15/09/2026
KENYATAAN MEDIA - ANALOGI "PADERI & BIARAWATI" YANG DIGUNAKAN DALAM UCAPAN PERWAKILAN UMNO PAU 2026
HORMATI SENSITIVITI AGAMA, JANGAN JADIKAN INSTITUSI ATAU SIMBOL KEAGAMAAN SEBAGAI BAHAN JENAKA POLITIK
Saya mengambil maklum dan ingin menyatakan rasa amat tidak berpuas hati serta sangat kecewa terhadap ucapan Perwakilan UMNO Selangor, Saudara Noorazli Said Ketua UMNO Bahagian Sepang yang menggunakan analogi membabitkan paderi dan biarawati dalam ucapan beliau semasa Perhimpunan Agung UMNO 2026 beberapa hari yang lepas.
Saya memahami bahawa sesuatu analogi mungkin digunakan untuk menyampaikan mesej tertentu dalam politik agar lebih menarik dan mudah difahami. Namun begitu, tidak semua perkara wajar dijadikan bahan jenaka, apatah lagi apabila ia melibatkan agama, institusi keagamaan dan golongan yang memegang kedudukan suci dalam institusi agama.
Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, kita semua mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kebebasan beragama dan rasa hormat terhadap agama lain sentiasa dipelihara serta di jaga dengan baik.
Sebagai wakil rakyat beragama kristian dari Sarawak, saya melihat perkara ini dengan lebih serius kerana Sarawak mempunyai sejarah panjang dalam memelihara keharmonian antara masyarakat yang berbeza agama dan kepercayaan. Semangat saling menghormati inilah yang menjadi antara kekuatan Sarawak dan wajar dipelihara bersama dalam konteks Malaysia yang lebih besar.
Ideologi politik boleh berbeza, pandangan dan cadangan boleh bercanggah. Tetapi agama dan kepercayaan rakyat tidak seharusnya dijadikan bahan untuk mencetuskan ketawa atau meraih sokongan dalam berpolitik.
Saya tidak berminat untuk memanjangkan polemik ini atau menjadikannya sebagai pertelingkahan antara parti, tidak sama sekali. Namun, saya percaya terdapat satu garis yang perlu kita hormati bersama iaitu JANGAN menyentuh kesucian dan sensitiviti apa jua agama semata-mata untuk menguatkan sesuatu hujah politik. Gunakan bahasa mudah dan tidak perlu berkias bagai untuk menarik minat pendengar memahami isi ucapan kita sehingga kan terpaksa mengorbankan keharmonian antara agama.
Sehubungan itu, saya dengan penuh hormat tetapi tegas meminta Saudara Noorazli Said membuat permohonan maaf secara terbuka kepada komuniti Kristian atas isi ucapan yang telah disampaikan sama ada analogi yang digunakan tersebut disampaikan secara tidak sengaja apatahlagi sebaliknya.
Permohonan maaf bukanlah tanda kelemahan. Sebaliknya, ia merupakan tanda kematangan, kebertanggungjawaban dan rasa hormat terhadap masyarakat yang kita wakili.
Kita tidak mahu budaya politik Malaysia bergerak ke arah menggunakan agama sebagai bahan sindiran, jenaka atau serangan. Sebaliknya, kita perlu membina budaya politik yang lebih matang, beradab dan menghormati kepelbagaian.
Hormatilah agama, hormatilah kepercayaan, hormatilah sesama rakyat Malaysia yang majmuk ini.
Inilah nilai yang perlu kita pertahankan bersama demi keharmonian dan perpaduan Malaysia yang kita sayangi, lebih-lebih lagi kita akan menyambut Hari Malaysia dalam beberapa hari sahaja lagi.
Sekian, terima kasih.
YB ROYSTON BIN VALENTINE
ADUN N57 TELLIAN
14 September 2026