11/10/2026
SEMINAR KEIBUBAPAAN MEMBANTU IBUBAPA DALAM MENGURUS EMOSI
Seminar Keibubapaan bertajuk โEmosi Sejahtera, Anak Cemerlang: Didikan Kasih & Hikmah Ibu Bapaโ yang dianjurkan oleh IKRAM Bandaraya Melaka dengan kerjasama PIBG SRIIM dan SMAIM telah diadakan pada 3 Oktober 2026 (Sabtu) bertempat di Pejabat IKRAM Melaka. Program ini menampilkan Dr. Adnan bin Omar, Pakar Psikologi Sosial, sebagai penceramah jemputan.
Program yang disasarkan kepada ibu bapa ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan lebih 50 orang peserta hadir bagi mendapatkan pendedahan dan pengisian berkaitan keibubapaan serta kesejahteraan emosi dalam keluarga.
Antara intipati utama yang diketengahkan adalah berkaitan pengurusan emosi ibu bapa dan anak-anak, khususnya kepentingan ibu bapa memahami emosi diri sebelum membantu anak mengurus emosi mereka. Peserta turut didedahkan kepada pendekatan mendidik anak dengan kasih sayang, hikmah, komunikasi yang baik serta kawalan emosi, agar hubungan antara ibu bapa dan anak dapat dibina dengan lebih sihat dan harmoni.
Seminar ini turut menekankan bahawa emosi ibu bapa mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan emosi dan tingkah laku anak-anak. Justeru, ibu bapa perlu menjadi contoh dalam mengurus kemarahan, tekanan dan konflik secara matang, di samping mewujudkan ruang yang selamat untuk anak meluahkan perasaan dan berkomunikasi secara terbuka.
Secara keseluruhannya, seminar ini memberikan pengisian yang bermakna kepada para peserta dalam memperkukuh kefahaman tentang peranan ibu bapa dalam membentuk keluarga yang sejahtera, hubungan yang lebih erat serta anak-anak yang berkembang dengan baik dari aspek emosi dan sahsiah. Sambutan yang menggalakkan daripada para peserta juga menunjukkan keperluan terhadap program keibubapaan yang terus memberi ruang kepada ibu bapa untuk belajar, berkongsi pengalaman dan memperbaiki pendekatan dalam mendidik anak-anak.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh jawatankuasa penganjur, pihak PIBG Sekolah Rendah Islam I-Musleh dan Sekolah Menengah Agama I-Musleh, penceramah, para peserta serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan seminar ini. Komitmen, masa, tenaga dan kerjasama yang diberikan amat dihargai.
Semoga program ini menjadi ruang untuk kita terus belajar, bermuhasabah dan memperbaiki seni mendidik anak-anak, serta menjadi langkah kecil ke arah membina keluarga yang lebih sejahtera dan anak-anak yang cemerlang dari sudut emosi, akhlak dan sahsiah.
Semoga segala usaha ini menjadi amal yang memberi manfaat dan terus menyuburkan budaya ilmu dalam komuniti. Insya-Allah, semoga kita dipertemukan lagi dalam siri-siri program IKRAM Bandaraya Melaka yang akan datang.
Terima kasih dan jazakumullahu khairan kepada semua yang menjayakan. ๐ค