07/06/2026
(MELAKA) Suami dipenjara, isteri dicekup berkhalwat pada malam Jumaat.
MELAKA – Seorang wanita yang suaminya sedang menjalani hukuman penjara dicekup berkhalwat dengan seorang pemuda di sebuah rumah di Batu Berendam, pada malam Jumaat lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 12.25 tengah malam itu, penguat kuasa memeriksa sebuah rumah selepas menerima aduan awam mengenai kes berkenaan.
Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, pemeriksaan anggota penguat kuasa JAIM kemudian menemukan wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kerani di dalam rumah.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja di sebuah kafe sedang bersembunyi di dalam almari di tingkat atas rumah tersebut bagi mengelak dikesan.
“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit masih bujang manakala wanita berkenaan sudah berkahwin, namun suaminya sedang menjalani hukuman penjara,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Tambahnya semakan lanjut mendapati, kedua-duanya gagal mengemukakan sebarang dokumen atau hubungan mahram
sebelum dibawa ke pejabat JAIM bagi tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut.
Md Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana disyaki berkhalwat apabila berdua-duaan sehingga mendatangkan syak di dalam rumah berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan JAIM dari semasa ke semasa sebenarnya bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak.
“Ia sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi tuntutan agama dan mengelakkan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan bertentangan dengan hukum syarak,” katanya. – MalaysiaGazette / Reza A Hamid