐥𝐚𝐧𝐠 𝐓𝐚𝐡𝐮𝐧 𝐊𝐞-𝟒𝟔 𝐏𝐞𝐧𝐮𝐛𝐮𝐡𝐚𝐧 𝐌𝐑𝐒𝐌 𝐌𝐮𝐚𝐫
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, majlis yang penuh bermakna ini telah berlangsung dengan jayanya. Bagi pihak ANSARA Muar, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini.
Terima kasih kepada semua bekas pelajar MRSM Muar yang hadir dari dekat dan jauh. Kehadiran anda bukan sahaja memeriahkan majlis, malah membuktikan bahawa ikatan ukhuwah yang terbina di bumi MRSM Muar terus utuh merentasi masa, generasi dan jarak.
Ucapan penghargaan yang istimewa juga kepada pihak MARA yang turut memeriahkan majlis ini, khususnya Dr Azmi bin Amat Murjan, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA; Puan Lailatul Asmah binti Mohd Tahir, Pengarah Kanan (Pelaburan) MARA dan Puan Nor Azlin binti Ismail, Ketua Unit Wakaf MARA Madani. Kehadiran dan sokongan pihak MARA amat bermakna kepada seluruh warga ANSARA Muar dan mencerminkan hubungan erat yang terus terjalin antara MARA, MRSM Muar dan para alumninya.
Setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, yang tetap meluangkan masa menghadiri majlis ini meskipun mempunyai jadual yang padat dan perlu bergegas kembali ke Putrajaya sejurus selesai menghadiri acara rasmi di Segamat. Kesudian beliau bersama-sama warga MRSM Muar pada majlis yang penuh bermakna ini amat kami hargai dan akan sentiasa dikenang.
Ucapan penghargaan yang tidak terhingga juga kepada para penaja yang telah menghulurkan sokongan bagi menjayakan program ini, antaranya Wakaf MARA Madani, Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Anuar Taib, Dato' Hj Ramli Mohd Tahir, Encik Kamaluddin Ahmad, Encik Hizamuddin bin Jamalluddin serta para penyumbang lain yang turut bersama menjayakan usaha murni ini. Segala sumbangan yang diberikan amat kami hargai dan menjadi pemangkin kepada kejayaan majlis ini.
Ribuan terima kasih kepada Pengetua MRSM Muar, Puan Noriha binti Kasim, atas kerjasama yang sangat baik, khususnya atas inisiatif menyediakan pengangkutan dan membawa para guru dari Muar untuk bersama-sama memeriahkan majlis yang penuh nostalgia ini.
Dan yang paling utama dan istimewa, sekalung penghargaan buat para guru yang diraikan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk hadir dan bertemu semula dengan anak-anak murid yang pernah dididik dengan penuh dedikasi. Segala ilmu, tunjuk ajar, nasihat dan pengorbanan yang dicurahkan menjadi asas kepada kejayaan ramai dalam kalangan alumni hari ini. Sesungguhnya jasa guru tidak ternilai dan akan sentiasa terpahat dalam ingatan kami.
Semoga pertemuan ini bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi menjadi pengikat silaturrahim yang akan terus mekar untuk tahun-tahun mendatang.
Sesungguhnya kejayaan majlis ini adalah hasil kebersamaan seluruh warga MRSM Muar, MARA, para alumni, penaja dan guru-guru yang sentiasa berada di hati kami.
𝐷𝑎𝑟𝑖 𝑀𝑢𝑎𝑟 𝑘𝑒 𝑃𝑢𝑡𝑟𝑎𝑗𝑎𝑦𝑎,
𝑆𝑖𝑛𝑔𝑔𝑎ℎ 𝑠𝑒𝑏𝑒𝑛𝑡𝑎𝑟 𝑑𝑖 𝑃𝑢𝑙𝑎𝑢 𝑀𝑒𝑟𝑎𝑛𝑡𝑖;
𝐺𝑢𝑟𝑢 𝑑𝑖𝑠𝑎𝑛𝑗𝑢𝑛𝑔 𝑠𝑒𝑝𝑎𝑛𝑗𝑎𝑛𝑔 𝑢𝑠𝑖𝑎,
𝑈𝑘ℎ𝑢𝑤𝑎ℎ 𝑏𝑒𝑟𝑡𝑎𝑢𝑡 𝑠𝑎𝑚𝑝𝑎𝑖 𝑘𝑒 𝑚𝑎𝑡𝑖.
Selamat ulang tahun ke-46 MRSM Muar. "Once a Muarian, Always a Muarian."